HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 November 2009

Taktik baru ah long ugut mangsa

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS


KUALA LUMPUR – Akibat gagal melunaskan pinjaman sebanyak RM1,000 kepada ah long, seorang mekanik berdepan kemungkinan menanggung malu apabila sindiket itu mengugut untuk memaparkan maklumat peribadi dan jumlah hutang yang perlu dibayarnya dalam laman sosial Facebook.

Malah, ah long berkenaan turut mengugut untuk menyebarkan gambar serta rakaman video mangsa yang diambil ketika meminjam wang daripada mereka dalam laman sosial itu bertujuan memalukannya.

Itulah yang menimpa seorang lelaki berusia 25 tahun, yang diugut supaya membayar RM80,000 setelah meminjam wang sebanyak RM1,000 daripada ah long pada September lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Chong dan bekerja di sebuah kedai aksesori kereta terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kajang pada Jumaat lalu akibat tidak tahan diugut oleh sindiket pinjaman wang haram tersebut.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, taktik terbaru itu dikesan bagi memalukan mangsa dengan menyiarkan gambar serta profil peribadi mereka yang gagal membayar pinjaman.

“Jika sebelum ini, ah long menggunakan cat dan poster untuk mengugut peminjam, tetapi mereka kini menggunakan taktik terbaru untuk memalukan mangsa dengan mengugut untuk meletakkan maklumat peminjam dalam laman sosial.

“Malah, bukan itu sahaja, peminjam diberi amaran supaya menjelaskan hutang mereka segera jika tidak mahu identiti mereka didedahkan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA Jalan Ampang di sini hari ini.

Sementara itu, mangsa ketika ditemui pada sidang akhbar itu memberitahu, dia meminjam wang sebanyak RM1,000 untuk menyelesaikan masalah perniagaan yang dihadapinya dan cuba untuk membayar semula secara ansuran.

Namun, berlaku kelewatan semasa proses pembayaran balik itu menyebabkan hutangnya bertambah menjadi RM80,000 termasuk faedah.

“Berikutan kelewatan itu, saya didatangi 10 orang ah long memaksa saya membayar semula pinjaman baru-baru ini,” kata Chong.

Selain diugut, tambahnya, dia turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ah long terbabit yang memaklumkan mereka akan menyiarkan identiti serta jumlah hutangnya dalam laman Facebook.

Tiada ulasan: