HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Julai 2009

Penduduk jumpa emas di Kampung Jelutung

Orang ramai serbu tapak kuari cari ketulan batu

Oleh Ridzuan Ahmad


PENDANG: Kampung Jelutung di sini gempar apabila lebih 400 penduduk daerah ini menyerbu sebuah tapak kuari seluas satu hektar di kampung itu berikutan penemuan sejenis logam dipercayai emas sejak Rabu lalu.

Seorang penduduk, Yaakub Yunus, 68, berkata selepas mendapat pengesahan di sebuah kedai emas di sini bahawa logam ditemui pada batu di situ adalah emas, dia terus ke tapak kuari itu untuk mencari batu itu.

Katanya, seorang pekerja kuari sama adalah orang pertama yang menemui batu itu, Rabu lalu ketika dia mengorek tanah di kawasan berkenaan sebelum berita tersebar dengan cepat dikalangan penduduk kampung.

"Pada mulanya, saya kurang yakin kewujudan emas di kawasan ini, namun selepas saya sendiri membawanya ke kedai emas, saya yakin batu ini disaluti emas.

"Apabila berita tersebar, penduduk mula membanjiri kawasan ini dengan membawa peralatan seperti penukul dan cangkul untuk mengorek emas,” katanya ketika ditemui di tapak kuari itu, semalam.

Yaakub berkata, dia bersama cucunya, Mohd Shahril Abdul Rahim, 17, memperoleh beberapa ketulan batu padat disaluti emas selain menyimpan beberapa kampit batu yang mempunyai logam berkilat di rumahnya.

Tinjauan Berita Harian mendapati keadaan di situ ibarat pesta apabila penduduk kampung membawa bersama keluarga mereka sejak awal pagi dan mula mengorek batu sehingga lewat malam dengan memasang lampu.

Sebahagian penduduk dipercayai datang pada waktu malam kerana batu itu mengeluarkan kilauan yang memudahkan mereka mencarinya.

Peniaga, Mahyuddin Ahmad, 37, dari Kampung Kubur Panjang dekat sini, berkata dia datang ke tapak kuari itu semalam selepas mengetahui mengenainya daripada adiknya, Mursyid, 22, yang menunjukkan serpihan batu kecil berwarna emas yang diperoleh daripada tapak kuari berkenaan.

“Pada mulanya, saya tidak percaya dan menganggapnya sebagai gurauan, namun selepas menelitinya secara dekat saya percaya ia adalah batu bersalut emas muda,” katanya.

"Saya datang ke sini bersama anak saudara saya kerana tidak ingin melepaskan peluang untuk mendapatkan emas. Saya turut membeli beberapa peralatan untuk memecahkan batu ini. Kerja untuk memahat batu ini agak mencabar dan menggunakan banyak tenaga," katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di kuari itu, dia terkejut apabila mendapati lebih 300 penduduk termasuk kanak-kanak berada di tapak kuari sambil memecahkan batu untuk mendapatkan emas berkenaan.

Mahyuddin yang menemui beberapa ketulan padat batu yang disaluti emas berhasrat menyimpannya sebelum ada pihak berminat untuk memprosesnya.

“Saya berharap ada pihak tampil memastikan kesahihan batu itu memandang kawasan berkenaan adalah milik persendirian,” katanya.

Tiada ulasan: