Oleh Wan Jailani Razak
SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima tawaran jawatan Penasihat Ekonomi, Selangor bagi menyekat usaha Datuk Seri Najib Razak untuk merampas Selangor kerana menganggap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan saingan Perdana Menteri.
“Serangan daripada Pusat, Perdana Menteri kata nak rampas, walau tidak secara langsung tapi maksudnya begitu. Najib bukan saingan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Sekarang silakan Najib. Masuk saja dan sentuh Selangor, kita bertempur habis-habisan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen PKR Menggilap Harapan Rakyat di sini.
Perasmian Konvensyen itu disempurnakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Najib yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Pengerusi BN pada beberapa siri lawatannya ke Selangor sebelum ini mengajak pemimpin BN bersatu dan berusaha mulai sekarang untuk merampas kembali negeri ini daripada pembangkang.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, serangan untuk merampas Selangor dapat dilihat daripada beberapa isu yang cuba ditimbulkan untuk melemahkan kepemimpinan Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR negeri.
“Hari-hari serang Khalid. Tak habis dengan isu lembu untuk hari raya korban, dia serang dengan isu kepala lembu. Kita jangan ingat (serangan) selesai. Kalau kita rasa selesai, kita silap.
“Bila PM (Perdana Menteri) nak serang dan rampas, dia akan guna segala jentera. Mungkin dia gunakan kata-kata yang lunak, ia manis bagaikan madu tetapi umpama racun bisa bagaikan hempedu,” katanya.
Anwar berkata, perkara itu juga menjadi antara faktor utama beliau menerima tawaran Abdul Khalid untuk menjadi Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor walaupun diberi elaun bulanan hanya RM1.
Pada sidang medianya kemudian, Anwar berkata, kerajaan Selangor bagaimanapun tidak menolak kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang membabitkan pembangunan dan kepentingan rakyat.
Anwar berkata, fokus utamanya selepas dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor ialah untuk membantu Menteri Besar dalam beberapa isu yang wajar diberi perhatian seperti soal dana pertumbuhan ekonomi, pengurusan dan pelaburan.
Pada sesi penggulungan debat bajet negeri 2010, Jumaat lalu, Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Anwar sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan Selangor.
Mengulas dakwaan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S Vigneswaran berkaitan pembelian saham mencecah RM8 juta membabitkan tiga individu, termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, Anwar berkata siasatan mengenai dakwaan itu sudah dibuat pada 1998 yang mana Azmin ditahan dan kemudian dibebaskan.
"Azmin pun sudah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan akan ambil tindakan. Kita kena bezakan antara fakta atau fitnah, saya tidak tengok dokumen itu tetapi saya tahu sebab siasatan dibuat sejak awal dan tidak ada tindakan (dikenakan) bahkan (Azmin) dilepaskan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan