HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 September 2009

Panduan jual arak di negeri pembangkang

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda Pas akan mengemukakan garis panduan penjualan arak untuk diterima pakai kerajaan-kerajaan negeri pakatan pembangkang termasuk pengharaman penjualan di kawasan-kawasan majoriti penduduk Islam.

Timbalan Ketuanya, Azman Shapawi Ab. Rani memberitahu, garis panduan itu akan diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

''Ia akan menggariskan kawasan-kawasan yang harus diharamkan penjualan arak terutama di kawasan majoriti orang Islam, garis panduan di kawasan yang penduduknya 50 peratus orang Islam dan 50 peratus bukan Islam serta garis panduan yang melibatkan 70 peratus kawasan bukan Islam,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Pemuda Pas Pusat di Ibu Pejabat Agung Pas di sini semalam.

Azman Shapawi memberitahu, mesyuarat pertama jawatankuasa merangka garis panduan penjualan arak itu akan diadakan pada 10 Oktober ini.

Katanya, Pemuda Pas menjangkakan garis panduan itu dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

Berkaitan isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam beliau memberitahu, Pemuda Pas membuat keputusan untuk tidak campur tangan dalam perkara tersebut kerana ia perlu diselesaikan sendiri oleh kerajaan negeri Selangor.

Beliau juga mengumumkan, Pemuda Pas akan mencadangkan diadakan konvensyen pemuda pakatan pembangkang bagi menyelesaikan banyak masalah yang timbul kebelakangan ini.

''Hasil perjumpaan pemuda-pemuda dari parti gabungan pakatan pembangkang, kami percaya banyak masalah mudah difahami dan dapat diselesaikan dengan cepat berbanding penyelesaian melalui media serta blog,'' ujarnya.

Berkaitan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Indonesia yang kini tegang, Pemuda Pas meminta Kementerian Luar menangani isu tersebut bagi mengelakkan ia menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

Berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di Negeri Sembilan, beliau memberitahu, soal itu diserahkan kepada Pas Negeri Sembilan serta Pas Pusat untuk menentukannya.

Mengenai ura-ura bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad akan diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), Azman Shapawi secara sinis memberitahu, BN boleh menang besar dalam pilihan raya kecil tersebut.

Tiada ulasan: