Ekmal Yusof
KUALA KANGSAR - 300 buah rumah dikhuatiri diancam hakisan dan tanah jerlus apabila pemaju projek Kerajaan Persekutan membina taman rekreasi di Kg. Sayong Tebing dekat sini menggunakan pam lombong untuk menyedut pasir dari Sungai Perak, berdekatan dengan tapak projek berkenaan.
Penduduk-penduduk di situ melahirkan kebimbangan jika projek tersebut tidak diberhentikan segera mungkin ia akan membawa bencana besar kepada mereka.
Tinjauan Harakahdaily semalam mendapati kerja-kerja menambak tapak menggunakan kuantiti pasir yang sangat banyak, disedut daripada dasar tebing tapak projek Sungai Perak sepanjang hari dibantu oleh kenderaan jentera berat.
Seorang penduduk, Yahaya Ariff merayu kepada pihak Kerajaan Persekutuan supaya berhentikan segera projek tersebut yang lebih mendatangkan bencana dan kesusahan kepada penduduk daripada faedahnya.
"Saya difahamkan projek yang sedang dibuat sekarang adalah dalam fasa pertama, dan akan disusuli fasa kedua berhampiran Jambatan Sayong dan fasa ketiga berhadapan dengan Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini," katanya.
Menurutnya, rakyat tidak nampak projek tersebut membawa faedah positif tetapi sebaliknya mendatangkan bahaya yang sukar diduga sekiranya pasir-pasir dekat tapak ini disedut terus sehingga mendalamkan air sungai. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan