UTUSAN ONLINE
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia bebas menjalankan siasatan tanpa mengira waktu jika individu yang dipanggil memberi kerjasama dengan sukarela, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Beliau berkata, pertikaian berhubung waktu keterangan diambil tidak timbul dalam pasukan itu kerana saksi diberi peluang menetapkan sendiri waktu yang sesuai bagi mereka memberi kerjasama.
“Saksi sebenarnya bebas dan sukarela memberi keterangan pada waktu yang mungkin lewat malam dan ia tidak menjadi bahan untuk dipertikaikan.
“Kita juga telah maklumkan kepada setiap pegawai supaya menjalankan tugas dengan telus, berhemah dan menjaga hak-hak semua orang termasuk saksi, orang ramai dan pesalah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup Kejohanan Olahraga dan Tarik Tali PDRM di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Mohamad Ariff Md. Yusof semalam berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan saksi untuk disoal siasat selepas waktu pejabat adalah salah di sisi undang-undang.
Malah, pada hemat hakim itu, peruntukan menyoal siasat saksi ‘sehari-ke-sehari’ seperti tertera dalam Seksyen 30(3)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 tidak bermakna SPRM boleh melakukannya secara berterusan selama 24 jam.
Ismail menambah, beliau juga berharap anggota polis tidak akan melakukan sesuatu yang boleh mengugat nama baik pasukan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan