HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Disember 2008

SIRI AKHIR: MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Ruhanie Ahmad


Saya telah huraikan dalam siri satu, dua dan tiga mengenai maudhuk di atas perihal kesungguhan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memerangi rasuah. Sekarang sama-samalah kita pastikan kesan tindakan anti-rasuah oleh Abdullah mulai awal 2004 dengan mengkaji perangkaan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia, seperti berikut:

IPR di era Mahathir pada tahun 2002 adalah pada tangga ke-33 sementara IPR pada tahun 2003 adalah pada tangga ke-37. IPR di era kepimpinan Abdullah mulai tahun 2004, adalah pada tangga ke-39 bagi tahun 2005, di tangga ke-44 pada tahun 2006 di tangga ke-44, dan di tangga ke-43 pada tahun 2007.

Hakikat IPR seperti di atas membuktikan bahawa usaha-usaha pembanterasan rasuah yang dilakukan oleh Abdullah secara gembar-gembor mulai 31 Oktober 2003 terbukti tidak membawa impak yang positif. Sebab itulah tahap IPR di Malaysia kian merosot dari setahun ke setahun berikutnya, dari lingkungan tangga ke-30 di era Tun Mahathir ke lingkungan tangga ke-40 di era Abdullah.

Oleh itu, kalaulah pada 16 Februari 2004, Abdullah seolah-olah mendabik dada mengatakan bahawa tindakan tegas beliau memerangi rasuah sebenarnya lahir daripada hasrat beliau sendiri, mengapakah Abdullah tidak berupaya untuk menyekat IPR seperti di atas daripada terus meredum dari setahun ke setahun?

Di manakah iltizam politik Abdullah seperti yang dinyatakan oleh Tengku Abdul Aziz, sebagai telah menyebabkan Malaysia “berubah” dalam konteks perjuangan membanteras rasuah, mulai awal 2004?

Anti-Klimeks

Dan, salahkah kalau perangkaan IPR di atas digunakan oleh rakyat untuk menempelak Abdullah, yang pada 18 Februari 2004, menyatakan di Tehran, bahawa usahanya membanteras rasuah bukannya sebagai gimik politik menjelang PRU11?

Pada waktu yang sama, cukupkah bagi Abdullah sekadar mengheret soal rasuah di Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, pada 14 September 2005, semata-mata untuk memberitahu komuniti antarabangsa, bahawa kononnya kepimpinannya “masih belum hilang tumpuan dalam usahanya memerangi rasuah”?

Demikianlah ironisnya kisah Abdullah dan usaha-usaha pembanterasan rasuah di era awal kepimpinannya. Ironi dan situasi anti-klimaks inilah yang menyebabkan saya, dalam siri satu tulisan ini, meminta para pembaca mencari jawapan terhadap persoalan sama ada Abdullah benar-benar ikhlas dan jujur dalam usahanya membanteras rasuah di era awal kepimpinannya.

Saya juga meminta para pembaca memikirkan sama ada usaha Abdullah membanteras rasuah sebenarnya dimanipulasikan oleh sesetengah pihak tertentu untuk mencapai agenda rahsianya yang tersendiri. Dan, mungkinkah salah satu agenda rahsia itu adalah untuk mencipta persepsi umum, kononnya Abdullah adalah pejuang anti-rasuah yang tulen dan ulung di Malaysia, dengan harapan persepsi palsu ini membolehkan pihak-pihak tertentu melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan sewenang-wenangnya di era kepimpinan Abdullah, tanpa dipercayai oleh rakyat jelata bahawa Abdullah adalah antara pihak yang terlibat sama dalam jenayah berkenaan, baik secara langsung atau secara tidak langsung?

Persoalan-persoalan di atas saya lontarkan kepada para pembaca kerana salah satu masalah utama yang dipercayai mencengkam kepimpinan Abdullah mutakhir ini adalah masalah rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme. Dan, jika usaha Abdullah membanteras rasuah bukan sekadar gimik politik, mengapakah di era kepimpinan beliau mutakhir ini terdapat seribu satu masalah membabitkan rasuah, kronisme, salahguna kuasa dan neopotisme?

Kronisme

Hakikat rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme ini tidak perlu dihuraikan dalam siri ini secara terperinci. Cukuplah sekadar kita tanyakan kepada Abdullah soal skandal ECM Libra yang membabitkan Khairy selaku menantunya. Mengapakah siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia yang menyiasat dakwaan salahguna kuasa dan neopotisme ke atas kes ini seolah-olah berdolak-dalik dan takut-takut dalam usahanya membongkarkan kebenaran yang sebenar-benarnya?

Adakah mereka menghadapi tekanan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk daripada Abdullah sendiri? Mengapakah Abdullah seolah-olah tidak prihatin terhadap suara rakyat yang menuntut ketelusan dalam isu ini?

Di manakah iltizam politik yang ditunjukkan oleh Abdullah pada era awal kepimpinannya untuk membanteras kes-kes seperti ini? Tidakkah Abdullah insaf bahawa sikap double standard beliau dalam menangani kes ECM Libra ini menghakis keyakinan rakyat kepada beliau, kepada BN dan kepada kerajaan Malaysia?

Mengapakah pihak media yang pada awalnya berlebih-lebihan sangat ulasannya mengenai tindakan anti-rasuah Abdullah, kemudiannya seolah-olah jadi bisu dan membatu dalam kes ECM Libra?

Sesudah itu, kita tanya kepada Abdullah mengenai kisah wang rakyat sejumlah lebih tiga bilion ringgit untuk projek Port Klang Free Zone (PKFZ) yang kini seolah-olah lesap ditelan jutaan toyol? Dalam kes ini, kita ulangi soalan-soalan yang sama seperti di atas - ketelusan Abdullah, keikhlasan Abdullah, iltizam politik Abdullah, double standard Abdullah, peranan media di bawah kawalan Abdullah dan seluruhnya.

Keyakinan

Dan, kita juga ulangi, tidakkah Abdullah insaf bahawa skandal ini juga menyebabkan rakyat jelata hilang keyakinan terhadap Abdullah, BN dan kerajaan Malaysia mutakhir ini?

Berikutnya, banyak lagi kisah skandal yang terjadi di era kepimpinan Abdullah yang rata-ratanya juga dikesampingkan seolah-olah ianya tidak pernah terjadi. Antara kisah yang tidak boleh diketepikan termasuklah kisah bagaimana wang beratus-ratus juta ringgit dikatakan telah digunakan oleh kroni Khairy untuk projek Monsoon Cup di Terengganu.

Berhubung kait dengan projek Monsoon Cup ini, pihak pembangkang pernah menggesa BPR pada 2006, supaya menyiasat perjalanan pengendalian beberapa projek Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk Monsoon Cup, memandangkan wujudnya unsur-unsur yang meragukan dalam pengurusan kewangan projek-projek terbabit.

Begitulah hakikatnya mengenai Monsoon Cup. Tetapi, rasanya cukuplah hanya setakat ini. Kita lupakan sahaja kes-kes dakwaan rasuah yang lain-lainnya, termasuk yang didakwa sebagai membabitkan segelintir menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan juga segelintir personaliti dalam BPR.

Saya tidak tergamak untuk menyenaraikan kes-kes ini satu persatu di sini kerana senarainya amat panjang dan impaknya amat menyayat hati rakyat jelata. Para pembaca yang berminat mengetahui kes-kes ini secara mendalam, selongkarlah sendiri kisah-kisahnya daripada beberapa laman web tertentu.

Angkara

Bagaimanapun, wajar sekali lagi kita persoalkan di sini, mengapakah usaha Abdullah membanteras rasuah yang terlalu hebat, rancak dan fokus di era awal kepimpinannya, kini jadi seolah-olah hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Akhir sekali, sama-samalah kita beritahu Abdullah bahawa kegagalan beliau meneruskan usahanya membanteras rasuah kini terbukti menjadi salah satu punca rakyat menyanggah kepimpinannya, BN dan kerajaan Malaysia secara habis-habisan menerusi PRU12 baru-baru ini.

Kita jelaskan kepada Abdullah, inilah antara satu angkara yang beliau lakukan sebagai pemimpin utama Malaysia. Kita juga jelaskan kepada Abdullah, inilah antara angkara utama beliau yang menyebabkan populariti beliau sentiasa meredum.

Sebagai penutup kepada siri tulisan ini, observation saya mengenai usaha pembanterasan rasuah oleh Abdullah adalah seperti berikut:

Abdullah telah menggembar-gemborkan soal membanteras rasuah di era awal kepimpinannya hanya sebagai gimik PRU11. Inilah hakikatnya – soal pembanterasan rasuah digembar-gemborkan oleh Abdullah hingga ke peringkat maksima hanya sebagai gimik untuk menambat sokongan rakyat menjelang PRU11.

Mati Langkah

Kalau tidak, kenapa usaha Abdullah membanteras rasuah jadi mati sekerat jalan selepas PRU11? Kalau tidak, bagaimanakah Abdullah seolah-olah hanya memekakkan telinga dan memejamkan mata terhadap kes ECM Libra yang membabitkan Khairy dan Kalimullah?

Jika hakikatnya bukan gimik PRU11, mengapakah dalam manifesto PRU12 Abdullah tidak berani langsung menyentuh mengenai misinya untuk membanteras rasuah seperti yang terkandung dalam manifesto PRU11?

Mungkinkah kerana janji-janji membanteras rasuah dalam manifesto PRU11 adalah hanya sekadar janji di mulut sahaja? Mungkinkah usaha pembanterasan rasuah yang diwar-warkan menjelang PRU11 sengaja mahu dilupakan supaya rakyat jelata juga akan terlupa mengenainya?

Akhir sekali, Abdullah telah berjanji akan mengosongkan kerusi Perdana Menteri pada Mac 2009. Kini beliau cuma ada lebih kurang tiga bulan lagi. Kalau sepanjang 31 Oktober 2003 hingga menjelang PRU12 beliau seolah-olah termati langkah mengenai usahanya membanteras rasuah, mengapakah baru sekarang baru beliau berkata bahawa usaha membanteras rasuah jadi satu daripada agenda terakhir dalam perjuangannya? Apakah usaha ini mempunyai udang di sebalik batu? Atau, munginkah wujud seseorang insan yang hendak melukut di tepi gantang di sebalik agenda ini? Untuk mendapatkan kepastiannya, sama-samalah kita perhati dan ikuti apa yang akan terjadi dengan agenda terakhir Abdullah ini!

Tiada ulasan: