FREE MALAYSIA TODAY
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Hulu Selangor kali ini adalah permulaan yang baik kepada parti itu untuk merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Kata perdana menteri, kemenangan itu membawa erti yang besar kepada BN kerana ia menunjukkan berlakunya peralihan sokongan kepada parti itu.
"Sudah berlaku peralihan (sokongan) kepada BN kerana menang majoriti hampir 2,000 undi," katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Hulu Selangor di sini semalam.
"Ini merupakan satu sokongan yang sangat besar ertinya kerana kita bertanding di negeri yang dikuasai pembangkang, tak seperti pada 2008 di mana kita bertanding di negeri yang kita kuasai," ujar beliau.
Pada PRK ini, calon BN, P. Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat mendapat 23,272 undi dengan majoriti 1,725 undi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kekalahan BN di majoriti kawasan pengundi Cina, Najib berkata,"Kita akan buat analisa tentang keputusan ini dan saya tak mahu buat kesimpulan terlalu cepat sebab kita kena kaji perkara ini dengan mendalam.
"Walaupun kita kalah di kawasan pengundi Cina, tapi berdasarkan kepada keputusan, ini adalah permulaan yang baik," katanya.
Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN yang diketuai Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kerja keras selama ini.
Najib juga berkata, BN akan memastikan segala janji kepada penduduk Hulu Selangor akan ditunaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan