HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Disember 2008

2 maut tanah runtuh Hulu Klang

MSTAR ONLINE
14 banglo di Taman Bukit Mewah, Bukit Utama tertimbus


[DIKEMAS KINI, 11 pagi] KUALA LUMPUR Polis mengesahkan mangsa korban tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini, setakat ini ialah dua orang melibatkan seorang ibu dan anaknya.

Seramai 93 mangsa dalam kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa itu berjaya menyelamatkan diri.

Perkata itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang berada di tempat kejadian.

Ia merupakan kejadian ketiga dalam tempoh seminggu ini termasuk yang terbaru dua hari lalu di kawasan Jalan Semantan di sini yang memusnahkan 11 kenderaan tetapi tiada kehilangan nyawa.

Pada Ahad lalu, dua beradik mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Lot 110, Jalan Belida 1, Hulu Yam Perdana, Selangor.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah.

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed, Thajudeen Abdul Wahab.

Sebelum itu, jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di tempat kejadian, yang dipetik Bernama berkata, terdapat empat mangsa korban dalam insiden kirakira 4 pagi itu.

PBSM juga melaporkan 15 orang yang dilaporkan cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.

Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air dalam tanah.

Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kini sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

Mangsa insiden termasuk yang mengalami kecederaan menerima rawatan di surau Addinniah sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan tidak kurang daripada 12 ambulans.

Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut melawat tempat kejadian berkata pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.

BERITA TERDAHULU

Tanah runtuh Bukit Antarabangsa, 4 maut

KUALA LUMPUR: Empat terkorban manakala lebih daripada lapan orang dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh 4 pagi yang menyebabkan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di kawasan Bukit Antarabangsa dekat sini, tertimbus.

Empat mayat yang ditemui melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki, demikian menurut jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang berada di tempat kejadian.Kirakira 15 orang pula dilaporkan cedera dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Kejadian tanah runtuh itu telah mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Tiada ulasan: