Oleh Wan Jailani Razak, Anwar Hussin, Haspaizi Mohd Zain dan Hanneeyzah Bariah Baharin
KUALA LUMPUR: Pengerusi Penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Zaid Ibrahim, mempertahankan cadangannya bagi melantik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, sebagai Pengerusi PRM kerana ia mendapat sokongan ramai.
Zaid berkata, sejak pandangan peribadi itu dikemukakan beliau mendapat reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat yang menyokong cadangan berkenaan dan membuktikan cadangan itu cukup baik.
“Memang ia adalah cadangan peribadi kerana saya bukannya ketua ataupun wakil dari mana-mana kumpulan. Tetapi cadangan peribadi tidak bererti ia cadangan tidak baik.
“Malah cadangan ini mendapat sambutan daripada masyarakat berbilang kaum yang menyokong cadangan saya itu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Sebelum ini, Zaid yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, mencadangkan Menteri Besar Kelantan bagi jawatan itu dengan mengetepikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zaid yang mengemukakan cadangan itu melalui laman blognya, www.myzaidibrahim.wordpress.com berkata, Anwar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu membuat ‘pengorbanan’ dengan meminta Nik Aziz menjadi pengerusi pakatan itu.
Kit Siang pula menyerahkan perkara itu kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi pakatan pembangkang untuk menentukan siapa yang bakal menduduki kerusi berkenaan.
“Perkara terbabit akan diputuskan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) yang akan bermesyuarat tidak lama lagi.
“Tidak kisah dengan perkara itu, namun ia akan diputuskan pada mesyuarat nanti jika ada cadangan,” katanya.
Bekas rakan baik Anwar, Datuk S Nallakaruppan, turut bersetuju dengan Zaid dan menganggap Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu tidak layak memimpin gabungan itu.
Nallakaruppan yang juga pengasas dan presiden Parti Bersatu India Malaysia, berkata Anwar tidak seharusnya memimpin parti gabungan pembangkang kerana ada pemimpin lain yang lebih layak bagi jawatan itu.
“Saya bersetuju dengan Zaid yang Nik Aziz lebih layak memimpin gabungan itu. Anwar secara moral tidak layak mendudukinya,” katanya.
Nallakaruppan berkata, Anwar sepatutnya hanya menjadi penasihat saja seperti penasihat umum atau ekonomi, bukannya mengetahui parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan