HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2009

Sita jentera pengusaha degil korek pasir di Sunway Semenyih

MYMETRO


SEMENYIH: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat akan menyita dan melelong jentera milik pengusaha yang masih mengorek pasir secara haram di kawasan ladang kelapa sawit di Sunway Semenyih di sini.

Ini berikutan kerja pengorekan pasir itu menyebabkan kehidupan lebih 500 penduduk Kampung Jalan Sungai Lalang di sini terjejas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata masalah penduduk berlanjutan setahun setengah dan tindakan susulan akan dilakukan jika mereka masih berdegil mengorek pasir.

“Kes ini berat kerana menjejaskan sumber bekalan air bersih dan sungai tercemar teruk.

“Melalui lawatan ini, Biro Pengaduan Awam (BPA) yakin kerjasama pejabat daerah dan tanah serta beberapa agensi berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan di kawasan kerja pengorekan pasir di sini, semalam.

Menurut Murugiah, pihaknya juga akan melaporkan kepada imigresen kerana terdapat ramai pekerja asing di kawasan kerja pengorekan pasir itu tidak memiliki permit sah.

Sementara itu, penduduk di kampung berkenaan berharap aktiviti pengorekan pasir dihentikan serta-merta bagi memulihkan kembali air sungai itu ke beberapa anak sungai di Hulu Langat dan Kuala Langat.

Penduduk, Hashim Ismail, 63, berkata kesan pengorekan pasir itu terhadap beberapa anak sungai membimbangkan kerana sungai semakin cetek serta berlumpur.

Tiada ulasan: