HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2009

Jumpa bayi depan bilik air masjid

MTMETRO


MERSING: Jemaah wanita yang mahu menunaikan solat Asar di Masjid Jamek di sini, petang kelmarin dikejutkan dengan penemuan bayi menangis dalam keadaan masih berdarah tali pusat di depan bilik air masjid itu.

Tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi lelaki yang dimuatkan dalam beg kecil itu kecuali sehelai baju-T bertulis ‘Puteri Islam’ yang membalut tubuh kecilnya seterusnya menjadi tanda pengenalan anak itu dilahirkan seorang wanita Muslim.

Penemuan menggemparkan itu berlaku kira-kira 4.50 petang ketika beberapa guru wanita singgah di Masjid Jamek Mersing hendak menunaikan solat Asar sebelum terdengar suara tangisan bayi dari arah bilik air wanita.

Sebaik memeriksa kawasan berkenaan, mereka terperanjat apabila mendapati seorang bayi lelaki diletakkan dalam sebuah beg kecil di pintu masuk bilik air berkenaan.

Bilal masjid, Hussin Ngah, 53, berkata sebaik saja mendapat panggilan telefon daripada jemaah terbabit, dia begegas ke masjid.

“Saya terus ke tandas itu dan mendapati bayi dipercayai baru dilahirkan seberat dua kilogram dengan tali pusat masih berdarah,” katanya ketika ditemui di pekarangan masjid berkenaan.

Menurutnya, bayi berkenaan diletakkan dalam beg kecil diselimuti baju-T yang bertulis ‘Puteri Islam’ dan tiada sebarang nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan.

Menurutnya, ketika ditemui, bayi berkenaan dalam keadaan sihat, tetapi dia membawanya ke Hospital Mersing untuk pemeriksaan kesihatan dan penjagaan lanjut.

Katanya, dia membuat laporan mengenai penemuan bayi berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid, mengesahkan menerima laporan penemuan bayi lelaki itu.

Beliau berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Mersing untuk pemeriksaan dan ketika ditemui tali pusatnya baru dipotong dan masih berdarah.

Menurutnya, kes itu kali kedua membabitkan pembuangan bayi di daerah ini selepas seorang bayi lelaki ditemui di tempat pembuangan sampah di Pantai Perkelahan Air Papan, dekat sini, Mac lalu.

Katanya, bayi berkenaan dipercayai berketurunan Melayu masih sihat dan kini ditempatkan wad kanak-kanak Hospital Mersing.

“Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing di talian 07-799 2222 atau hubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mersing Inspektor Julia Osman untuk membantu siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: