HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 September 2009

LKIM belanja RM3 juta pasang papan tanda

UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU - Sebanyak RM3 juta diperuntukkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk memasang papan tanda maklumatnya di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, papan tanda itu akan dipasang di pekan dan bandar supaya golongan nelayan dan orang ramai mendapat maklumat mengenai LKIM.

"Sebelum ini bukan sahaja nelayan tidak tahu fungsi dan bantuan LKIM tetapi juga orang ramai, jadi dengan adanya papan tanda maklumat ini akan memberi penerangan jelas peranan LKIM.

"Papan tanda ini akan menyenarai segala jenis bantuan, insentif, subsidi dan kemudahan yang disediakan LKIM untuk para nelayan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Hotel Hyatt di sini malam semalam.

Hadir sama Pengarah LKIM Sabah, Jamaludin Othman.

Katanya, kerjasama semua pihak khususnya majlis daerah dan datuk bandar diperlukan untuk menyedia lokasi sesuai dan strategik bagi memasang papan tanda tersebut.

Abdul Rahim mencadangkan supaya papan tanda tersebut dipasang di kawasan tumpuan orang ramai atau menjadi laluan utama.

Katanya, sebagai permulaan, Sabah dipilih sebagai perintis bagi projek tersebut dengan kos sebanyak RM250,000 dan Papar dipilih sebagai daerah pertama.

Jelasnya, pemasangan di Papar melibatkan kos RM35,000 dan selepas itu disusuli dengan beberapa daerah lain yang mempunyai ramai nelayan.

Dengan cara itu katanya, usaha kerajaan untuk membantu nelayan dapat direalisasi kerana sebelum ini ramai nelayan tidak menggunakan bantuan dan kemudahan yang disediakan.

"Usaha ini dilihat akan membantu meningkatkan pendapat mereka dengan lebih baik berbanding sebelumnya sekali gus akan menjadikan mereka sebagai nelayan komersial," katanya.

Tiada ulasan: