Oleh UMAVATHI RAMAYAH
KUALA LUMPUR – Isu penderaan pembantu rumah tidak mengenal bangsa atau negara. Di sebalik kes penderaan amah Indonesia yang hangat diperkatakan, rakyat Malaysia yang bekerja di negara asing turut melalui nasib yang sama.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Sree, 24, dikatakan memasuki Switzerland seorang diri menggunakan pas pelancong pada 25 Ogos lalu.
Selepas visanya tamat tiga bulan kemudian dan mengalami masalah kewangan, dia terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah dengan sepasang suami isteri di negara tersebut.
Bagaimanapun tiga minggu lalu, keluarganya di sini menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Sree mendedahkan yang dia menjadi mangsa penderaan fizikal dan tidak dapat ‘melarikan’ diri daripada keadaan tersebut.
Ibu bapa mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, sebelum menghubungi Kementerian Luar untuk mendapatkan bantuan.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan menerima laporan itu dan sudah mengambil tindakan susulan.
Beliau berkata, hasil kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Switzerland, mangsa berjaya dihubungi dan diselamatkan.
‘‘Buat masa ini mangsa ditempatkan di bawah jagaan wakil Kedutaan Malaysia di sana (Switzerland).
‘‘Kini kita dalam proses dokumentasi untuk membawa pulang mangsa ke negara ini. Kita kategorikan kes ini sebagai pelancong terkandas,’’ katanya.
Ditanya mengenai majikan mangsa, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada polis Switzerland untuk tindakan lanjut memandangkan ia melibatkan warga negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan