HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Disember 2008

SIRI SATU:MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Ruhanie Ahmad


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai antara satu agenda utamanya sejak beliau jadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Sebab itulah menurut Bernama 4 Disember 2008, antara agenda terakhir perjuangan Abdullah sebelum melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Mac 2009, ialah “menyelesaikan isu mengenai rasuah.”

Untuk membaca berita sepenuhnya mengenai hal ini sila klik http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_15.htm

Abdullah menggembar-gemborkan isu rasuah mulai 31 Oktober 2003. Bagaimanapun, kenyataan serta tindakan Abdullah mengenai pembanterasan rasuah pada era awal kepimpinannya seolah-olah sengaja dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan sesuatu agenda yang cukup rahsia.

Sebab itulah dalam tempoh kira-kira 130 hari - sejak 31 Oktober 2003 sehingga PRU11 pada Mac 2004 - Abdullah kelihatan terlalu obsessed dengan soal rasuah. Sebab itulah juga Abdullah sentiasa membuat kenyataan demi kenyataan mengenai pembanterasan rasuah, bukan sahaja di dalam negara, malahan sewaktu beliau berucap di beberapa persidangan di luar negara.

Propaganda

Mula-mula sekali, kenyataan dan tindakan Abdullah membanteras rasuah dipropagandakan oleh pihak-pihak tertentu kononnya sebagai usaha Abdullah menterjemahkan kata-kata dalam puisinya bahawa yang beliau cari “bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya” atau “wang juta untuk hidup bergaya.”

Menurut beberapa akhbar tempatan, usaha Abdullah membanteras rasuah juga menyebabkan lebih ramai lagi rakyat jelata Malaysia kononnya terpesona dengan kepimpinan Abdullah.

Saya membuat kesimpulan di atas setelah mengkaji hampir seluruh kenyataan Abdullah mengenai tadbir-urus, rasuah, salahguna kuasa, kronisme dan neopotisme yang dilafazkan sendiri oleh Abdullah sepanjang tempoh beliau mula mewarisi kepimpinan Mahathir sehinggalah beliau mengadakan PRU11.

Saya juga kaji hampir seluruh artikel dan item berita tempatan mengenai tajuk yang sama. Seterusnya, saya kaji pula realiti tahap rasuah di era Abdullah, kecaman rakyat jelata terhadap Abdullah mengenainya, kisah ECM Libra yang membabitkan menantu Abdullah, dan Indeks Persepsi Rasuah (IPR) terbitan Transparency International bagi tahun 2002, 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Saya lakukan semua ini bukan untuk mencari kesilapan Abdullah. Tetapi, untuk membuat kepastian sama ada gembar-gembor Abdullah mengenai rasuah dan seluruh kemungkaran sejenis dengannya memang benar-benar suatu usaha yang sesungguhnya ikhlas, jujur dan berkesan.

Kajian Ringkas

Saya juga melakukan kajian ringkas ini untuk memastikan sama ada seluruh gembar-gembor Abdullah mengenai hal rasuah hanya suatu helah dan muslihat jangka pendek demi menghalalkan suatu agenda rahsia oleh pihak-pihak tertentu sesudah Abdullah menerima mandat rakyat menerusi PRU11.

Tindakan Abdullah membanteras rasuah di era awal kepimpinannya, dilaporkan buat pertama kalinya oleh Utusan Malaysia pada 7 November 2003. Akhbar tersebut melaporkan bahawa Abdullah mengarahkan pihak polis “mempercepatkan siasatan terhadap kes-kes rasuah, termasuk isu Perwaja, supaya imej kerajaan tidak tercemar.”

Menurut akhbar berkenaan, Abdullah juga mahukan “tindakan segera bagi memerangi gejala rasuah” untuk memastikan imej kerajaan BN tidak terjejas.

Abdullah juga dipetik sebagai berkata bahawa “rasuah adalah penyakit yang perlu diperangi dengan serius dan berkesan dan tindakan-tindakan yang diambil mesti segera dan tepat.”

Menurut akhbar yang sama pada 13 November 2003, Abdullah pula mengeluarkan arahan berikut:

Benci Rasuah

“Semua siasatan kes rasuah diselesaikan bagi mengelakkan timbul tanda tanya mengenai status kes tersebut. Jika perkara (kes rasuah) itu disiasat, harap dapat tamatkan siasatan hingga akhirnya. Kita hendak tahu sama ada benar-benar berlaku rasuah atau tidak.”

Abdullah juga menggariskan strategi penting untuk mencegah amalan rasuah termasuklah menerusi retorika pendekatan “bekerja secara ikhlas dan menanam niat untuk tidak mahu terlibat dengan gejala tersebut.”

Katanya: “kita mesti berikrar untuk tidak mengamalkan rasuah yang juga dilarang oleh agama.”

Kedua-dua arahan dan kenyataan seperti di atas telah mendorong setetengah media tempatan membuat kesimpulan awal bahawa sejak mengambil alih jawatan daripada Mahathir, Abdullah dikatakan cukup konsisten dengan tekadnya untuk memerangi rasuah, terutama sekali dalam sektor pentadbiran awam.

Contohnya, salah sebuah saluran TV Malaysia yang membuat wawancara sempena 100 hari kepimpinan Abdullah, telah bertanyakan satu soalan mengenai rasuah. Abdullah memberikan jawapan seperti berikut:

Strategi Abdullah

“Rasuah adalah amalan jijik. Pendekatan lebih berkesan menangani rasuah hendaklah diterokai. Pendekatan pencegahan sama penting dengan pendekatan punitif. Pendekatan pencegahan yang lebih berkesan perlu difikirkan, antaranya melalui usaha mempercepatkan proses kerja, mengurangkan red tape, memperbaiki sistem penyampaian, meningkatkan mutu kerja dan melakukan audit kerja yang lebih kerap. Saya menyeru supaya matlamat membina perkhidmatan awam yang sifar rasuah tidak digagalkan oleh amalan kurang sihat di kalangan pihak swasta dan pihak yang tidak berada dalam kerajaan.”

Kepada satu soalan, sama ada rasuah telah mencapai tahap di mana rakyat Malaysia semakin hampir menjadikannya sebagai budaya atau sudah pun menjadi budaya, Abdullah pula menegaskan seperti berikut:

“Hakikat bahawa rasuah wujud di banyak tempat dan kita mendengar orang kena tangkap kerana rasuah, bagi saya ia cukup serius. (Tapi) ia belum sampai ke tahap kronik. Oleh sebab itu, kita kena betul-betul tunjukkan keseriusan dalam memastikannya tidak merebak. Saya mempunyai strategi, mengutamakan seksyen, jabatan yang banyak sekali berurusan dengan rakyat, di barisan hadapan. Yang kedua, jabatan yang mengeluarkan permit dan lesen, ini yang perlu ditangani dengan cepat.”

Tiada ulasan: