BERNAMA
ALOR SETAR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jala Raya Malaysia (Miros) mengenalpasti empat kawasan di daerah Kota Setar sebagai "kawasan panas" kerana kerap berlaku kemalangan.
Pengarah Pusat Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya Miros, Profesor Madya Dr Faudzi Yusof, berkata kawasan itu ialah persimpangan lampu isyarat hadapan Masjid Taman Aman, hadapan Masjid Padang Lalang, Kilometer 8 Simpang Empat dan persimpangan Kebun 500, Pokok Sena.
"Kajian kami mendapati empat kawasan tersebut berisiko tinggi berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Pemanduan Selamat Sempena Musim Perayaan di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kota Setar, Supt Baharom Abu, berkata polis akan mengawasi keempat-empat kawasan berkenaan lebih kerap selain meletakkan kain rentang bagi mengingatkan pemandu supaya berhati-hati ketika melalui jalan-jalan itu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Surentharan Mathavan, berkata JKJR akan sentiasa menjalankan kempen dari semasa ke semasa dan bekerjasama dengan polis bagi melancarkan operasi untuk mendisiplinkan pemandu tahun ini.
"Kita bukan hendak saman tetapi kita hendak mengubah sikap pemandu supaya mereka lebih berhati-hati semasa memandu terutamanya di musim perayaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan