HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2010

Pemuda Umno S'gor serah memo pada SPRM

Salhan K Ahmad




Pemuda Umno hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antaranya berhubung pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri.

Kira-kira 30 anggota pergerakan itu berkumpul di pejabat SPRM negeri di Shah Alam mulai jam 3 petang tadi dengan dipimpin ketuanya Suhaimi Mohd Ghazali.

Mereka membawa sepanduk, antaranya berbunyi "Kebajikan rakyat terabai, rumah urut diutamakan."

Selepas berkumpul selama setengah jam, Suhaimi dan dua exco Pemuda Umno negeri kemudiannya menyerahkan memorandum tiga perkara yang melibatkan isu rumah urut dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Suhaimi berkata, Pemuda Umno mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan tersebut bagi menyatakan keraguan terhadap terma pelantikan Anwar.

"Kita tidak tahu apa bidang kuasa Anwar. Sebab itu kita minta diperjelas kerana kemungkinan beliau boleh memohon peruntukan tertentu berdasarkan kedudukan itu," katanya.

Dalam memorandum yang sama, Pemuda Umno juga meminta SPRM menyiasat kewujudan rumah urut sekitar Petaling Jaya yang didakwanya 'tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan' walaupun lesennya telah dibekukan.

"Kita risau ia dinaungi pihak-pihak tertentu dalam kerajaan negeri dan majlis perbandaran," kata Suhaimi.

Pemuda Umno juga meminta SPRM menyiasat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwanya pernah 'menawarkan diri' sebagai pengerusi YBK bagi menyelesaikan kemelut berpanjangannya dengan kerajaan negeri.

"(Kenyataan) itu jelas menunjukkan satu bentuk permohonan imbuhan," katanya.

Tiada ulasan: