HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Disember 2008

SAR sepanjang malam, 10 hari nilai status Bukit Antarabangsa

Bagaimanapun operasi bantu penduduk tempatan keluarkan barangan dihenti malam ini

Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI, 11 malam]


KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor menetapkan tempoh 10 hari untuk menilai tahap keselamatan kawasan sekitar Bukit Antarabangsa ekoran tragedi tanah runtuh yang meragut empat nyawa kelmarin.

Operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan seorang lagi mangsa diteruskan sepanjang malam ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sama ada kawasan sekitar selamat untuk diduduki ataupun sebaliknya akan ditentukan dalam tempoh tersebut.

Jaminan itu diberikan oleh beliau pada sidang media di tempat kejadian sebentar tadi.

Kata beliau, kerajaan negeri dan pakar geologi akan meletakkan alat pengesan gegaran bagi mengesan sebarang gegaran atau pergerakan tanah.

Tambah beliau, tempoh masa 10 hari adalah munasabah bagi menentukan risiko yang kemungkinan dihadapi.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dicapai bagi menjawab kebimbangan penduduk yang berpindah keluar.

"Ia diputuskan dalam mesyuarat khas Exco Selangor yang diadakan di bilik gerakan bencana Majlis Perbandaran Ampang Jaya di tapak kejadian," katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pula berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan seorang warga Sri Lanka yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu diteruskan sepanjang malam ini.

Ini kerana cuaca adalah baik pada waktu malam selepas hujan lebat sejak awal pagi, kata beliau pada sidang media pukul 10.30 malam tadi.

Ketika ditemui wartawan pukul 8 malam tadi, beliau berkata, pihaknya masih meneruskan operasi tersebut di sebalik keadaan berhujan.

Bagaimanapun menurut beliau, operasi membantu tuan rumah kembali ke rumah untuk mengambil barangan masing-masing dihentikan malam ini dan akan disambung semula esok.

Terdahulu beliau menyifatkan sebagai khabar angin "cakap-cakap" bahawa anggota polis dan tentera menceroboh masuk rumah yang dikosongkan di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa.

Beliau menganggap ia hanya khabar angin selagi tiada laporan polis dibuat.

"Jika betul ada tentera dan polis masuk ke rumah penduduk, buat laporan polis dan minta jangan sebarkan khabar angin, kerana kita tidak mahu operasi terganggu. Kita akan halusi laporan dan siasat," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini hanya enam laporan polis dibuat, lima melibatkan kes hilang harta benda manakala satu lagi laporan tidak puas hati mengenai ada pihak yang tidak berkaitan berada di kawasan itu.

"Laporan itu hanya dibuat oleh mereka yang rumah mereka terjejas akibat tanah runtuh dan bukan dari mereka yang rumah mereka dikosongkan," katanya.

Khalid berkata, polis akan meningkatkan kawalan di rumah-rumah yang telah dikosongkan dan di rumah yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku pada pukul 4 pagi kelmarin dan meragut empat nyawa serta menimbus 14 banglo.

Beliau juga berkata, usaha untuk mengesan pembantu rumah warga Sri Lanka yang berusia 30 tahun giat dijalankan dan polis telah memaklumkan kepada Kedutaan Sri Lanka.

Wanita itu dilaporkan tidak dapat dikesan sejak kejadian tanah runtuh Sabtu lepas.

Khalid berkatam wanita itu telah berkerja dengan keluarga mangsa Dr N. Yogeswari selama enam tahun.

Yogeswari, 40, merupakan salah seorang mangsa yang terkorban.

Tiga lagi ialah akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, dan warga Indonesia Surinah, 30an.

Khalid berkata operasi hari ini menjadi lebih mencabar apabila hujan turun sejak awal pagi menyebabkan kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa dibuat secara berhati-hati.

"Masih terdapat pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh," katanya.

Tiada ulasan: