BERNAMA
KUALA LUMPUR: Laporan trajedi jambatan runtuh di Sungai Kampar, Perak yang menyebabkan tiga pelajar maut Oktober lalu akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran pada 7 Disember ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata:
"Laporan tragedi jambatan gantung...sudah siap, hanya menunggu laporan dari Jabatan Kerja Raya".
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pra-pelancaran Pesta Buku Antarabangsa di sini hari ini.
Mengenai kes saman ganti rugi yang difailkan oleh keluarga ketiga-tiga mangsa kejadian itu di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini, Mohd Paud berkata Kementerian Pelajaran akan membantu guru dan kakitangan kementerian itu yang berhadapan dengan kes saman itu.
"Kita akan mempertahankan mereka. Pada saya mereka telah menjalankan tugas dengan baik dengan menyelamatkan pelajar sedaya upaya mereka," katanya.
Bagaimanapun, beliau, tidak menjelaskan dengan lanjut bantuan yang akan diberikan oleh kementerian itu kepada pegawai terbabit.
Keluarga mendiang Dina Deve a/p Nathan, Diryasree a/p Vasudevan dan Davadharshini a/p Maheswaran telah memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.
Bapa ketiga-tiga pelajar itu, iaitu K Mageswaran, K Vasudevan dan T Nathan telah menyaman guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan dan Pengarah Pelajaran Negeri Perak.
Selain itu mereka juga turut menyaman Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang.
Pihak yang lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu Syarikat GS Synergy Sdn Bhd, Syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.
Ketiga-tiga pelajar itu maut apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat sini runtuh kira-kira jam 10.30 malam pada 26 Oktober lalu semasa menghadiri aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan