HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 September 2008

Audit gempur agensi, kementerian

Oleh Norfatimah Ahmad


PUTRAJAYA: Jabatan Audit Negara akan memperhebat pemeriksaan mengejut di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi mendapatkan gambaran sebenar bagaimana dana awam diurus ketika melaksanakan program dan projek masing-masing.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata langkah berkenaan bagaimanapun bukan untuk 'memerangkap' pihak yang mengendalikan pengurusan kewangan, sebaliknya bagi mengesan sebarang kesilapan dan kelemahan supaya mudah diperbaiki.

Katanya, tidak ada pihak yang boleh menganggap mereka 'kebal' daripada dilawati Audit dan laporan audit seharusnya dijadikan iktibar untuk memperbaiki serta memperkemaskan akaun dan dokumentasi masing-masing.

"Sepatutnya audit dalaman di semua kementerian lebih kerap menjalankan pemeriksaan mengejut sebelum kami dari pihak luar melakukannya. Ini bagi mengelak mereka dikejutkan dengan apa yang dikesan dan ditemui ketika Audit membuat pemeriksaan.

"Jangan hanya harap pada Audit luaran. Gunakan kepakaran audit dalaman masing-masing untuk memastikan tugas dilaksanakan dengan baik," katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian.

Ambrin berkata, sukar untuk sesiapa saja terutama ketua jabatan jika kelemahan mereka didedahkan. Bagaimanapun, pihaknya terpaksa membuat teguran secara berhemah untuk memperbaiki sistem penyampaian awam.

"Kalau saya pun, jika ditegur akan terasa, tetapi pendekatan Audit adalah dengan memberi beri maklum balas secara objektif dan bebas. Laporan pemeriksaan mengejut pula akan diserahkan terus kepada ketua jabatan supaya mereka tahu apa sebenarnya berlaku," katanya.

Beliau juga mengulangi saranan supaya ketua jabatan turun padang sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk memeriksa bahagian kewangan, meneliti baucer, buku log dan bertanya khabar kakitangan bawahan kerana hubungan langsung antara ketua dengan kakitangan dapat menjamin pengagihan dan pelaksanaan tugas yang lebih berkesan.

"Selain itu, jika adakan mesyuarat, jangan pula membincangkan hal secara umum, sebaliknya perlu lebih teliti untuk tahu siapa yang bertanggungjawab melaksanakan tugas tertentu dan tempoh masa untuk mengatasi setiap masalah," katanya.

Beliau berkata, pentingnya mengadakan mesyuarat yang bermutu terbukti apabila kerajaan mewajibkan Jawatankuasa Pengurusan Kewangan bermesyuarat empat kali setahun untuk mencari punca dan langkah penyelesaian terbaik menangani sebarang masalah.

Tiada ulasan: