HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 November 2009

Keluarga Mohamad Tawfiq pertikai kenyataan polis

UTUSAN ONLINE


ARAU - Bapa Mohamad Tawfiq Noorzan, pemuda yang ditembak mati oleh polis di Guar Sanji di sini Sabtu lepas, mempertikaikan kenyataan polis yang mendakwa anaknya itu pulang ke rumah dari Alor Setar ke Arau dengan menaiki kereta.

Noorzan Abdul Rahim, 47, berkata, sekiranya menaiki kereta, tidak mungkin Mohamad Tawfiq, 22, kelihatan pucat ketika kejadian akibat terlalu letih dan pulang ke rumah dalam keadaan mengamuk.

"Sebelum Mohamad Tawfiq ditembak, mereka (polis) beritahu, dia balik dari Alor Setar dengan berjalan kaki selepas ditinggalkan oleh rakan-rakannya.

"Hari ini, dalam surat khabar, Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa kata anak saya balik naik kereta dengan dua teman wanita. Saya dapati cerita polis dalam akhbar asyik berbohong," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau turut menyifatkan polis sengaja mereka-reka cerita dengan menggambarkan kononnya anaknya itu terlalu ganas dan berbahaya sehingga memaksa mereka menembaknya.

Katanya, kenyataan kononnya tembakan telah ditujukan ke kaki Mohamad Tawfiq tetapi ekoran kedudukan anaknya tidak statik menyebabkan peluru tersasar ke dada, tidak dapat diterima.

Noorzan juga percaya, Mohamad Tawfiq, anak kedua daripada empat adik-beradik itu telah digari sebelum kejadian.

"Dalam kes polis menembak mati penjenayah bersenjata api, kebiasaannya suspek tidak akan digari.

"Ini berbeza dengan anak saya apabila kononnya polis terpaksa menggari Mohamad Tawfiq kerana dia masih mahu mengganas," ujarnya.

Noorzan turut mempersoalkan kenyataan polis bahawa anaknya masih hidup ketika digari kerana dia melihat Mohamad Tawfiq dimasukkan ke dalam plastik mayat untuk dibawa ke hospital.

"Jika masih hidup, polis sepatutnya menggunakan ambulans untuk membawa individu yang cedera ke hospital, bukan dimasukkan dalam plastik mayat," tegasnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi Sabtu lalu, Mohamad Tawfiq mati selepas ditembak oleh anggota polis yang gagal memujuknya setelah pemuda tersebut mahu menyerang rakannya.

Dia dikatakan mengamuk selepas ditinggalkan oleh rakan-rakan sehingga terpaksa berjalan kaki lebih 60 kilometer dari Alor Setar untuk pulang ke Guar Sanji di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Perlis, Datuk Jamshah Mustapa ketika dihubungi enggan mengulas lanjut sambil menyifatkan tindakan keluarga itu melantik peguam sebagai hak peribadi.

Tiada ulasan: