KUANTAN: Dewan Undangan Negeri Pahang Isnin diberitahu, 68 kapal pukat tunda nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) kerana menceroboh perairan pantai timur semenanjung Malaysia sepanjang tahun lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata daripada jumlah itu 52 kapal adalah milik warga Vietnam dan 16 lagi membabitkan kapal warga Thailand.
Bagi tahun ini sehingga 25 Mac lepas pula, katanya APMM menahan 14 kapal nelayan asing dengan 12 daripadanya milik warga Vietnam dan dua lagi kapal milik warga Thailand.
Beliau berkata kesemua tekong dan awak-awak 68 kapal warga asing yang ditahan itu mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah dan dijatuhi hukuman denda antara RM30,000 dan RM650,000.
"Ada antara mereka yang dipenjara tiga hingga enam bulan kerana tidak dapat membayar denda berkenaan dan 68 kapal pukat tunda berkenaan disita dan dilucut hak oleh mahkamah," katanya menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) berhubung langkah diambil kerajaan terhadap nelayan yang mencerobohi perairan negara.
Adnan berkata APMM akan terus melaksanakan rondaan dan penguatkuasaan bagi mengesan kehadiran kapal-kapal asing secara berterusan di kawasan perairan negara.
Sementara itu menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (PAS-Beserah) yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula Akta Perikanan 1985 berkaitan zon tangkapan ikan nelayan pantai yang hanya lima batu nautika dari pantai Adnan berkata, tiada keperluan untuk akta berkenaan dipinda.
Katanya akta itu sudah mewujudkan kategori zon tangkapan ikan iaitu Zon A bagi bot yang dilesenkan dengan peralatan tradisional dan kawasan operasinya bebas kecuali kawasan Taman Laut.
Adnan berkata kategori Zon B pula membabitkan bot yang dilesenkan dengan pukat tunda dan pukat jerut ikan dengan muatan di bawah berat kasar 40 tan GRT dan kawasan operasinya di luar kawasan lima batu nautika dari pantai serta pulau.
Zon C pula merupakan bot yang dilesenkan dengan pukat tunda dan pukat jerut ikan yang bermuatan antara 40-70 GRT dan kawasan operasinya di luar kawasan 12 batu nautika dari pantai dan pulau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan