UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Isteri para pemimpin negara perlu sentiasa mengemas kini ilmu pengetahuan bagi menghadapi pelbagai cabaran baru merentas sempadan dan bukannya selesa dengan status sedia ada.
Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, langkah itu juga penting berikutan perubahan iklim politik serta persekitaran dinamik yang sukar diramalkan.
Beliau berkata, tindakan itu sekali gus dapat menyerlahkan keterampilan diri mereka sebagai duta Malaysia di peringkat antarabangsa terutama sewaktu mengiringi suami menjalankan tugas di luar negara.
"Isteri pemimpin-pemimpin negara perlu meningkatkan pengetahuan diri selaras dengan perkembangan masa agar sentiasa relevan dengan tugas sebagai isteri pemimpin.
"Kita tidak boleh lagi berdiam diri dan selesa dengan status serta kedudukan kita yang sedia ada. Kita perlu lebih efektif dan aktif,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Peningkatan Ilmu dan Keterampilan Diri Khas Untuk Isteri Menteri dan Timbalan Menteri 2009 di sini hari ini.
Noorainee berkata, bagi membantu isteri-isteri pemimpin meningkatkan keupayaan diri, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) sekali lagi mengambil inisiatif untuk menganjurkan kursus keterampilan diri.
Kursus itu katanya, selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat Malaysia agar menjadi warga yang sentiasa boleh menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan negara.
Dalam usaha itu, menurut beliau, isteri pemimpin perlu sentiasa peka dan relevan terhadap tugas masing-masing dengan memberi sokongan kepada suami yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.
"Dalam erti kata lain, peranan kita adalah sama penting dengan peranan kaum suami menerusi misi pembangunan negara,'' ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau berharap kursus tersebut dapat memberi input yang baru dan semasa dalam meningkatkan ilmu pengetahuan serta semangat kekitaan serta berpasukan khususnya untuk Bakti.
"Saya yakin selepas kursus ini, kita akan lebih bijak dalam pelbagai perkara dan hal ehwal semasa termasuk ketika mengendalikan mesyuarat, petah dalam membuat ucapan dan membina jaringan perhubungan.'' kata beliau.
Kursus selama 10 hari di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang bermula hari ini sehingga 15 Oktober itu disertai seramai 18 isteri menteri dan timbalan menteri.
Objektif utama kursus tersebut antaranya ialah ahli-ahli Bakat lebih peka terhadap pembaharuan dan perubahan dalam dasar-dasar kerajaan, membangunkan minda dan keupayaan menjadi isteri pemimpin yang berkualiti dan berbudaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan