BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mengadakan demonstrasi untuk meluahkan rasa tidak puas hati, bukan langkah bijak sebaliknya hanya mengundang tindakan tegas pihak berkuasa, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman.
Beliau mengulas cadangan pihak tertentu yang dikatakan ingin menganjurkan demonstrasi di hadapan Suruhanjaya Tinggi India di Jalan Duta di sini, esok.
Demonstrasi itu dikatakan sebagai membantah tindakan pihak polis India yang didakwa menyebabkan kematian seorang rakyat Malaysia ketika cuba mematahkan serangan pengganas di beberapa lokasi di Mumbai awal minggu ini.
Seramai 10 militan bersenjata menyerang beberapa lokasi di Mumbai dan menyebabkan 171 mangsa terbunuh termasuk 26 warga asing.
"Sehubungan itu, kita akan membuat pemantauan di sekitar jalan masuk ke suruhanjaya itu," katanya selepas kempen derma darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 42 tahun yang didakwa mengugut ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan menconteng cat hitam di bangunan pejabatnya di Jalan Kuchai Lama di sini, ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam.
Muhammad Sabtu berkata lelaki tersebut turut menulis perkataan yang mendakwa ahli parlimen itu bercakap bohong, dalam bahasa Mandarin.
"Orang awam yang terlihat kejadian itu terus menangkap dan membawanya ke Balai Polis Petaling, namun selepas disiasat lelaki itu sebenarnya mengalami masalah mental" katanya.
Katanya polis membebaskan lelaki tersebut selepas menyedari perkara itu (masalah mental), manakala Teresa pula menarik balik laporan yang dibuat pukul 10.30 malam semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan