HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 November 2009

Kerajaan Negeri Serius Bendung Kes Penderaan Kanak-kanak

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Dalam masa satu tahun sahaja, lebih 2,300 kanak-kanak di Selangor didera dan dianiayai.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail berkata statistik 2008 ini menunjukan 60 peratus kes penderaan membabitkan kanak-kanak perempuan.

Statistik ini juga purata kanak-kanak hilang mencecah paras 3.5 peratus.

“Pada tahun lalu saja kita menunjukkan lebih 2,300 kes penderaan kanak-kanak yang didaftarkan, yakni 60 peratus terdiri daripada penderaan kanak-kanak perempuan dan purata kanak-kanak hilang pula menjangkau sebanyak 3.5 peratus daripada 2,300”, kata Rodziah.

Kerajaan negeri memandang serius statistik yang saban tahun menunjukkan anak-anak Selangor didera dan dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Rodziah berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hari Budaya Kanak-kanak Peringkat Negeri Selangor di Laman Budaya, Shah Alam pagi tadi.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor mengambil langkah proaktif memperjuangkan hak mereka melalui usaha penggubalan akta kanak-kanak dan wanita sedia ada.

Isu wanita dan kanak-kanak menjadi tanggungjawab semua orang bukan dibebani oleh kaum hawa semata-mata.

“Saya telah merangka dan sering menuntut daripada Kerajaan Persekutuan untuk menggubal satu dasar menyatakan bahawa setiap bapa yang tidak memberi nafkah kepada anak-anak ini kerajaan tidak ada masalah untuk memberikan nafkah kepada anak-anak ini, tetapi kita masukkan dalam akaun bapanya sebagai hutang kepada kerajaan”, tambahnya lagi.

Melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, kerajaan negeri turut menumpukan kebajikan kanak-kanak khususnya dalam program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bagi tujuan tabungan pendidikan masa hadapan.

Sehingga kini, TAWAS sudah berjaya mencatatkan kira-kira 15 ribu pendaftaran berbanding 60 ribu sasarannya berikutan ramai ibu bapa kurang peka dan tiada pendedahan kepada hak kanak-kanak ini.

“Anak-anak kita nanti pada umur 18 tahun telah ada sedikit tabungan yang kalau diizinkan Allah, kita mahukan tabungan itu minimum 5 ribu ringgit telah ada dalam akuan kanak-kanak ini, untuk memulakan sama ada untuk masuk universiti ataupun memulakan perniagaan dan sebagainya”, jelasnya.

Pada sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ini pelbagai program disediakan bagi meraikan kanak-kanak berusia dari 4 hingga 12 tahun.

Antaranya pertandingan bercerita bahasa Inggeris, pentomen, persembahan drama musikal, aktiviti mewarna, sukan rakyat dan diakhiri dengan program Deklarasi Kanak-kanak.

Pada majlis ini turut dipamerkan beberapa gerai pameran seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Pusat Sehenti OSCC, Perpustakaan Awam Negeri Selangor dan majalah kartunis Zunar, Gedung Kartun.

Tiada ulasan: