HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Disember 2008

Orang Melayu perlu proaktif martabat tulisan Jawi

SIASAH ONLINE


KOTA BHRU: Bangsa Melayu digesa bersikap proaktif untuk memartabatkan kembali tulisan jawi untuk memastikan kesinambungan warisan yang menjadi jati diri orang Melayu itu.

Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr. Johari Mat berkata, langkah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan Bahasa Melayu perlu mempunyai gerakan perubahan yang menyeluruh bermula dari awal kanak-kanak hingga ke peringkat menara gading.

"Ia lebih kepada soal jati diri, bahkan kekuatan sesuatu bangsa bergantung kepada bagaimana mereka menghargai warisan bangsa mereka sendiri. "Tidak usahlah bercakap mengenai isu global andainya bangsa sendiri terabai," katanya pada satu majlis di sini.

Kata beliau, memandangkan tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu, sewajarnya ia dimartabatkan ke tempat sepatutnya dan harus disedari bahawa tulisan Jawi adalah tulisan istimewa oleh kerana di serluruh dunia tulisan Jawi hanya ada pada masyarakat Melayu saja.

Katanya, bangsa Melayu bertanggungjawab memartabatkan tulisan Jawi, bahkan mereka wajib mempertahankannya oleh kerana ketinggian teknologi dan kekuatan ekonomi Melayu tidak bererti sama sekali andainya tulisan Jawi yang menjadi warisan bangsa gagal dipertahankan.

Katanya, sebelum pengetahuan moden dengan perbendaharaan yang sofistikated diperkenalkan, tulisan Jawi digunakan Istana dalam bidang persuratan, perjanjian dan undang-undang.

"Bagaimanapun serangan untuk menjatuhkan tulisan Jawi di Tanah Melayu dilakukan sebelum penjajah meninggalkan Tanah Melayu menerusi lidah anak Melayu sendiri," katanya.

Beliau berkata, jatuhnya tulisan Jawi berperingkat termasuk pada Kongres Persuratan Melayu 1952 yang akhirnya melahirkan resolusi;; "Tulisan Rumi dan Jawi digunakan dalam Persuratan Melayu dan tulisan Rumi dijadikan tulisan Rasmi".

Manakala Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGSM) pada kongres keduanya (1854) mengusulkan Kongres itu dengan merakamkan; "Bahawa Persuratan Melayu Se-Malaya yang bersidang pada 1 Januari 1954 di Seremban mengambil keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya".

Beliau berkata, usul itu turut dipersetujui Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) menerusi memorandumnya pada 27 Mac 1954.

"Memorandum itu memaparkan 11 kelebihan dan satu kelemahan tulisan Rumi, manakala tulisan Jawi pula mempunyai 12 kelemahan dan satu kelebihan.

"Memorandum itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelajaran Razak dan menerimanya setelah menimbangnya dengan halus mengenai penggunaan tulisan Rumi atau Jawi dalam Bahasa Kebangsaan dan mencadang supaya digunakan tulisan Rumi dengan syarat diadakan pelajaran Jawi bagi murid-murid Islam," katanya.

Menurutnya, ekoran itu tulisan Jawi yang sebelum itu dipandang hebat mulai hilang pengaruhnya.

"Betapa hebatnya orang Melayu dahulu merancang untuk menjatuhkan tulisan Jawi, tulisan yang menjadi saluran kekuatan bangsanya sendiri," ujar beliau.

Dr Johari menambah, rancangan untuk menjatuhkan orang Melayu dengan tulisan yang berdasarkan huruf-huruf wahyu dan mengubah sebutan serapan Arab agar orang Melayu menyebut kata tertentu dengan tidak betul akhirnya menemui kejayaan,.

Sehubungan itu, Dr. Johari berkata langkah memartabatkan semula tulisan Jawi hendaklah dipandang penting, bukan sekadar tulisan warisan, tulisan hiasan dinding.

"Setiap bangsa mempunyai bahasa dan tulisannya, kerana ianya merupakan lambang kepada citra dan jati diri bangsa itu. "Sekiranya kita orang Melayu tidak berbangga dan tidak memartabatkan tulisan Jawi, samalah tidak berbangga dengan budaya dan citra bangsa sendiri."

Tiada ulasan: