HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2010

Isu Maika: Samy Vellu hanya buat gimik


IMG_1402 Oleh Fazy Sahir


KUALA KUBU BHARU: Pengumuman Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu minggu lalu, berhubung pembelian saham Maika Holdings Sdn Bhd yang bernilai hampir RM106 juta kepada satu kumpulan syarikat swasta India disifatkan hanya "gimik politik" semata-mata.

Demikian menurut salah seorang pemegang saham Maika, S Nadarajah bahawa pengumuman itu "gimik’ yang didakwanya mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ini kerana 1,500 daripada pemegang saham Maika terdiri daripada pengundi Hulu Selangor yang bakal membuang undi 25 April ini.

"Kami pemegang saham Maika Holdings ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pembelian tersebut. Adakah betul dan memberi kepentingan kepada para pemegang saham.

"Atau ia hanya sekadar gimik? Kami mahu pengumuman yang jujur daripada pihak terbabit," katanya dalam sidang media di Pusat Informasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi.

Nadarajah yang mewakili 1,500 pemegang saham lain turut mengemukakan tujuh soalan penting berhubung pembelian tersebut.

Antaranya tiada pengumuman lanjut dibuat oleh Bank Negara Malaysia berhubung pembelian saham Maika itu serta tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Maika Holding mengenainya.

Malah lebih meragukan lagi tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebelum butiran transaksi diumumkan Samy Vellu, beliau awal lagi sudah mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan dalam menyelesaikan isu tersebut. Kenapa sehingga sekarang tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Perdana Menteri atau kerajaan berhubung hal ini?

"Adakah Najib akan ke hadapan membantu menangani isu ini?" soalnya.

Dilaporkan ramai orang India melabur dalam saham Maika pada tahun 1984, termasuk pekerja ladang yang menggadaikan barang kemas keluarga dan mengeluarkan simpanan sepanjang hayat mereka untuk melabur.

Penubuhan Maika Holdings pada tahun 1982 ini bagi membolehkan masyarakat India di negara ini menyertai pertumbuhan ekonomi negara.

Namun sebaliknya berlaku apabila ia langsung tidak memberi apa-apa keuntungan dan mengecewakan kira-kira 66,000 pemegang
sahamnya.

Beliau turut menyeru agar pihak pengarah urusan segera menyelesaikan isu ini dengan memberi butiran lengkap mengenai pembelian itu.

Tiada ulasan: