HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Disember 2008

Shah Rukh Khan tidak hargai Dato' Melaka

Zaili Muhammad


MELAKA - Kewibawaan Kerajaan Negeri Melaka dipertikaikan oleh pelbagai pihak dalam isu penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Dato' kepada Shah Rukh Khan (SRK) kerana selain tidak layak beliau juga seperti tidak menghargai pemberian tersebut.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Adly Zahari, bahawa ini menunjukkan anugerah Dato' tersebut tiada kewibawaan dan menjatuhkan imej Kerajaan Negeri Melaka selaku pemberi anugerah.

"Isu macam ini menjatuhkan imej kerajaan negeri yang terpaksa tunggu SRK beri tarikh yang sesuai, sepatutnya beliau perlu akur tarikh yang telah ditetapkan.

"Seperti anugerah yang ada taraf atau wibawa biasanya sipenerima yang mengikut tarikh yang diberi oleh pihak penganjur tetapi kerajaan negeri terpaksa akur dengan tarikh daripada SRK pula," kata beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan SRK yang meminda-minda tarikh anugerah itu seolah-olah tidak menghargai dan memandang rendah penganugerahan Dato' itu.

Adly juga mempersoalkan berapa banyak kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri berhubung dengan dua kali pembatalan majlis bagi tujuan tersebut sebelum ini dan pada kali ini pula terpaksa diadakan suatu lagi majlis khas untuk aktor Bollywood itu.

"Kita juga nak tahu berapa kerajaan negeri terpaksa tanggung akibat pembatalan majlis untuk aktor tersebut sebelum ini kerana pelbagai persiapan telah dibuat dari segi tempahan dan sebagainya," tambah beliau.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan kepada SRK akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada 10 pagi, 6 Disember ini.

Beliau juga dijadualkan melawat Menara Taming Sari pada 2.10 petang, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside (2.25 petang), Eye On Malaysia (2.50 petang), Pentas Jonker Walk (3.25 petang), menaiki bot dari Padang Nyiru ke Eye On Melaka (3.45 petang), Kampung Morten (4.10 petang) dan bertemu peminat di konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (4.45 petang) dan terbang balik ke Mumbai pada 8 malam, hari sama.-Hrkh _

Tiada ulasan: