HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Disember 2008

Bukit antarabangsa isyarat kedua - PM

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua kerajaan negeri menimbang untuk menghentikan projek perumahan di kawasan lereng bukit dan cerun yang berisiko tinggi.

Perdana Menteri berkata, bukan sahaja di Lembah Klang, negeri-negeri lain juga sepatutnya tidak membenarkan pembangunan perumahan di kawasan cerun.

"Ia bukan satu kerugian tapi demi keselamatan," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas melawat kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini, yang menyebabkan 14 banglo tertimbus dan empat nyawa terkorban hari ini.

Beliau berkata kerugian mungkin lebih besar sekiranya tanah runtuh berlaku berbanding kerugian tidak menjalankan projek di tanah berisiko tinggi.

"Mungkin tuan tanah akan marah, sebab nak guna tanah untuk bina rumah. Mungkin pemaju nak dirikan rumah atau kondominium di sini akan tidak senang hati, kalau sekiranya ditegah meneruskan hasrat mereka di kawasan berisiko itu," katanya.

Abdullah berkata, kejadian hari ini dan dua kejadian sebelum ini perlu dijadikan isyarat bahawa sekiranya perhatian serius tidak diberi, ia boleh mengundang kejadian yang lebih buruk.

Malah katanya, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini merupakan amaran kedua selepas tragedi hampir serupa di pangsapuri Highland Towers kira-kira 15 tahun lalu.

''Saya diberitahu Bukit Antarabangsa merupakan kawasan tadahan air dan sebarang pembangunan tidak sepatutnya diadakan di sini.

''Kalau pihak pemaju mahukan keuntungan melalui projek di lereng bukit, ia akan menyebabkan kerugian pada kemudian hari," katanya pada sidang akhbar selepas melawat lokasi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Abdullah yang berada di Pulau Pinang pagi ini untuk sambutan Hari Raya Aidiladha Isnin ini, bergegas pulang ke ibu kota dan tiba di lokasi kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Abdullah menambah, kerajaan telah mengarahkan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengetuai agensi lain seperti Jabatan Geologi bagi mengkaji semula aspek keselamatan projek-projek pembangunan di seluruh negara.

''Bagi projek-projek terutama yang terletak berdekatan lereng bukit, agensi-agensi ini akan mengkajinya bagi memastikan ia selamat," jelasnya.

Tiada ulasan: