UTUSAN ONLINE
KUALA TERENGGANU - Semua pihak khususnya rakyat negeri ini perlu bersabar dan memberi sedikit masa kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengkaji terlebih dahulu laporan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum didedahkan kepada umum.
Penaung Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah berkata, beliau percaya Ahmad akan mendedahkan perkara itu dalam waktu terdekat ini.
Beliau seterusnya yakin dengan ketelusan Menteri Besar itu yang sebelum ini berjanji untuk mendedahkan laporan hasil siasatan tersebut kepada rakyat mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
"Berilah peluang kepada beliau (Ahmad) untuk kaji terlebih dulu hasil laporan kejadian itu (bumbung stadium runtuh). Kita percaya beliau telus dan akan dedahkannya kepada umum dalam dua atau tiga hari ini.
"Kita kena tunggu dulu, sementara Menteri Besar (Ahmad) buat keputusan dan kesimpulan mengenainya," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai laporan runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang sehingga kini masih menimbulkan tanda tanya kerana ia belum didedahkan oleh kerajaan negeri walaupun laporan lengkap sudah diterima daripada Kerajaan Pusat.
Semalam, Ahmad memberi reaksi bahawa beliau belum berhasrat mendedahkan laporan kejadian runtuhan itu walaupun laporan lengkap mengenainya sudah diterima.
Menurut beliau, tindakan itu diambil kerana wujud aspek perundangan yang memerlukan laporan berkenaan disiasat dengan teliti supaya tidak timbul sebarang komplikasi undang-undang kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan