HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 November 2009

Suhakam sangkal dakwaan Abdul Taib

BERNAMA


KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menolak dakwaan bahawa suruhanjaya itu cuba menyamar sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti yang didakwa oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pesuruhjaya Suhakam Sarawak Dr Mohd Hirman Ritom Abdullah berkata Suhakam diberi mandat oleh Parlimen dan kerajaan untuk mempromosi selain melindungi hak asasi manusia atau isu yang berkaitan dan sememangnya menjadi hak mereka untuk bertindak atau bercakap bagi pihak golongan atau masyarakat yang merasakan hak mereka dicerobohi pihak lain.

“Adalah tidak adil untuk mengeluarkan saranan seperti itu memandangkan apa yang kami buat tiada kena mengena dengan politik. Kami sekadar cuba menyuarakan kebimbangan mereka yang datang berjumpa kami dan mahu keperluan atau tuntutan mereka ditangani oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Dr Hirman berkata sebagai contoh, isu Penan seharusnya ditangani dengan teliti kerana ia membabitkan hak asasi manusia yang sebenar, misalnya kemudahan prasarana, tanah dan pendidikan, maka tindakan yang sewajarnya perlu diambil.

Beliau turut menafikan bahawa Suhakam ada mengeluarkan kenyataan merujuk kepada kepupusan Orang Utan di Sarawak.

Taib dipetik oleh sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris semalam sebagai berkata beliau dukacita dengan Suhakam di samping NGO setempat lain berhubung isu Penan dan alam sekitar.

Dalam kenyataannya pada ulang tahun keenam Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Taib malah mencadangkan supaya Suhakam mendaftarkan suruhanjaya itu sebagai sebuah parti politik memandangkan Suhakam ‘sepatutnya memperjuangkan hak asasi manusia, banyak memperkatakan mengenai isu Penan dan alam sekitar, serta orang utan’.

Tiada ulasan: