HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Februari 2010

Pegawai SPRM kena dakwa terbabit rasuah

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Seorang Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap dua tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah berjumlah RM250,000 daripada seorang suspek siasatan kes rasuah, Oktober tahun lalu.

M Mohan, 37, yang didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa meminta bagi dirinya suapan RM250,000 daripada A Sinnaiah sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan terhadap suspek yang disyaki memberi rasuah kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Tertuduh yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dengan SPRM (sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah) turut didakwa mengikut Seksyen 17 (a) akta sama, iaitu setuju untuk menerima suapan RM200,000 daripada Sinnaiah untuk tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 11 pagi dan 1 tengah hari pada 22 Oktober 2009 di pejabat SPRM di Tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.

Jika sabit kesalahan, Mohan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Ratha Krishnan yang mewakili Mohan memohon jaminan dikurangkan dengan alasan ibu bapa tertuduh kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) manakala tertuduh kini bukan saja menanggung isteri dan seorang anak, dia turut menanggung abangnya yang buta dan terencat akal.

Mohan kemudian ditawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan dia diarah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Tiada ulasan: