Ruhanie Ahmad
Minggu lalu saya siarkan siri posting mengenai usaha-usaha pembanterasan rasuah oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kesimpulan kepada tulisan itu adalah: imej Mr. Clean Abdullah telah dimanipulasikan oleh segelintir pihak di sekelilingnya menerusi gagasan propaganda anti-rasuah yang amat ghairah. Gagasan propaganda anti-rasuah ini akhirnya dijadikan topeng oleh pihak berkenaan untuk melindungi karenah penyalahgunaan kuasa, neopotisme dan kronisme mereka yang tidak putus-putus disorot dan dibicarakan hingga ke hari ini.
Saya menerima komen pelbagai rupa terhadap siri tersebut. Ada yang merasa jelek dan loya tentang kisah-kisah membabitkan rasuah. Ada yang beranggapan saya siarkan siri itu untuk memperkecilkan perjuangan Abdullah. Ada yang kata, kenapa tidak disorot soal rasuah di era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi, ada juga yang setuju dengan kesimpulan di atas.
Kepada semua pihak, ini jawapan saya. Isu pembanterasan rasuah amat terserlah di era awal kepimpinan Abdullah. Sebab itu rakyat jelata mengalu-alukannya dengan harapan tinggi melangit. Ini kerana pada ketika itu Abdullah dihadirkan ke persada kepimpinan negara dengan imej Mr. Clean. Imej itu pula diperkukuhkan lagi menerusi persepsi yang lahir daripada puisi Abdullah berjodol Aku Cari Damai Abadi.
Hakikat ini berbeza dengan Mahathir yang menerajui negara dengan imej Melayu Ultra. Mahathir juga berusaha memerangi rasuah dan kemungkaran lainnya menerusi slogan Kepimpinan Melalui Teladan serta Penerapan Nilai-Nilai Islam. Ini bermakna Mahathir bertindak menerusi pendekatan insani untuk mewujudkan sikap, nilai dan gaya hidup yang murni. Sebaliknya, Abdullah bertindak menerusi langkah perundangan dan kewujudan institusi anti-rasuah.
Pemupukan Jiwa
Dalam ertikata lain, Mahathir bertindak menentang rasuah menerusi pemupukan minda, roh dan jiwa yang disasarkan kepada seluruh rakyat jelata secara subtle. Abdullah pula bertindak memerangi rasuah menerusi kewujudan kerangka institusi dan ketegasan undang-undang yang direct kepada kumpulan sasar jenayah berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan Abdullah penuh ironi dan kontradiksi. Gagasan anti-rasuah beliau yang bermula dengan gembar-gembor yang amat lantang kemudiannya sunyi sepi di pertangahan jalan. Bila sudah mengumumkan persaraannya, barulah Abdullah bersuara semula bahawa beliau memerlukan waktu untuk melaksanakan agenda anti-rasuahnya sehingga berjaya.
Dalam vacuum masa yang wujud di antara fasa kegembar-gemboran gagasan anti-rasuah Abdullah pada awal 2004 dengan kenyataannya mahu membereskan isu rasuah sebelum bersara, rakyat jelata disuguhkan pula dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan neopotisme, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang dikatakan membabitkan Abdullah atau sesetengah anggota keluarganya.
Anehnya, segala dakwaan ini terus tinggal dakwaan hingga ke hari ini. Persepsi negatif yang timbul daripada dakwaan ini juga langsung tidak diperbetulkan. Negativiti ini pun menghakis keyakinan sekelompok rakyat jelata yang pada awalnya menggantungkan harapan tinggi kepada Abdullah dalam memerangi rasuah.
Manipulasi
Sebab itulah Abdullah kini ditempelak bila beliau berbicara mengenai anti-rasuah. Antara sebabnya adalah manipulasi, ironi dan kontradiksi di atas. Antara akibatnya, janji memerangi rasuah yang dimaktubkan dalam Manifesto BN bagi PRU11 pun langsung tidak dimaktubkan lagi, waimah sepatah kata pun, dalam Manifesto BN bagi PRU12.
Perkara ini benar, tetapi jadi politically incorrect, bila disuarakan secara hitam-putih. Ia jadi politically incorrect khususnya kepada pihak yang membuat kesimpulan minda berasaskan ketaksuban tanpa batas kepada Abdullah. Ia juga jadi politically incorrect kepada mereka yang wujud di persekitaran kepimpinan mutakhir atas motivasi wang dan ringgit, pangkat dan darjat, yang boleh digapai secara lumayan, mudah dan cepat.
Sebab itulah pihak-pihak ini cepat-cepat membidaskan sesiapa jua yang membicarakan kisah Abdullah dan gagasan anti-rasuahnya secara tajam. Mereka gagal menerima hakikat bahawa pembicaraan seperti ini bukannya kontra kepada Abdullah atau pro kepada Mahathir.
Pihak-pihak ini juga enggan menerima realiti bahawa Abdullah kini merupakan Mr. Clean yang sentiasa dipertikaikan kesahihannya. Sebaliknya, Mahathir pula adalah Melayu Ultra yang kini diterima sebagai negarawan ulung.
Langit Dan Bumi
Beza antara Abdullah dan Mahathir bagaikan langit dan bumi. Walaupun Mahathir tidak gembar-gembor mengenai anti-rasuah, Indeks Persepsi Rasuah di era beliau tidaklah setinggi indeks di era Abdullah. Legasi kepimpinan beliau juga tetap pelbagai corak dan warnanya.
Meskipun Abdullah gembar-gembor memerangi rasuah, Indeks Persepsi Rasuah di era beliau terbukti kian meningkat. Sebab itulah hingga ke hari ini rakyat jelata masih menanti penghujung dan kejayaan kepada perjuangan Abdullah menentang rasuah. Jika kita sanggup berfikir secara waras, pasti kita mampu memperincikannya.
Kini Abdullah mempunyai masa kira-kita tiga bulan untuk membereskan perjuangannya membanteras rasuah. Moga-moga perjuangan ini akan jadi satu-satunya legasi Abdullah yang akan dikenang zaman berzaman!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan