HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Disember 2008

Apa salah saya?

KLPOS.com


Bekas menteri di Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Zaid Ibrahim, yang dipecat daripada Umno Selasa lalu berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat ini, demikian menurut laporan media semalam.

'Saya tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat,' kata beliau, yang dipetik dalam laporan laman berita The Malaysian Insider.

Beliau juga mempertikaikan pemecatan mendadaknya daripada parti itu kerana tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan.

'Saya juga tidak tahu sebarang kesalahan yang saya telah lakukan. Saya tidak menghadiri majlis makan malam DAP atau Kongres PKR untuk memprovokasi sesiapa,' katanya dalam satu sidang akhbar pagi semalam, yang dipetik laman berita Malaysiakini.

'Saya sekadar hendak mendengar atas jemputan rakan-rakan tapi itulah sikap Umno. Ia melihat provokasi dan musuh di mana-mana,' ujar beliau.

Datuk Zaid berkata, jika diberi amaran dan surat tunjuk sebab terlebih dahulu, beliau 'tidaklah terkilan sangat', tetapi beliau menekankan bahawa beliau tidak terperanjat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno itu.

Menurutnya, beliau juga tidak akan membuat sebarang rayuan di mahkamah berhubung kes pemecatannya kerana 'kalau menang pun, ia adalah kemenangan tanpa makna kerana orang sudah tidak suka'.

Bagaimanapun, Datuk Zaid berkata isterinya, Datin Shuliana Shamsuddin Alias, yang turut hadir dalam sidang akhbar itu, masih menjadi ahli Umno kerana 'beliau tidak dipecat', manakala tindakan Umno memecatnya pun tidak akan mencalarkan imejnya.

Sebaliknya, pemecatan beliau daripada Umno ialah kerana Umno enggan menerima idea perubahan yang dibawanya dan bersikap 'pilih kasih', tegas beliau.

'Sedangkan ramai lagi mengkritik Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) dan mempersendakan parti, bahkan mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman, (tetapi) tiada tindakan diambil.

'Sebab mereka orang-orang besar. Mungkin ada pilih kasih. Saya pergi makan (hadiri majlis berkenaan), dipecat,' katanya.

Mengenai masa depannya pula, Datuk Zaid berkata ketika ini tumpuannya adalah kepada penubuhan Yayasan myFuture, yang bertujuan membantu generasi muda memahami kepentingan demokrasi, kedaulatan undang-undang, keburukan amalan rasuah dan pentingnya keharmonian kaum.

'Anda akan terus melihat saya dalam program pembangkang, NGO (badan bukan kerajaan) dan kalau Umno sekalipun, saya akan hadir,' katanya lagi.

Ditanya apakah beliau akan kembali semula ke Umno jika dipelawa, Datuk Zaid menjawab ringkas: 'Bukan Umno sekarang.'

Mengimbas malam pemecatan beliau, Datuk Zaid berkata beliau menerima SMS daripada seorang temannya yang menyebut 'Zaid dipecat'.

Kemudian secara berseloroh, beliau menambah: 'Orang yang jemput saya itu pun akan dipecat.'

Sebelum itu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dipetik akhbar Berita Harian sebagai berkata keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat Datuk Zaid adalah satu pengajaran kepada pemimpin dan ahli parti supaya tidak mengambil tindakan bertentangan dengan perjuangan dan perlembagaan parti.

Menurutnya, hukuman ke atas bekas menteri bertanggungjawab bagi ehwal undang-undang itu juga tepat dan selaras dengan dasar Umno terhadap pemimpin yang mengaibkan parti itu.

Tiada ulasan: