BERNAMA
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengesan helah baru "ulat" yang beroperasi di KLIA dan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di Sepang hasil pemantauan berterusan 24 jam dengan kerjasama Malaysia Airports Berhad.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata aktiviti ulat berkenaan sebelum ini dapat dipatahkan buat sementara berikutan sekatan jalan raya berterusan yang dibuat oleh JPJ di pintu keluar KLIA dan LCCT sejak Julai lepas.
"Bagaimanapun selepas sekatan ini, mereka menggunakan taktik baru untuk menjalankan aktiviti," katanya dalam satu sidang media di KLIA hari ini.
Solah berkata helah pertama melibatkan pembelian kupon teksi jarak dekat oleh ulat berkenaan sebelum mereka mendapatkan penumpang yang ingin membuat perjalanan jarak jauh.
"Selepas ulat-ulat membeli kupon ini dan mendapat penumpang yang ingin melakukan perjalanan jarak jauh, mereka akan dibawa menaiki teksi yang melakukan perjalanan jarak dekat dan mempamerkan kupon yang dibeli ketika berhenti di sekatan jalan raya.
"Selepas sahaja melepasi sekatan itu, penumpang akan dipindahkan ke kenderaan persendirian untuk meneruskan perjalanan," katanya.
Helah kedua, katanya, melibatkan ulat-ulat berkenaan membawa penumpang menggunakan tren ERL dari KLIA ke Salak Tinggi sebelum meneruskan perjalanan dengan menggunakan kenderaan persendirian.
"Taktik ketiga ialah mereka menggunakan pengangkutan sedia ada seperti teksi atau bas perantara untuk melepasi sekatan jalan raya sebelum berpindah kepada kenderaan persendirian," katanya.
"Ulat" merujuk kepada orang yang menawarkan khidmat pengangkutan tanpa permit kepada penumpang khususnya rakyat luar negara dengan menjanjikan tambang lebih murah daripada perkhidmatan limosin yang berlesen.
Solah berkata JPJ telah berjaya menahan 50 ulat hasil pemantauan dan operasi yang dijalankan sejak Ogos tahun lepas hingga ke hari ini.
JPJ turut menyita 169 buah kenderaan sejak 3 Jun lepas berhubung kegiatan ulat. Kenderaan itu terdiri 39 kereta, 25 bas, 80 teksi dan 15 kereta sewa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan