HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2010

AKIM parti kelima sertai Pakatan Rakyat

FREE MALAYSIAN INSIDER


KUALA KUBU BHARU : Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hari ini mengumumkan kesediaannya untuk bergabung dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat (PR), menjadikannya sebagai parti kelima menyertai gabungan PR selepas Parti Nasional Sarawak (SNAP) pada 20 April lau.

Timbalan Presidennya Zulkepli Zakaria berkata keputusan itu diambil secara sebulat suara setelah bemesyuarat dengan peringkat Pusat dan kini AKIM akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada PR.

"Setelah bermesyuarat dengan jawatankuasa tertinggi AKIM, kami mengambil keputusan untuk menyokong PR memandangkan misi kami menjadikan kita hampir sama, iaiutu memperjuangkan keadilan dan kebaikan demi manfaat rakyat. Sebagai parti kelima dalam PR, ini mampu menjadikan PR sebagai satu gabungan yang mantap khususnya dalam menghadapi pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media di Pusat Media PKR Hulu Selangor.

Zulkepli turut menyatakan pendirian parti itu untuk menyokong calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

" Akim ingin bersama-sama untuk memberi sokongan padu kepada calon PKR di Hulu Selangor dan jawatankuasa Pusat yakin Zaid mampu menyesuaikan diri dan memberi satu khidmat yang terbaik untuk rakyat kerana pengalamannya yang luas dalam pentadbiran kerajaan dan parti," katanya.

Sementara itu dalam majlis yang sama Presidennya Mohd Hanafi Mamat menafikan dakwaan seorang ahlinya Zakaria Salleh yang sebelum ini mengaku memegang jawatan Presiden parti itu.

"Zakaria mengakui dia adalah presiden AKIM. Dia sebenarnya telah dipecat dan dibuang menjadi ahli AKIM berkuatkuasa pada 21 Disember tahun lalu kerana beliau banyak buat haru-biru dalam parti, dan ada antara mereka yang tidak bayar yuran ahli, semua ahli perlu bayar yuran dan kedua-dua ini tidak ada. Semua dakwaan ini tidak betul.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat Fuziah Salleh dalam responnya mengalu-alukan kehadiran AKIM dalam PR dan yakin penyertaan parti itu mampu menguatkan lagi jentera PR.

"Dalam usaha Barisan Nasional (BN) untuk menggunakan apa-apa sahaja taktik untuk mengeluarkan ahli PR, kemasukan parti AKIM ini amat berbeza sekali.

"Tanpa dipinta atau dirayu mereka sukarela masuk atas prinsip yakin dengan perjuangan PR. Berbeza dengan BN yang mengugut dan sanggup membeli ahli, kita amat berbesar hati dengan kehadiran mereka dalam kempen pilihan raya walaupun disaat-saat akhir," katanya.

Fuziah berkata pihaknya akan turut membawa perkara ini untuk dibincangkan dengan Majlis PR untuk diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

Pemuda Umno serah borang masuk PKR

Kekuatan PKR bertambah kukuh apabila kira-kira 25 ahli Pemuda Umno-Barisan Nasional (BN) daripada Negeri Sembilan dijangka menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasmi malam ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan Rebin Birham berkata, kemasukan ahli Pemuda BN itu terdiri daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan Umno BAgan Pinang dan Telok Kemang.

Beliau berkata kemasukan itu akan diumukan oleh Timbalan AMK Pusat, Fariz Musa pada majlis Ceramah Perdana bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, dan Zaid di Sungai Buaya, Batang Kali.

"Kemasukan ini memberi petanda bahawa orang muda sudah mula menolak Umno-BN dan yakin dengan perjuangan PKR dan PR, dan saya jangkakan lebih banyak lagi penyerahan borang daripada negeri lain pada malam ini," katanya.

Tiada ulasan: