HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 September 2008

Pendakwaan terhadap `Rasul Melayu' sah

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan Terengganu sah daripada segi Perlembagaan untuk menuduh seorang lelaki, Abdul Kahar Ahmad, 57, kerana mendakwa dirinya nabi serta tiga lagi yang dikatakan pengikut ajaran sesat.

Keputusan bersejarah itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Keputusan itu amat penting kerana mereka mencabar beberapa peruntukan dalam enakmen berkenaan yang dihujahkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan membawa kesan bahawa segala pendakwaan yang dibuat terhadap kes-kes ajaran sesat yang berkaitan, dengan sendirinya tidak sah dan terbatal.

Penghakiman sebulat suara itu bagaimanapun berpuas hati bahawa kesalahan yang dilakukan oleh keempat-empat lelaki berkenaan bertentangan dengan hukum syarak dan melanggar ajaran Islam.

Selain Abdul Kahar, tiga yang lain ialah Mazli Mansor, 49, dan Mat Razali Kasan, 43, didakwa pengikut ajaran Kahar bin Ahmad (Abdul Kahar) manakala Sulaiman Takrib, 59, didakwa anak murid Ayah Pin.

Tiada ulasan: