UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA - Peguam yang menjadi wakil rakyat atau mempunyai jawatan dalam parti politik dilarang menganggotai Majlis Peguam bagi memastikan badan itu bebas daripada pengaruh politik.
Ketetapan tersebut dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini semasa menolak rayuan Ahli Parlimen Subang yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai panel tiga hakim sebulat suara memutuskan demikian.
Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Datuk Gopal Sri Ram.
Sivarasa mencabar Seksyen 46A (1) Akta Profesion Guaman 1976 yang melarang peguam menganggotai Majlis Peguam setelah beliau berpendapat seksyen itu melanggar hak kesamarataan di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, perayu memohon agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih anggota Majlis Peguam bagi penggal 2001-2002 walaupun kini berstatus wakil rakyat dan memegang jawatan dalam parti.
Beliau yang turut memohon agar seksyen itu diisytiharkan tidak sah dan terbatal, bagaimanapun gagal dalam usahanya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Ini menyebabkan beliau merayu sehingga ke peringkat terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Di negara ini, semua peguam adalah ahli Badan Peguam Malaysia tetapi mereka perlu bertanding untuk menjadi anggota Majlis Peguam.
Hakim Sri Ram ketika membacakan penghakiman setebal 35 muka surat menyatakan, Seksyen 46A (1) akta itu sah dan terpakai kepada peguam yang menjadi wakil rakyat, memegang jawatan dalam parti politik atau kedua-duanya.
''Seksyen itu digubal bagi mengelakkan Majlis Peguam yang merupakan badan berkanun kepada Badan Peguam Malaysia dipengaruhi oleh unsur-unsur politik.
''Badan profesional itu perlu ditadbir di kalangan mereka yang tidak mempunyai kepentingan tersembunyi kerana dikhuatiri boleh mewujudkan persepsi bahawa ia condong kepada kepentingan politik,'' ujar beliau.
Hakim Sri Ram juga menegaskan, peguam bela dan peguam cara yang menganggotai Majlis Peguam perlu bertindak secara jujur bagi memastikan kebebasan badan itu terus terjamin.
Beliau selanjutnya berpendapat, hak perayu masih dipelihara oleh perlembagaan kerana beliau tidak dilucutkan hak daripada menganggotai Badan Peguam Malaysia.
Malah, ujarnya, seksyen itu tidak melarang perayu atau sesiapapun anggota Badan Peguam Malaysia untuk menghadiri dan mengemukakan pendapat pada mesyuarat agung Majlis Peguam.
Sivarasa diwakili oleh peguam Tommy Thomas manakala Badan Peguam Malaysia selaku responden pertama diwakili oleh Datuk Bastian Pius Vendargon.
Peguam Kanan Persekutuan, See Mee Chun mewakili Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan