Oleh ANGELINA SINYANG
PETALING JAYA - Sebuah syarikat pemaju perumahan bercadang mengambil tindakan saman malu sebanyak RM500 juta terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana didakwa memfitnahnya.
Ahli Lembaga Pengarah LBCN Development Sdn. Bhd. (LBCN), Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan mendakwa kenyataan akhbar Khalid mengenai Rancangan Revolusi Hijau dan Bandar Alam Perdana bertajuk Tanah Hilang, Rumah Tak Dapat seperti disiarkan portal kerajaan Selangor minggu lalu, mencemarkan imej syarikatnya.
Menurutnya, kenyataan itu tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan mempunyai fakta tidak tepat serta berniat jahat, apatah lagi ia turut menyiarkan nama dan alamat penuh syarikatnya.
Sehubungan itu katanya, beliau sendiri sedang meneliti dan mempertimbang mendapatkan khidmat peguam bertauliah dalam bidang hartanah untuk menyaman Menteri Besar dan kerajaan Selangor.
"Kenyataan Khalid amat merosakkan kredibiliti dan imej saya pada kaca mata masyarakat dan golongan peniaga.
"Kami amat kesal dengan kenyataan Khalid. Kenyataan jahat ini tidak boleh dikompromi sama sekali demi imej dan kredibiliti syarikat serta pemegang-pemegang saham," katanya pada sidang akhbar di Hotel Eastin di sini hari ini.
Projek perumahan Alam Perdana di Ijok membabitkan kos pembangunan kasar RM600 juta itu tergendala sejak 2003 kerana masalah kewangan pemaju asalnya, Vega Builders Sdn. Bhd.
Menurut Khairuddin, LBCN yang mengambil alih projek perumahan merangkumi 1,319 unit rumah teres dan 2,500 unit rumah pangsa lima tingkat kos rendah itu berjaya menyiapkan 95 peratus projek tersebut.
Bagaimanapun, katanya, penyerahan rumah kepada 383 peserta projek dan 2,500 pembeli luar tidak dapat dilakukan kerana timbul pelbagai masalah gara-gara Khalid dan kerajaan negeri enggan bekerjasama.
"Beberapa surat untuk mendapatkan temu janji dengan Khalid telah dihantar secara peribadi ke pejabatnya bagi memberi penjelasan dan memohon kerjasama kerajaan negeri menyiapkan keseluruhan projek perumahan Bandar Alam Perdana.
"Malangnya semua temu janji yang dipohon tidak dilayan sama sekali oleh Menteri Besar itu," katanya.
Malah tambahnya, Khalid bertindak mengeluarkan kenyataan berbau politik dalam media apabila mengatakan "kerajaan negeri pada masa itu (1973) di bawah Barisan Nasional (BN) telah merancang Rancangan Revolusi Hijau Selangor untuk manfaat beberapa syarikat atau kroni".
Hakikatnya, tegas Khairuddin, LBCN tidak pernah terbabit dalam politik negeri Selangor.
Menurutnya, Menteri Besar Selangor itu tidak berhak merampas balik tanah bagi projek perumahan tersebut kerana LBCN telah membayar pampasan yang dipersetujui peserta secara tunai.
Tegasnya, beliau tidak memerlukan permohonan maaf daripada Khalid tetapi cukup sekadar beliau memperbetulkan kenyataannya dalam akhbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan