Noor M.Perak.
Sudah ramai yang membincangkan isu ini, dari pak cik di kedai kopi sehinggalah kepada mantan perdana menteri, Tun Mahatir Mohamad. Saya terpanggil untuk menulis pandangan saya selepas membaca beberapa komen di akhbat tempatan. Saya bukan dari rumpun Melayu sebaliknya asal keturunan saya adalah dari India.
Pada pandangan saya, kelemahan bahasa Melayu itu adalah kerana bangsa Melayu itu sendiri.
Pertama, umum mengetahui bahawa bahasa Melayu banyak meminjam kata dari bahasa lain untuk memperkayakan perbendaharaankatanya. Ini termasuklah bahasa Portugis, Cina, Sanskrit, Tamil, Arab, Inggeris dan lain-lain lagi. Dengan yang sedemikian, apakah boleh kita simpulkan bahawa bangsa Melayu tidak berupaya untuk mencipta dan perkayakan perbendaharaan katanya sendiri?
Kedua, bangsa Melayu masih tebal dengan semangat kenegerian, ini jelas apabila kita melihat loghat mereka. Adalah tidak keterlaluan untuk saya katakan, bahawa adanya rakyat Malaysia (baca Melayu) yang tidak dapat berbual (sengaja saya tidak menggunakan perkataan “komunikasi”) dengan rakan Melayu yang lain apatah lagi jika rakannya itu dari Kelantan. Rumpun Melayu perlu bersatu terlebih dahulu untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Ketiga, apalah yang hendak dibanggakan sangat apabila kita hanya bijak dan pantas “memelayukan” saja perkataan dari bahasa Inggeris atau bahasa lain. Communication jadinya komunikasi, Integration jadi Intergrasi, hospital, bajet, asimilasi, prioriti dan senarai ini amatlah panjang. Di mana Melayunya? Kenapa jabatan berkaitan atau para ilmuan kita tidak berusaha untuk mencipta dan mewar-warkan sesuatu perkataan yang baru. Apakah bangsa Melayu tidak mampu? Saya berpandangan, bangsa Melayu kini, malas dan tidak mahu. Jika kita hanya mampu mengubah ejaan dan mendabik dada mengatakan, inilah dia bahasa Melayu.
Tahukan anda apa erti “maun” dan “maging”. Saya yakin perkataan ini telah hilang dari segi penggunaannya. Maun ertinya ‘herbivore’ dan maging ertinya ‘carnivore’. Pawagam? PAnggung WAyang GAMbar, kalau betul bacaan saya, perkataan ini di perkenalkan oleh Tan Sri P. Ramlee. Bangsa lain mampu mencipta perkataan, sebagai contoh, ‘Computer’, “Kannini dalam bahasa Tamil”, “Komputer dalam bahasa Melayu” ‘electric’ Minsaram dalam Tamil dan elektrik dalam bahasa Melayu. Orang lain boleh, kenapa kita hanya tukar ejaan sahaja?
Jati diri kita terhadap bahasa Melayu hanyalah senipis kulit di badan. Tidak lebih, tidak kurang. Apabila timbul permasalahan, semua bising, selepas itu buat kerja masing-masing, sudah tidak ambil pusing.
Keempat, Bidang penyiaran dan penerbitan (Media). Ini termasuklah semua jenis media. Amat memalukan apabila penyampai berita di radio tempoh hari berkata “Prioriti rakyat sudah berubah”. Saya amat terkejut dengan berita tersebut. Kemana hilangnya perkataan “Keutamaan”. Apakah pada hari tersebut perkataan tersebut bercuti di Genting Highland atau Cameron Highland? Media boleh memainkan peranan yang amat besar dalam memartabatkan bahasa Melayu. Saya yakin semua ketua di bahagian penyiaran rata-ratanya adalah Melayu. Habis, kenapa bahasa Melayu terpinggir dan di bakul sampahkan? Di mana silapnya?
Bahasa pengajaran di sekolah tidak ada kaitannya dengan martabat bahasa Melayu. Pada pandangan saya, martabat bahasa Melayu telah turun piawaiannya jika di bandingkan dengan tahun - tahun 50an hingga 70an. Lihat saja tuturan wayang zaman Tan Sri P. Ramlee dan tuturan wayang zaman sekarang. Perlukan saya huraikan dengan lebih lanjut? Semua ini salah siapa?
Sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu sejak sekian lama. Kenapa terjadinya penurunan piawaian ini? Adakah kita amat yakin jika kita terus mengajar dalam bahasa Melayu, 50 tahun dari sekarang bahasa Melayu akan tinggi martabatnya. Saya yakin kita tidak akan kemana. Ini adalah kerana kini, kita banyak menggunakan bahasa yang di “Melayukan” berbanding dengan dahulu.
Dewan Bahasa dan Pustaka berserta dengan badan berwajib yang lain hendaklah duduk semeja dan mengenalpasti permasalahan yang di hadapi oleh bahasa Melayu. Dapatkan juga maklumat serta penglibatan dari badan berwajib bahasa yang lain. Dapatkan pemahaman yang lebih jelas terhadap sesuatu perkataan yang baru dari segi dasar dan maksud. Yakinlah, dengan hanya memastikan setiap rakyat Malaysia belajar dalam bahasa Melayu tidak akan meninggikan martabat bahasa Melayu dengan sendirinya. Kita perlu ada perancangan yang teliti dan usaha yang berterusan untuk memperkaya dan memperluaskan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Cukuplah perkataan yang telah di ‘melayukan’. Ciptakan perkataan yang baru dan gunakan semua saluran yang ada untuk hebahkannya.
Bahasa itu mencerminkan bangsa, tapi uniknya kita di Malaysia, bahasa Melayu mampu mencerminkan bangsa Malaysia.
Akhir kata, majulah bahasa Melayu untuk bangsa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan