HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 November 2009

Musa pertahan tindakan anggota polis

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mempertahankan tindakan pegawai dan anggotanya menembak mati penjenayah dalam beberapa kejadian di seluruh negara sebelum ini.

Katanya, tindakan itu tidak dilakukan sewenangnya, malah bergantung kepada keadaan tertentu apabila seseorang anggota polis merasakan wujud ancaman daripada penjenayah, terutama mereka yang bersenjata api.

“Jika tidak mahu mati, serah diri dan jangan ancam polis. Tugas polis melindungi keselamatan orang awam yang menjadi mangsa jenayah dan mengekalkan keamanan negara. Kita tidak melindungi penjenayah. Jika penjenayah bertindak ganas dan bersenjata api, polis terpaksa bertindak mengikut keadaan, termasuk aspek keselamatan anggota.

“Jika penjenayah melepaskan tembakan hingga mengancam anggota kita, mereka berhak mempertahankan diri. Kita ikut undang-undang dan bukan suka-suka tembak orang. Jika mereka takut mati, jangan lawan dan serah diri pada polis,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan polis menembak mati lima ahli kumpulan PCO Boy, termasuk ketua mereka di Kapar, Klang pada 9 November lalu, dipercayai sedang merancang satu kegiatan samun di kawasan itu.

Terdahulu, Musa menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur. Hadir sama timbalannya, Tan Sri Ismail Omar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Koh Hun Sun dan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Akhil Bulat.

Musa berkata, prosedur tembakan amaran sebelum polis menembak mati seseorang penjenayah juga tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia turut bergantung kepada keadaan ketika kejadian.

Sehubungan itu, katanya, beliau kecewa apabila tindakan polis menembak mati penjenayah sebelum dipertikaikan, selain dijadikan isu politik oleh pihak tertentu semata-mata mahu menarik tumpuan umum.

“Bila polis tembak penjenayah, ramai sangat yang sibuk. Tapi, bila anggota saya kena tembak penjenayah, tiada pula yang mempertikaikannya... tiada siapa peduli pun atau beri ucapan takziah padahal polis bergadai nyawa melindungi masyarakat dan negara,” katanya.

Tiada ulasan: