HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2010

Pemimpin Umno-BN mahu balas jasa saudagar judi Tan Sri Vincent Tan

Oleh Roy Rasul


KETUA Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan percaya kerajaan begitu tergesa-gesa meluluskan lesen judi bola sepak sempena kejohanan Piala Dunia 2010 Julai ini, kepada Kumpulan Berjaya kerana mahu membalas jasa kepada pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan.

Dakwanya, daripada maklumat yang diperolehi Dewan Pemuda PAS Pusat, Kumpulan Berjaya banyak membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan parti-parti politik pembangkang dalam setipa kali pilihan raya.

"Apa yang saya hendak sebutkan tindakan cepat dan tindakan tergesa-gesa kerajaan meluluskan lesen judi kepada Kumpulan Berjaya kerana taukehnya banyak membantu pembiayaan bagi pilihan raya BN, berdepan dengan parti- parti politik pembangkang. Sebab saya tidak nampak Umno begitu daif untuk berdepan dengan rakyat yang menentang aktiviti judi. Begitu juga dengan ulama-ulama mereka diam seribu bahasa, membiarkan judi diteruskan," tegasnya dalam satu sidang media selepas mesyuarat EXCO Dewan Pemuda PAS di Pejabat Agung, dekat sini.

Turut serta, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Azman Shapawi dan Setiausaha, Kamaruzzaman Mohamad. Dakwa Ustaz Nasruddin, apa yang sedang berlaku menunjukkan Umno terdesak untuk mendapatkan dana dan sudah pasti Umno hanya akan memperolehi dana itu daripada taukeh-taukeh judi.

Beliau mendakwa, penganugerahan lesen judi kepada Kumpulan Berjaya adalah salah satu contoh balas budi bagi pihak kerajaan kepada mereka. Katanya lagi, paling menyedihkan ke manakah perginya tokoh agama dalam Umno, menteri agama, dan mufti-mufti untuk bersuara dalam isu sesensitif ini.

"Agama apa sebenarnya dianuti Umno dan BN apabila semua agama menafi dan tidak membenarkan judi. Tiba-tiba kerajaan Umno dan BN meluluskan lesen judi sebab kita tahu lesen judi merupakan satu hak ataupun autoriti yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan. Kenapa diluluskan?" soalnya.

Katanya, tidak keterlaluan selepas ini orang akan kata Umno tidak ada agama kerana semua agama tidak bersetuju dengan judi. Sehubungan itu Pemuda PAS memutuskan satu gerakan besar-besaran membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi tersebut. -

Tukar ganti 2 telaga minyak oleh Najib, benarkah untungkan Malaysia-Brunei?

Oleh Neo Chee Hua


ISU pertukaran Limbang dengan lapangan minyak Blok L dan M semakin hangat dipertikaikan. Semua pihak yang terlibat, termasuklah bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Najib Razak, Kementerian Luar Negeri, hinggalah Petronas memberi penjelasan bahawa ini formula penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak, Malaysia dan Brunei.

Namun demikian, apa yang terdedah setakat ini hanyalah kehilangan hak milik Malaysia ke atas Lapangan Minyak Blok L dan M. Masalah yang belum menemui penyelesaian termasuklah:

1. Kerajaan Malaysia masih belum mengumumkan persempadanan semula terbaru yang dipersetujui antara Malaysia dengan Brunei. Di bawah persetujuan ini, adakah negara kita memiliki atau kehilangan zon cari gali sumber petroleum yang lain?
2. Adakah penduduk Sabah kehilangan royalti minyak lantaran daripada itu?
3. Adakah kita hanya memperolehi hak milik terhadap Limbang pada akhirnya, apabila kita menukar dengan lapangan minyak yang bernilai ratusan bilion ringgit?
4. Mengapa pula Limbang yang dipilih?

Pertukaran dipersetujui kabinet Malaysia

Kenyataan Kementerian Luar Negeri memetik UN Convention of the Law of the Sea pada tahun 1982, menyatakan bahawa Brunei memiliki kedaulatan ke atas lapangan minyak Blok L dan M (Brunei mendakwa kedua-dua blok ini berada dalam lingkungan Blok J dan K), namun cari gali dan pembangunan blok ini dijalankan oleh Brunei bersama Malaysia.

Oleh itu, Kementerian Luar Negeri menganggap penyerahan kedua-dua blok (L dan M) kepada Brunei melalui Exchange of Letters yang dimeterai kedua-dua Malaysia dan Brunei pada tahun 2009, mematuhi undang-undang antarabangsa.

Secara ringkasnya, kenyataan PM Najib, bekas PM Abdullah Ahmad Badawi, malah Petronas telah mengesahkan bahawa kandungan dokumen "pertukaran" ini telah dipersetujui oleh kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009, dan dimeterai kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009. Dengan itu, Blok L dan M tidak lagi dimiliki Malaysia, dan kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.

Persempadan semula: Dapat atau hilang?

Biarpun Najib, Abdullah dan Kementerian Luar Negeri menekankan bahawa dokumen yang dimeterai antara Malaysia dengan Brunei menyelesaikan pertikaian yang berlanjutan antara Malaysia dengan Brunei selama ini, namun kerajaan Malaysia tetap tidak mengumumkan secara terbuka persempadanan baru darat dan laut yang telah dipersetujui itu.

Malah, bekas PM Mahathir Mohamad yang menghangatkan isu ini menuntut agar dokumennya didedahkan. Sekali imbas, lapangan minyak Blok L dan M hanyalah sebahagian daripada kawasan laut yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Brunei untuk sekian lama.

Pada hakikatnya, Blok J dan K yang terletak di luar Borneo (termasuk Blok L dan M), kawasan laut yang kaya dengan sumber petroleum ini adalah kawasan yang direbut antara Malaysia dengan Brunei selama ini. Sejak dulu Brunei mendakwa bahawa Blok J dan K adalah Zon Ekonomi Eksklusif yang dimiliki Brunei.

Kini, apa yang pasti, Malaysia secara rasminya menyerahkan hak milik lapangan minyak Blok L dan M, dan mengiktiraf kedaulatan Brunei di kedua-dua blok ini. Kita tidak mengetahui apa-apa selain itu. Sama ada kita memperolehi atau kehilangan wilayah darat atau laut yang lain, menurut dokumen yang dipersetujui tersebut.

Menurut maklumat yang sedia ada, Blok L dan M terletak bersebelahan dengan Blok K, malah wujudnya pertindihan dengan Zon Ekonomi Eksklusif antara Blok J dan K. Antaranya, lapangan minyak Kikeh, telah ditemui oleh Murphy Oil Corp bersama Petronas pada tahun 2003.

Dari segi kedudukan geografinya, lapangan minyak yang besar ini terletak dalam Blok K (dakwaan Malaysia) yang bersebelahan dengan Blok L, dan bersebelahan juga dengan Blok J yang didakwa Brunei, malah mungkin berlanjutan ke kawasan Blok J.

Mungkin kehilangan lapangan minyak Kikeh

Jika dirujuk kepada kenyataan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah mengiktiraf Blok J dan K sebagai wilayah dalam lingkungan kawasan laut Brunei, dan Brunei kini memiliki kedaulatan ke atas Blok L dan M. Dengan kata lain, Malaysia mungkin kehilangan hak milik ke atas lapangan minyak Kikeh. Lapangan minyak Kikeh dianggarkan mempunyai simpanan 400 hingga 700 juta tong petroleum, dengan pengeluaran yang boleh mencecah antara 120 ribu hingga 125 ribu tong sehari.

Antara lapangan minyak yang masih berada dalam kawasan laut yang sarat dengan pertikaian, termasuklah Kebabangan, yang diberikan oleh Petronas kepada Conoco Philips pada Februari 2005 (terletak di kawasan laut 94 km dari Barat Laut Kota Kinabalu, Sabah); Kinabalu yang diberikan oleh Petronas kepada Sabah Shell Petroleum (terletak di luar Sabah, kawasan laut 34 km dari Pulau Labuan), Gasumut-1 (terletak di kawasan laut pertikaian Malaysia-Brunei), Malikai-1, ND6 dan ND7 di Timur Sabah, lapangan gas asli di Serai, Sarawak dan sebagainya.

Oleh sebab kerajaan Malaysia belum mengumumkan persempadanan baru yang dipersetujui, maka kita tidak pasti sejauh manakah Malaysia kehilangan hak miliknya terhadap lapangan minyak. Namun, menurut perhitungan bekas PM Mahathir Mohamad, nilai lapangan minyak Blok L dan M bernilai USD 100 billion (atau RM320 bilion).

Menurut perkiraan pakar dalam bidang petroleum pula, jikalau dikira berdasarkan andaian pengeluaran antara 250 ribu hingga 300 ribu tong sehari di lapangan minyak Blok L dan M, maka lapangan minyak ini boleh kekal antara 15 hingga 20 tahun. Dengan kata lain, Malaysia dijangka kehilangan RM65.60 juta sehari, RM23.94 bilion setahun dan jumlah RM478.9 bilion untuk 20 tahun.

Penduduk Sabah kehilangan Royalti minyak 17.8 bilion

Jika benar dakwaan kerajaan Malaysia bahawa persetujuan ini merupakan formula penyelesaian "menang-menang", antara Malaysia dengan Brunei, maka persoalannya, apa pula yang diperolehi Malaysia?

Menurut kerajaan, Petronas diundang Brunei untuk menyertai dan membangunkan bersama sumber minyak dan gas di kawasan terbabit untuk tempoh 40 tahun. Dari tuan milik sumber semulajadi, Petronas kini hanyalah syarikat yang diundang oleh Brunei dalam usaha sama mencari gali sumber di kawasan ini. Apakah ia "menang-menang" untuk Petronas? Dalam keadaan kehilangan kedaulatan ke atas Blok ini, sejauh manakah kepentingan yang boleh diraih oleh Petronas dalam usahasama ini?

Di samping itu, kerajaan negeri Sabah juga kehilangan royalti minyak 5%-nya, lantaran "pertukaran" ini. Seandainya dikira berdasarkan annggaran di atas, kerajaan negeri Sabah akan kehilangan royalti minyak sebanyak RM3.28 juta sehari, RM1.19 bilion setahun dan jumlah RM17.85 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, kerajaan persekutuan telah berunding dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam isu ini, sebelum perjanjian dengan Brunei ditandatangani. Maknanya, kerajaan negeri Sabah telah bersedia untuk "dikorbankan" (royalti minyak-nya), supaya akur kepada keputusan kerajaan persekutuan. Untuk penduduk Sabah, apakah ini formula penyelesaian "menang-menang"?

Apakah Limbang memadai?

Khabar yang tersebar kini mendakwa bahawa kerajaan Malaysia mendapat hak miliknya ke atas Limbang di Sarawak dengan melepaskan hak miliknya ke atas Blok L dan M. Setakat ini, sama ada Najib mahupun Abdullah tidak menjawab, adakah Brunei tidak akan lagi menuntut Limbang, di bawah persetujuan kedua-dua negara tersebut?

Pertamanya, jikalau kerajaan Malaysia mendapat hak milik Limbang dengan hak milik kerajaan negeri Sabah terhadap lapangan minyak, maka pertukaran ini sebenarnya memanfaatkan Sarawak dengan mengorbankan kepentingan Sabah. Namun, pihak yang mendapat kemenangan bersih ialah Brunei.

Keduanya, jikalau persempadanan semula yang dipersetujui menyaksikan pertukaran Limbang dengan hak milik ke atas lapangan minyak Blok L dan M, apakah pertukaran ini memperlihatkan kewajarannya? Apakah ini formula "menang-menang" untuk Malaysia?

Menurut maklumat dari wikipedia, Limbang dengan keluasan 7,788 km persegi tidak mempunyai sumber semula jadi seperti petroleum, gas asli mahupun arang.
Aktiviti ekonomi yang utama adalah pembalakan, pertanian secara kecil-kecilan, penanaman dan pelancongan.

Apa yang menarik, pada ketika Mahathir mengkritik Abdullah kerana menukar Limbang dengan lapangan minyak RM320 bilion, berita di internet pula tersebar bahawa kerajaan Mahathir menyimpan niat menjual Limbang kepada Brunei secara senyap-senyap dengan RM 2 bilion pada zaman 1980-an. Bagaimanapun, cubaan ini gagal setelah berita itu terbongkar.

- Neo Chee Hua, Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Selangor Umum Indeks Integriti Pakatan Rabu ini


images Oleh Fazy Sahir


KOTA BHARU: Walaupun kerajaan negeri Selangor dikritik hebat sepanjang perbahasan usul Kongres Nasional Keenam Parti Keadilan Rakyat(PKR), namun Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap komited menerajui negeri itu dengan lebih baik.

Ketika ucapan penggulungannya, beliau mengumumkan kertas kerja Indeks Integriti Pentadbiran Pakatan Rakyat yang bakal dibentangkan pada mesyuarat Exco Selangor rabu ini.

Tindakan susulan ini bagi menyambut baik cadangan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar kerajaan Selangor mengadakan indeks tersebut yang dapat mengukur tahap kecekapan, ketelusan dan amanah dalam pentadbiran.

"Saya menerima baik cadangan Presiden mengenai integriti dan malam tadi saya telah menyediakan Indeks Integriti Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Hari Rabu ini saya akan luluskan sebagai satu hala tuju bagaimana menyediakan pentadbiran bersih untuk rakyat,” katanya.

Khalid turut mencadangkan untuk melantik Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kelancaran penerangan dan komunikasi ke peringkat akar umbi di Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid menyatakan keprihatinan terhadap permintaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar dapat lebih terlibat dalam pentadbiran Pakatan.

Beliau menyuarakan sokongan dan merasakan kepentingan bagi menyediakan tapak yang kukuh bagi pembangunan kepimpinan muda.

"Saya mahu PKR ada tapak kukuh dan terus menimbangkan kepimpinan muda kepada negara Malaysia.

Salah satu tanggungjawab ialah menyediakan tapak yang cukup supaya asas pemerintahan tidak lagi huru hara dan akan terus berkembang," katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa program Dewan Undangan Negeri (DUN) Angkat yang ditugaskan kepada Exco Selangor akan ditamatkan.

Sebagai pengganti, setiap DUN bakal menerima seorang Pegawai Pembangunan DUN yang dilantik dari kalangan pemimpin muda bagi memastikan kelancaran pengurusan pentadbiran di peringkat DUN lebih efisien dan berkesan.

Zaid – Jangan Terjebak Propoganda Umno


IMG_2297Oleh Fazy Sahir


KOTA BHARU: Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memberi peringatan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak terjebak dengan propoganda politik perkauman Umno.

Menurut Zaid PKR bukanlah entiti parti yang berkisar perjuangan berasaskan perkauman, sebaliknya memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia.

"Kita mewakili semua jangan terjebak dengan propaganda Umno," katanya pada sesi penggulungan dalam Kongres Keenam PKR disini hari ini.

Beliau mengulas demikian ekoran Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mahu diadakan kongres khas dalam membincangkan soal kepentingan Melayu.

"Saya mengalu-alukan cadangan AMK tetapi jangan sampai terperangkap dengan persoalan-persoalan yang berkisar dengan perkauman.

"Kita bukanlah parti yang berasaskan perkauman, kita mewakili semua bangsa," katanya.

Menurut beliau permasalahan utama bukanlah berkisar tentang politik Melayu, namun membabitkan perjuangan politik bagi ekonomi sejagat.

Maka beliau berharap agar PKR mempertahankan asas perjuangan untuk rakyat Malaysia.

"Masalah bukan mengenai politik Melayu tetapi politik membabitkan orang kaya dan orang biasa…inilah politik yang sebenar.

"Jika hendak buat kongres seperti itu, perlu juga buat Kongres Felda, orang Asli, Iban dan orang-orang miskin di Sabah dan Sarawak.

"Jangan ikut model orang Umno. Yang boleh ikut, sebab mereka suka bagi makan…yang lain-lain tidak payah ikut," katanya.

Keluar Parti Ibarat ‘Pelacur Politik’ – Azmin


IMG_2448 Kongres Nasional PKR Keenam

Oleh Fazy Sahir


KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali melabelkan mereka yang meninggalkan parti dan kemudiannya membuat tohmahan keras terhadap parti itu sebagai ‘pelacur politik’.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa namun ia difahami oleh perwakilan, Ahli Parlimen Gombak itu menyifatkan golongan pembelot itu sebagai bukan pejuang tulen.

Beliau berpendapat golongan pembelot tersebut tidak layak digelar anak didik pejuang reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin turut mengingatkan bahawa bukan semua perwakilan yang lahir daripada gelombang reformasi adalah pejuang tulen.

"Baru satu tahun sudah berlagak nak berjuang…bila rakyat bertempur tahun 1998 pelacur inilah yang lari dulu daripada negara kerana tidak berani berdepan dengan kezaliman Barisan Nasional," katanya ketika berucap di Kongres Nasional PKR kali keenam di sini, semalam.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap sesetengah individu yang mengaku sebagai anak didik Anwar namun akhirnya membelot perjuangan rakyat.

"Mereka mengaku menjadi anak didik Anwar semata-mata pernah ada hubungan rapat dengan beliau (Anwar) dalam tempoh tertentu.

Proses tarbiyah belum habis

"Siapa pelacur… senator ini baru berkhidmat tak lebih 2 tahun tetapi mengaku inilah anak didik Anwar Ibrahim. Proses tarbiyah tidak habis… yang paling lama Khalid Jaafar 13 tahun berkhidmat dengan Anwar," kata beliau.

Sambil membuat perbandingan, beliau menyifatkan Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali sebagai senator sejati.

"Hari ini sebaliknya berlaku…akhirnya kita dapat senator kita Dr syed Husin Ali yang ada kualiti, ada prinsip, puluhan tahun berjuang.

"Kalah menang akhirnya kita tetap bersama dan kita tetap menegakkan idealisma dan mempertahankan parti ini.

"Calon yang kita kemukakan sebagai senator bukan seperti senator Umno yang diberikan kepada pelacur-pelacur yang memperdagangkan diri untuk Rosmah (Mansor) dan (Perdana Menteri) Najib (Tun Razak)," katanya.

Ketakutan Umno-BN Kepada Pakatan Rakyat Semakin Jelas

Oleh Faizal Ezzany


KOTA BHARU - Kekuatan KEADILAN sebagai sebuah parti masa depan yang didokong rakyat terserlah apabila berlakunya pilihan raya dan populariti parti telah menyebabkan Umno- Barisan Nasional melakukan pelbagai usaha dan cara untuk memastikan kemenangan mereka.

"Dalam soal kuat atau tidak parti, kita kena melihat bagaimana gelisahnya Umno-Barisan Nasional setiap kali diadakan pilihan raya. Umno-BN melakukan apa jua cara untuk memastikan kemenangan mereka. Kerana ketakutan mereka itu menyebabkan mereka menggunakan wang ringgit dan juga pelbagai agensi kerajaan dalam kempen mereka.

"Kita perlu ingat kerana ketakutan akan menyebabkan kita akan menghadapi kekalahan, jangan biarkan sifat tersebut itu sentiasa berada dalam diri kita," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid juga menjelaskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat telah meningkat dan apa yang perlu dilakukan adalah melakukan sedikt perubahan pada parti demi mengukuhkan kedudukan.

"Dalam Pilihan Raya Umum 2008 Pakatan Rakyat mendapat sokongan daripada pengundi Melayu dan juga kaum lain, apa yang kita belum dapat adalah sokongan dari peneroka Felda, undi pos dan juga agensi kerajaan yang lain.

"Kita perlu buat perubahan bagaimana hendak mendampingi mereka dari kelompok tersebut, kita perlu tahu undi daripada kelompok itulah menjadi talian hayat BN setiap kali pilihanraya. Parti kita bukan berada atas asas perkauman, jadi guna kelebihan yang kita ada ini untuk terus mendampingi rakyat. Jangan jadi seperti Umno, perhimpunan yang mereka lakukan hanya untuk satu kaum sahaja.

"Saya tidak pernah bimbang dengan berita keluar parti kerana saya tahu kekuatan dalam setiap diri anggota KEADILAN, politik kita ini adalah politik masa sekarang bukannya politik BN yang sudah ketinggalan zaman.

"Tahniah saya ucapkan kepada setiap perwakilan kerana berani membuat teguran kepada setiap pemimpin atasan dan ini yang tidak berlaku didalam Umno mahupun BN. Teguran kita jadikan panduan untuk membuat perubahan, tetapi dalam BN teguran adalah tanda tamatnya riwayat mereka dalam parti," tegas beliau lagi semasa berucap dalam perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2009 petang tadi.

Dedah bukti "ganjaran 2 juta" Anwar masih tunggu masa

Lim Hong Siang

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim masih menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan bukti bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang melompat menerima ganjaran sekurang-kurangnya RM 2 juta daripada UMNO-Barisan Nasional.

"Saya ada keterangan yang cukup untuk mengesahkan orang-orang yang khianat ini terima dari agen UMNO dua juta ringgit," demikianlah kata-katanya kepada hampir 10 ribu orang yang menghadiri Ceramah Umum yang diadakan di Padang Perdana, Kota Bahru, semalam.

Biarpun diminta pemimpin PAS, Husam Musa yang berucap sebelumnya untuk mendedahkan bukti pada malam tersebut, setelah Anwar Ibrahim (gambar kiri) membuat tuduhan ini dalam satu kenyataan media pada 28 Mei, namun Anwar tetap enggan berbuat demikian, sebaliknya meminta agar orang umum menunggu.

"Pertama saya nak Najib dan orang-orang UMNO tuduh saya bohong... dan saya nak dengar ahli-ahli parlimen yang lompat, yang khianat ini, nafi. Kemudian saya bagi (bukti) macam drama Hindustan tiga babak...," kata Anwar Ibrahim.

Malah, Anwar berseloroh bahawa dirinya terlupa di mana buktinya disimpan, kerana takut seandainya dimaklumkan maka "bukti" tersebut akan hilang dirampas. "(kalau) Ambo kata ada di rumah, habis dicuri.."

Fenomena "lompat parti" paling ketara berlaku di PKR, menjadi salah satu isu yang hangat dibincangkan dalam PKR, dalam Kongres Nasional Tahunan ke-6 yang berlangsung dari 27 hingga 30 Mei 2010. Tuduhan-tuduhan seperti "pelacur politik", "sampah-sarap" dilemparkan kepada mereka yang berpaling tadah.

Sambil meminta maaf kerana tersilap pilih calon pada PRU ke-12, Anwar Ibrahim sekali lagi berjanji untuk mewujudkan mekanisme yang lebih sempurna dalam perlantikan calon pilihan raya partinya.

Selain Anwar Ibrahim, Ceramah Umum yang dijadualkan semalam membariskan Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebagai penceramah. Exco kerajaan negeri Kelantan, Husam Musa akhirnya menggantikan Nik Aziz yang keletihan untuk berucap.

Subsidi itu wang rakyat, Khalid

Selain itu, kenyataan bahawa Malaysia bakal mengalami bankrap seandainya subsidi kerajaan tidak dibatalkan oleh Ketua Eksekutif PEMANDU Jabatan Perdana Menteri Idris Jala (gambar kiri), turut disanggah oleh penceramah. MB Selangor Khalid Ibrahim mendedahkan penyelewengan bekas kerajaan negeri BN yang ditemuinya setelah PR mengambil alih kerajaan Selangor, dan membuktikan bagaimana Malaysia boleh "diselamatkan" berdasarkan pengalaman PR di Selangor.

Khalid Ibrahim yang sebelum ini berkecimpung dalam dunia korporat, mendedahkan bagaimana bekas kerajaan Selangor BN menswastakan sesetengah syarikat kerajaan, kemudian syarikat tersebut mengalami kerugian, dan akhirnya dibeli semula oleh kerajaan dengan harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

Beliau menyindir cara perniagaan yang tak masuk akal ini, lantas mendakwa pemimpin BN telah memanfaatkan diri daripada "kerugian" ini dengan wang rakyat. Malah, Khalid menyelar kerajaan BN sengaja memusingkan konsep "wang rakyat" itu dengan istilah "subsidi", semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Bankrap kerana rasuah

Anwar Ibrahim juga tidak melepaskan kesempatan untuk mengulas pandangan Malaysia bakal menyusul jejak Greece menuju ke arah bankrap seandainya subsidi dibatalkan. Beliau mempersendakan propaganda BN sebelum ini yang mendakwa bahawa ekonomi negara kini "bergerak dengan pantas dan sungguh meyakinkan", "banyak pelabur datang setelah Najib menjadi PM", tetapi tiba-tiba keluar pula kenyataan bahawa negara bakal bankrap kalau subsidi tidak ditarik.

"Greece ini bankrap, kerana satu, rasuah. Kedua, tipu angka ekonomi. Nombor tiga, urus tadbir ekonominya cukup lemah sekali...," jelas Anwar. Beliau seterusnya membidas bagaimana kerajaan sanggup menarik balik bantuan kepada rakyat, tetapi terus menyalurkan subsidi kepada IPP (Penjana Tenaga Bebas) yang dimiliki syarikat besar kerana mereka turut dimanfaatkan daripadanya.

Bekas Menteri Kewangan yang mempunyai lapan tahun pengalaman ini mempersoalkan, "Berapa kerajaan bayar subsidi? 20 ribu juta ringgit (20 bilion). Mengapa tak tarik dari taukeh besar? Mengapa menarik hak orang kampung ni?"

UMNO dimanfaatkan daripada lesen judi

Anwar Ibrahim juga mempertahankan kerjasama antara parti komponen dalam PR, juga Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Sekarang ni, orang Cina, orang India, Iban, Kadazan, berkawan dengan kita. Kita tak halang budayanya, kita tak halang agamanya. Tapi ada titik persamaannya, dalam soal moral, soal keluarga, soal rumah tangga, soal kehidupan rakyat, dan susah deritanya rakyat..."

"Judi dah banyak dah, 12 cabutan. Tambah lagi, siapa tambah? UMNO tambah. Bagi kepada siapa? Syarikat kroninya. Siapa untung? Saya nak sebut di Kelantan, bukan sahaja taukeh judi untung, orang-orang UMNO pun untung daripada syarikat judi ini. Ini (sebab) dia tak sanggup batalkan."

Lim Guan Eng yang berucap sebelum Anwar Ibrahim, menerima tepukan daripada hadirin yang kebanyakannya Melayu-Islam, apabila menyatakan pendiriannya untuk membantah judi sukan dengan jenaka, "makan bola, minum bola, tidur bola boleh, tapi jangan judi bola."

Guan Eng: Takkan nak belajar dari UMNO?

Dalam ucapannya, Ketua Menteri Pulau Pinang ini membersihkan nama diri dan partinya bahawa DAP anti-Islam dan Melayu yang dilontarkan UMNO. Sebaliknya, DAP juga berdepan dengan tuduhan anti-bukan Melayu dari Gerakan-BN. Beliau menyatakan bagaimana beliau sanggup berdepan dengan sebarang tindakan lantaran pengumumannya untuk mengharamkan perjudian sukan di negeri Pulau Pinang.

Daripada reaksi penonton, Lim Guan Eng (gambar kanan) agak berjaya untuk menawan hati penduduk di Kota Bahru, apabila menceritakan bagaimana beliau cuba dipertikai dan dilarang pemimpin UMNO untuk menjalankan pemerintahan mengikut pendekatan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Lim Guan Eng mengakui bahawa dirinya yang belajar Islam hanya daripada Mohamad Sabu (pemimpin PAS), teragak-agak untuk mencabar,"...ayat surah mana, hadis mana yang menyatakan bahawa seseorang bukan Islam tak boleh belajar daripada contoh amalan baik daripada pemimpin tersohor dan ulong pemimpin Islam?"

Tetapi dalam hatinya, beliau yakin tiada ayat tersebut dalam hadis, kerana "agama Islam tentu akan ajar kita buat baik...," sebelum beliau menggelakkan satu padang, "Kalau kita tak boleh belajar daripada Khalifah Umar Abdul Aziz, kita nak belajar daripada siapa? Pemimpin UMNO kah? Mohd Khir Toyo kah?"

PRK Sibu: PAS bukan lagi beban

Setiausaha Agung DAP ini turut merakamkan penghargaannya kepada parti komponen PR kerana menyumbangkan kemenangan di PRK Sibu, pada 16 Mei lalu. Beliau menyimpulkan kejayaan PR menembusi kubu BN di Sarawak ini sebagai, "Manusia yang rancang, Tuhan yang takdirkan!"

Husam Musa, pemimpin PAS yang berucap selepas itu, juga menyatakan bahawa PAS berjaya mengubah persepsi penduduk Malaysia Timur menerusi PRK Sibu, apabila PAS bukan lagi beban kepada rakan parti di situ.

"Moral ceritanya ialah, kalau tiga parti tunggak dalam Pakatan Rakyat tidak dapat dipecahkan, kita mengimbangi antara satu sama lain, kita membantu rakan kita, mana yang kurang dan kita compliment each other, kita sudah mempunyai satu keseimbangan untuk disampaikan kepada masyarakat Malaysia sebagai pilihan kepada Barisan Nasional."

Husam Musa menjelaskan, seandainya PR berhenti langkah dengan pemerintahan di empat negeri, maka BN yang menguasai di peringkat persekutuan akan terus memecah belahkan PR dengan media yang dikuasainya.

Bankrap setahun sebelum 2020

"Yang lebih penting ialah, dari segi keseluruhan sistem politik, pentabiran dan ekonomi kita, menuju ke satu tahap yang lebih mundur. Dari segi kebebasan kehakiman, dia lebih merosot. Dari segi polis, polis sampai boleh ugut rakyat, polis tak nak lagi jaga jalan raya semata-mata bila rakyat menegur mereka membunuh seorang budak yang masih muda sesuka hati."

"Dari segi ekonomi, Alhamdulillah Barisan Nasional sudah mengumumkan Malaysia akan bankrap satu tahun sebelum Malaysia menjadi maju ikut Wawasan 2020, iaitu pada tahun 2019," kata Husam Musa (gambar kanan).

"Kalau Barisan Nasional dengan berani mengatakan Malaysia akan bankrap, pilihan rakyat Malaysia hanya dua," Sambungnya, "Sama ada nak bankrap sekali dengan Barisan Nasional (pada tahun) 2019, di mana kita tak mahu, atau kita tumbangkan mereka dan kita betulkan semula steering perjalanan masa depan Malaysia."

Husam Musa menyimpulkan, "Dan cara kita nak betulkan ini, mestilah dalam pilihan raya ke-13. Kalau kita tunggu 2019 ada lagi tiga pilihan raya sebelum kita betul-betul bankrap, baik kita betulkan sebelum kita bankrap melalui pilihan raya ke-13."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Benar, PR Sedang Menuju Ke Putrajaya

KELAB GREENBOC

Kongres Terbaik Petanda Masa Depan Cerah Ke Putrajaya

Kongres Nasional KEADILAN kali ini disulami dengan perbahasan dan displin yang baik memberi petanda harapan cerah kepada KEADILAN dan Pakatan Rakyat melangkah menuju ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Naib Presiden, Azmin Ali semasa mengulung perbahasan menyifatkan perjalanan kongres petang tadi oleh perwakilan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama sebagai yang terbaik di antara kongres pernah diadakan sebelum ini.

"Kita lihat kali ini, penyertaan Ramli Logan yang mewakili Orang Asal telah menyampaikan hujah yang cukup baik dan bernas dan ini sama sekali tidak berlaku dalam persidangan yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional umumnya.

"Kita juga bangga dengan sayap baru KEADILAN, Srikandi yang dibarisi wanita muda yang berani tampil ke depan menghidangkan perwakilan dengan perbahasan yang hangat," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azmin turut menyokong usul yang dikemukakan oleh Wanita dan mahukan tindakan susulan berhubung usul tersebut.

Beliau juga meminta supaya keempat-empat kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat menghantar ketua-ketua jabatan mendengar dan mencatit segala usul perwakilan tanpa mengharapkan Menteri Besar dan barisan exco yang merekodkan maklumat itu.

"Kita merayu kepada perwakilan yang hadir ini memastikan KEADILAN sentiasa kuat namun pada masa yang sama, kita juga berharap agar kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat membantu anggota parti.

"Bila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim difitnah, bukan pengarah anak syarikat kerajaan negeri yang tampil membela tetapi anggota KEADILAN yang ke depan membela pemimpin mereka," tegasnya.

Azmin turut memberi cadangan supaya anggota parti melakukan perubahan dengan menggantikan ketua-ketua di peringkat cabang yang tidak aktif.

"Mana-mana ketua cabang yang tidak berfungsi, saya minta anggota parti melakukan perubahan.

"Perkemaskan 'delivery system' negeri masing-masing dan jika ini dapat dibuat dengan cepat dan pantas, rakyat akan hantar kita ke Putrajaya," tambahnya lagi.

Justeru itu, beliau turut meminta supaya tanggungjawab itu tidak hanya digalas kepada pegawai kerajaan negeri sahaja tetapi juga diagihkan kepada anggota KEADILAN untuk melaksanakan sistem tersebut.
Mohd Fairus dakwa PKR tunggu masa 'karam'

Bekas timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin berkata krisis dalaman PKR kini kian meruncing dan parti itu hanya menunggu masa untuk "karam".

"Jika dulu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tohmahan bahawa 'kapal Umno' akan menerima nasib seperti 'Titanic' tapi hakikatnya kini, itulah nasib yang akan dialami PKR tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Bernama selepas Ceramah Perdana Program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, di Kampung Sungai Tengas, dekat Kulim malam tadi.

Hadir sama pada majlis yang disertai hampir 1,000 penduduk tempatan itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin.

Mohammad Fairus berkata Anwar kini berada dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai anggota Melayu yang lari keluar PKR kerana bosan dengan tindak-tanduk dan janji palsu pemimpinnya.

Beliau berkata kini ketua umum PKR itu menaburkan pula janji menggunung untuk memberi kedudukan sebagai timbalan perdana menteri kedua kepada orang Cina setelah PAS ditawarkan untuk jawatan timbalan pertama jika beliau menjadi perdana menteri.

Mohammad Fairus juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kongres PKR di Kota Baharu Jumaat lalu bahawa anggota yang keluar parti, khususnya ADUN dan ahli parlimen, telah menerima imbuhan RM2 juta setiap seorang.

“Inilah dia apa yang disebut sebagai pembunuhan politik pusingan kedua yang dilakukan pemimpin PKR seperti Wan Azizah yang sudah ketandusan modal, dan untuk mendapatkan sokongan rakyat, mereka mengeluarkan pelbagai fitnah yang melulu demikian,” katanya, sambil menambah tindakan itu adalah "Prosedur Operasi Standard" Anwar.

Mohammad Fairus berkata perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku kerana penyertaan beliau dalam Umno adalah kerana perjuangan dan tidak pernah menerima sebarang imbuhan walaupun satu sen. - Bernama
TPM II: Saya tidak tahu, kata Hadi

DENGKIL: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau tidak mengetahui tentang janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk pemimpin DAP sekiranya pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah beliau berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam pakatan itu.

"Saya tak tahu, kita belum bincang. Itu pandangan peribadi dia," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pas yang bernilai RM30 juta di Paya Indah dekat sini hari ini. - Bernama
Ulasan GB

TAHNIAH PKR. Sebenarnya ramai cemas apabila PKR berjaya menganjurkan Kongres dengan licin dan lancar kerana sebelumnya ramai katak lompat yang mengharap keadaan haru-biru berlaku di dalam kongres berkenaan.

Dan yang menonjol sangat ialah berita-berita BERNAMA yang cuba untuk mempalitkan PKR dengan pelbagai tohmahan serta cuba untuk mengeruhkan hubungan komponen Pakatan Rakyat.

Pertama, disiarkan berita si "budak mentah" bernama Fairus yang kononnya membuat kenyataan menyatakan PKR bakal karam. Sedangkan yang dah karam ialah Fairus sendiri sementara BERNAMA bersama BNnya bakal karam tidak lama lagi.

Kedua, dikejarnya Ustaz Abd Hadi untuk mendapatkan respons Presiden PAS itu tentang isu PM II dengan harapan mereka akan berlaku "kekecohan" di antara PAS dan PKR.

Yang malangnya pula, respons Ust Abd Hadi tidak berapa cantik terhadap soalan BERNAMA tersebut. Sepatutnya Hadi jawab, "baguslah begitu, cepat sedikit matlamat kami untuk meruntuhkan BN tercapai dan cepatlah juga PR untuk merampas Putrajaya."

Dan sudah pasti BERNAMA tercengang kerana kegagalannya untuk mengadu-domba.

Ezam, Pelacur Senator Yang Tak Lengkap Tarbiyah

KELAB G REENBOC

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Senator Mohamad Ezam Mohd Noor, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai orang yang “tidak lengkap tarbiyah.”

Ahli Parlimen Gombak ini melabelkan Ezam “tidak habis menjalani tarbiyah” dengan merujuk kepada tempoh menjadi setiausaha politik kepada Anwar, ketika itu memegang jawatan menteri kewangan, cuma dua tahun.

Itu sebabnya beliau tidak mempunyai idealisme yang kuat bagi mempertahankan PKR, kata Azmin.

Ezam baru sebulan dilantik oleh Umno-BN sebagai anggota Dewan Negara.

Beliau menyertai Umno pada 2008, dua tahun selepas meninggalkan PKR.

Azmin berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional Keenam PKR di sini petang ini.

Dalam ucapannya Azmin tidak menyebut nama Ezam secara langsung, yang merupakan bekas ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebaliknya beliau menyentuh isu lompat parti yang ditimbulkan oleh perwakilan dalam sesi perbahasan.

Azmin mendakwa, Anwar ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pernah ditawarkan ganjaran sebagai balasan tidak menekankan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam jawatan kerajaan dan parti.

Ketika itu Anwar juga merupakan timbalan presiden Umno.

“Jangan dengar senator yang melacurkan dirinya, saya tahu sebagai setiausaha sulit dia (Anwar) ketika itu, hampir setiap perkara, (bekas menteri kewangan) Datuk (kini Tun) Daim Zainuddin akan menghubungi saya untuk menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan (Allahyarham) Peguam Negara Datuk Mohtar Abdullah untuk membincangkan strategi Dr Mahathir untuk ketepikan jawatan kerajaan dan parti, tetapi memberikan imbuhan dan pulangan yang cukup besar asalkan tidak sentuh Dr Mahathir dalam jawatan parti dan kerajaan.

“Tetapi insan yang bernama Anwar bin Ibrahim menolak semua sogokan Dr Mahathir untuk mempertahankan rakyat dan prinsip,” kata Azmin dengan berkata, “siapa pelacur senator ini? saya tak sebut.”

Bagaimanapun kedengaran perwakilan menyahut dengan berkata, “Ezam.”

Beliau seterusnya berkata, “baru berkhidmat tidak lebih dua tahun, tetapi mengaku dia adalah anak didik Anwar Ibrahim,” katanya.

“Proses tarbiyah (pun) tak habis... yang paling lama (berkhidmat) ialah Khalid Jaafar, yang berkhidmat selama 13 tahun, Dr Mansor Othman (kini Timbalan Ketua Menteri I), dan sudah tentulah (saya) dari Gombak,” kata Azmin yang juga bekas setiausaha politik Anwar.

Azmin menambah, ini menunjukkan beliau, Khalid dan Mansor telah melalui proses tarbiyah yang sempurna dan lengkap serta tidak kehilangan idelisme perjuangan.

“Tetapi kalau satu tahun, nak berlagak macam... bila kita bertempur, ini yang lari ke luar negara kerana tidak berani berdepan dengan kezaliman Umno dan BN.

“Hari ini dapat senator, tak mengapa. Lihat Senator Dr Syed Husin (Ali), ada kualiti, ada prinsip, ada idealisme, dia tetap bersama dengan mempertahankan idealisme,” katanya.

Azmin berkata, Pakatan Rakyat mahu kuasa yang diberikan oleh rakyat diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tindakan bagi melakukan agenda reformasi termasuk pembaharuan ekonomi.

“Pada 1995, saya masih ingat Anwar melontarkan idea ketika membentangkan belanjawan, tentang pesanan tujuh tahun yang subur dan akan diikuti dengan tujuh tahu yang gersang.

“(Bagaimanapun) Dr Mahathir tidak berani dan tidak bersedia untuk melakukan reformasi ekonomi kerana mempertahankan kronisme dan nepotisme sehingga berlaku krisis ekonomi.

“Dr Mahathir dengan mudah menyalahkan (George) Soros dan IMF (Dana Kewangan Antarabangsa).

“Tidak mahu mengaku bahawa kegagalan kepimpinan, tidak mahu melakukan reformasi ekonomi.

“Akhirnya bila berlaku pertembungan, pejuang (Anwar) kita disumbat dalam penjara, bukan kerana (bekas pemandu Anwar) Azizan Abu Bakar,” katanya.

Dalam ucapannya, Azmin juga berkata, beliau mengharapkan satu dokumen ekonomi Pakatan Rakyat yang jelas dirangka walaupun agenda ekonomi baru telah diutarakan sebelum ini.

Beliau juga mencadangkan agar pegawai-pegawai kerajaan negeri turut menghadiri setiap kali PKR mengadakan kongres tahunan.

“Saya hendak usulkan setiap kali kongres parti bersidang, mesti diwajibkan ketua agensi kerajaan khsusunya pegawai UPEN hadir bersama.

“Walaupun ia melibatkan kongres parti politik, tetapi ia juga menyentuh soal dasar (kerajaan negeri).

“Kita adalah pemimpin akar umbi yang membincangkan, harus ada pegawai-pegawai kerajaan dengar, pulang serta laksanakan keputusan yang diputuskan oleh kongres,” katanya. -TMI

Freedom Flotilla; Kemenangan Kepada Penduduk Gaza

Editor BULETIN

http://buletinonline.net/images/stories/berita26/mavimarmara.jpgLima daripada Sembilan Buah Kapal yang dijadualkan belayar membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sudah berkumpul di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Mereka sedang menunggu sebuah lagi kapal yang membawa sekurang-kurangnya 30 orang ahli-ahli parlimen dari Eropah.
Dengan itu ia akan menjadikan keseluruhannya berjumlah enam buah, kurang tiga sebagaimana rancangan asal.

Demikian sebagaimana laporan yang di siarkan secara ‘Siaran Langsung Terus Menerus (Live Streaming) dari kapal utama Mavi Marmara (Gambar atas).

Sehingga laporan tersebut di siarkan sebanyak tiga buah kapal kargo dan dua buah kapal penumpang telah berkumpul dan akan bergerak bersama memasuki perairan Gaza.

Mereka mereancang untuk sampai di perairan Gaza pada petang Ahad dan InsyAllah mendarat di pelabuhan Gaza pada jam 8 pagi, Isnin, 31 Mei.

Kempen memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dipelopori oleh sebuah sebuah NGO Turki Insani Yardim Vakfi (IHH).

IHH bersama gerakan antarabangsa Free Gaza Movement telah menggerakkan kempen di negara-negara Eropah termasuk, Greece, Ireland, German dan Scotland.

Usaha kedua-dua NGO tersebut membeli dan membaikpulih kapal-kapal yang akan digunakan untuk belayar dapat di layari melalui Free Gaza Photostream.

Kehadiran kumpulan enam buah kapal tersebut yang dikenali sebagai ‘Freedom Flotilla’ bagaimanapun akan mendapat tentangan dari pihak Israel.

Tentera laut Israel telah pun dikerahkan bagi menahan konvoi ‘Freedom Flotilla’ sebaik mereka cuba masuk ke perairan Gaza.

Jika itu berlaku, saat-saat genting tersebut akan tercetus pada petang ini, Ahad 30 Mei, dimana beberapa pihak meramalkan para komando Israel akan menyusup masuk dan menawan kapal-kapal terbabit.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam Presiden IHH, Bulent Yildirim berkata, tidak ada seorang pun tentera Israel yang akan dibenarkan naik ke kapal-kapal mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestine, Ismail Haniyeh berkata, kemenangan tetap akan berpihak kepada penduduk Gaza samada konvoi ‘Freedom Flotilla’ sampai dan selamat mendarat di pelabuhan Gaza, atau ia disekat oleh tentera Israel.

Sekiranya kapal yang membawa 10,000 tan bantuan makanan dan keperluan perubatan tersebut sampai, ia merupakan kemenangan kerana ia dapat memecahkan sekatan laut pihak Israel dan penduduk Gaza seramai 1.5 juta orang akan mendapat bantuan tersebut.

Sebaliknya, sekiranya ia tidak sampai kerana disekat oleh tentera Israel dengan sebarang tindakan ketenteraan, ia juga akan memberikan kemenangan kepada penduduk Gaza kerana seramai 750 orang diatas kapal tersebut akan menjadi saksi kepada kekejaman Israel.

Ismail Haniyeh berkata demikian dalam satu majlis di pelabuhan Gaza, Sabtu, 29 Mei, bersama 400 orang penduduk Gaza, sempena menyambut ketibaan konvoi Freedom Flotilla.

Antara mereka yang menyertai konvoi Freedom Flotilla adalah Kolonel Bersara Ann Wright, seorang bekas Tentera Simpanan dan diplomat Amerika Syarikat serta ahli-ahli parlimen Ireland dan German

Bersama-sama konvoi tersebut juga adalah 11 rakyat Malaysia berada di dalam kapal penumpang Mavi Marmara (Gambar atas).

Mereka adalah Noorazman Mohd Samsuddin dari Haluan Palestin yang menjadi kordinasi utama wakil Malaysia, Dr Mohd Arba’ai Shawal, Dr S Muhamad Haleem S Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamuliddin Elias (Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia), Al Hami Husain Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad (Wakil Media) dan Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care) dan tiga yang lain dari Yayasan Perdana Global.

Melayu Dan Komuniti Felda Mesti Berubah


http://www.buletinonline.net/images/stories/berita26/P1010356.JPGMelayu mesti berani berubah atau kita akan rebah. Kalau budaya tak apa dan biarlah apa nak jadi asalkan 'tak kena kepala kita' menjadi amalan dan prinsip hidup, lambat laun kita akan menjadi pengemis di tanah air sendiri.
Bangsa lain telah menunjukkan keberanian dan kesungguhan untuk melakukan perubahan serta menuntut hak mereka.

Diimbas kembali bagaimana masyarakat India di Kampung Buah Pala berjuang bermatian mempertahankan hak mereka walaupun perintah perobohan telah dikeluarkan oleh mahkamah.

Akhirnya mereka mendapat ganti rugi kediaman bernilai RM250,00 untuk setiap keluarga, sedangkan setinggan Melayu yang diusir dan kediaman mereka dirobohkan hanya mendapat gantirugi RM18,000.

Di manakah maruah kita orang melayu sedangkan para setinggan ini hakikatnya adalah pekerja kontrak dan buruh yang telah mencurahkan keringat membangunkan bandaraya serta ibu kota.

Mereka dijanjikan akan mendapat hak milik tapak kediaman tetapi akhirnya dihalau dalam keadaan hina dengan bayaran pampasan yang cukup memalukan berbandingkan dengan apa yang diperolehi masyarakat India penghuni setinggan Kampung Buah Pala.

Penurunan peratusan sokongan pengundi Cina di Hulu Selangor kepada BN dari kira-kira 38% semasa pilihanraya umum 2008 kepada hanya kira-kira 27% semasa PRK baru-baru ini.

Disusuli dengan kecundangnya BN di dalam PRK Sibu mengambarkan pola pemikiran masyarakat Tionghua dan kecenderungan mereka yang sangat mencemaskan BN.

Kesempatan bertemu dengan masyarakat peneroka Felda di Bandar Baru Cheneh semalam, adalahj sangat berhasrga.

Bersama-sama Saudara Mazlan Aliman, AJK Pas Pusat yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dalam program ceramah umum yang turut dihadiri Abang Wei, Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman kami gunakan untuk merungkai beberapa isu terkini yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung.

Di samping undi pos, Felda dengan kapasiti 100% pengundi melayu Islam adalah talian hayat terakhir UMNO-BN dalam meneruskan legasi penguasaan politik mereka.

Felda yang diasaskan pada 1 Julai 1956 telah berusia 56 tahun ditubuhkan hasil dari semangat DEB untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara ini.

Walaupun peneroka dibelengu dengan pelbagai masalah yang menjerat penghidupan mereka sehingga terpaksa diwarisi oleh generasi kedua Felda seperti isu Group Settlement Act 1960 (GSA), Tabung Tanam Semula, komplot pengurusan Felda menganiayai peneroka serta isu Geran Hak Milik tetapi Felda masih kekal menjadi kubu kuat UMNO-BN.

Dengan kira-kira 60 kawasan parlimen di seluruh negara bergantung dengan undi peneroka Felda yang boleh menjadi faktor penentu kemenangan atau kekalahan, jelas Felda masih merupakan talian hayat yang ampuh bagi UMNO-BN.

Sudah lebih 50 tahun, Felda menggunakan Akta GSA sebagai senjata paling ampuh mencengkam kehidupan dan menyekat kebebasan bersuara para peneroka.

Di bawah GSA, Felda bertindak sebagai agen pengurusan yang berkuasa di bawah Ordinan Pembangunan Tanah 1956 yang menyelenggara kebun peneroka dan diikat dengan perjanjian tertentu. Selama ini peneroka diperdayakan dengan gambaran Felda menguasai segala-galanya menerusi akta ini.

Mereka menjadi pak turut yang akan patuh segala arahan Felda. Bukan sahaja akur menyelenggara kebun tetapi taat membayar hutang piutang berapa pun jumlahnya. Siapa yang cuba melawan; digertak, diancam dan disingkirkan daripada Felda.

Natijahnya sebagai tuan tanah, para peneroka dengan segala perit jerih mengusahakan tanah 10 ekar untuk dimajukan, kesudahannya mereka menjadi hamba di tanah sendiri, hasilnya diniagakan para kroni yang semuanya sendawa kenyang atas keringat dan air mata bangsa sendiri.

Masakan tidak! kerana Felda menjanjikan nilai projek bernilai berbilion ringgit setiap tahun...

Hukum sertai Facebook

Oleh Zaharuddin Abdul Rahman


SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).

2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?

Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah?

Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had

KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:

a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.

Gempar Adun Umno bakal hijrah kepada PAS di Kedah, maklumat belum dapat disahkan!

Oleh Tok Sago


BETULKAH ada YB Umno nak sertai PAS di Kedah? Saya respons dengan pendedahan AJK Umno Wangsa Maju yang juga warga sekampung saya, Sdra. Abdul Rahman Hashim. Beliau dedahkan hal ini berdasarkan SMS yang diterimanya dan dipaparkan dalam blognya Locengwangsa.

Saya cuba menghubungi Setiausaha Akhbar MB, Sdra Helmi tetapi gagal untuk mendapatkan penjelasan tentang desas-desus itu

ADUN dari UMNO itu dikatakan akan mengumumkan penyertaannya ke dalam PAS dan kemungkinan juga beliau akan meletakkan jawatannya. Pihak UMNO kini, sedang berusaha untuk menghalang ADUN berkenaan supaya tidak berbuat demikian, dan bersedia membantu beliau menyelesaikan semua masalah yang dihadapinya.

Jika benar, kemelut terbaru ini memberi tamparan kepada UMNO yang sedang berusaha untuk melemahkan kerajaan PAS di bawah kepimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan Abd. Razak.

Desas-desus sebelum ini yang menyebut terdapatnya beberapa orang ADUN dari PKR dan DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat menjadi ADUN Bebas dan mengaitkannya kemungkinan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Kedah telah tidak menjadi, sebaliknya seorang ADUN daripada UMNO pula yang telah memberi isyarat 'sayonara' kepada partinya untuk menyertai PAS.

10,000 Penyokong Hadiri Perhimpunan GAS?

SERI KEMBANGAN: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan mendakwa kira-kira 10,000 penyokong menghadiri Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa (MIECC) di sini hari ini walaupun hakikatnya dewan di mana perhimpunan itu berlangsung hanya mampu memuatkan 5,000 orang sahaja.

Beliau menyifatkan perhimpunan hari ini sebagai berjaya walaupun hanya kira-kria 10,000 penyokong yang hadir seperti yang didakwa, namun jumlah sebenarnya melebihi sasaran awal 15,000 orang iaitu 20,000 orang.

"Saya yakin dengan jumlah ini (20,000 orang) kerana sebenarnya lebih ramai yang tidak hadir ekoran disabotaj untuk datang ke sini (perhimpunan).

"Yang hadir semuanya dengan semangat berkobar-kobar dan itu menunjukkan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan," ujarnya.

5:00 petang: Mugilan berkata satu kempen mengumpul 500,000 tanda tangan akan dilancarkan untuk mendesak Samy Vellu meletakkan jawatan.

5:00 petang: Mugilan mendakwa pihak tertentu membelanjakan RM5 juta untuk menahan bas-bas yang membawa penyokong GAS dari Pulau Pinang, Pahang, Kedah dan Johor.

Dia juga mendakwa seorang penganjur GAS telah "menghilangkan diri".

Mugilan berkata, sistem pemilihan dual MIC cenderung untuk disalahgunakan. Mengikut sistem itu, sistem pemilihan parti Presiden diadakan tiga bulan lebih awal sebelum pemilihan pemegang jawatan yang lain.

Dia mendakwa ini telah memberikan platform kepada Samy untuk mempengaruhi para perwakilan mengundi ahli-ahli pasukannya.

4.48 petang: Mugilan bersumpah dengan Thirukural bahawa GAS tidak didalangi oleh Umno.

Thirukural ialah sebuah buku lama yang menyentuh tentang kod perlakuan dan ditulis oleh pendeta Tamil bernama Thiruvalluvar.

4.40 petang: Kumaraa Amaan dalam ucapannya mendakwa Samy telah "meretakkan" komuniti India.

Dia turut mendakwa Samy berkata bahawa AIMST ialah aset peribadinya.

4.25 petang: K.P. Samy berucap dan menggesa pucuk pimpinan negara supaya berhenti melindungi Samy Vellu.

Dia juga mendakwa Laporan Bendahari parti menyatakan MIC hanya mempunyai 410,000 ahli dan bukannya 600,000 seperti didakwa oleh Samy Vellu.

4.15 petang: Usahawan OMS Thiagarajan naik ke pentas.

4.05 petang: Pembahas motivasi, Rohan Rajan dalam ucapannya berkata, komuniti India tidak akan maju melainkan Samy Vellu berundur serta-merta.

Dia mendakwa Samy ialah batu penghalang terbesar kepada komuniti tersebut.

3.40 petang: Barath Maniam berucap. Dia mendakwa Samy Vellu telah mendapatkan bantuannya pada 1992 apabila polis dan pegawai Badan Pencegah Rasuah menyerbu pejabatnya untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan 10 juta saham Telekom yang diperuntukkan kepada MIC.

Dia mendakwa MIC hanya menerima satu juta saham. Dia turut menunjukkan sesalinan dokumen yang ditandatangani bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengesahkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dibentuk untuk komuniti India. Dia berkata bahawa dia memiliki dokumen asal.

3.20 petang: Bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk V.L. Kanthan naik ke atas pentas. Kanthan yang juga adik kepada bekas Presiden parti, V. Manickavasagam menafikan abangnya, Manickavasagam memberikan tekanan kepada Tun V.T. Sambanthan untuk meletakkan jawatan.

3:00 petang: Acara bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan. Bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindarajoo membuat ucapan awal. Antara lain, dia mengutuk Samy kerana menipu tentang tarikh lahirnya.

Dia menunjukkan satu salinan kad pengenalan Samy Vellu yang menyatakan dia dilahirkan pada 20 Jun 1937 dan bukannya 8 Mac seperti yang didakwa Presiden parti itu.

Perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang ditunda ke pukul 3 petang.

Ia berikutan pertukaran lokasi sebelum ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah menyukarkan penyokong untuk menghadiri ke perhimpunan GAS.

"Saya Turut Diugut" - Mugilan

SERI KEMBANGAN: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan mendakwa beliau turut diugut berhubung tindakannya untuk mengadakan Perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa (MIECC) di sini hari ini.

Beliau mendakwa, ugutan itu dilakukan secara keras seperti bunuh atau rumah disimbah cat.

"Saya juga diugut secara 'lembut' oleh pihak tertentu terhadap implikasinya jika perhimpunan ini diteruskan.

"Apa pun, saya nekad dengan perjuangan ini dan tidak akan membuat laporan polis mengenai ugutan ke atas saya," katanya kepada pemberita.

Mugilan memberitahu, ugutan sedemikian sebagai tindakan lumrah daripada pihak yang tidak menyenanginya apabila dia memperjuangkan kebenaran dalam politik.

"Bagaimanapun, saya akan membuat laporan polis mengenai 'kehilangan' salah seorang pemimpin parti itu, namun selepas mengkajinya punca sebenar," ujarnya

Sementara itu, beliau menyifatkan perhimpunan hari ini sebagai berjaya walaupun hanya kira-kria 10,000 penyokong yang hadir, namun jumlah sebenarnya melebihi sasaran awal 15,000 orang iaitu 20,000 orang.

"Saya yakin dengan jumlah ini (20,000 orang) kerana sebenarnya lebih ramai yang tidak hadir ekoran disabotaj untuk datang ke sini (perhimpunan)," dakwanya

Mohd Fairus dakwa PKR tunggu masa 'karam'

BERNAMA



Bekas timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin berkata krisis dalaman PKR kini kian meruncing dan parti itu hanya menunggu masa untuk "karam".

"Jika dulu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tohmahan bahawa 'kapal Umno' akan menerima nasib seperti 'Titanic' tapi hakikatnya kini, itulah nasib yang akan dialami PKR tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Bernama selepas Ceramah Perdana Program Juara Rakyat anjuran Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, di Kampung Sungai Tengas, dekat Kulim malam tadi.

Hadir sama pada majlis yang disertai hampir 1,000 penduduk tempatan itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin.

Mohammad Fairus berkata Anwar kini berada dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai anggota Melayu yang lari keluar PKR kerana bosan dengan tindak-tanduk dan janji palsu pemimpinnya.

Beliau berkata kini ketua umum PKR itu menaburkan pula janji menggunung untuk memberi kedudukan sebagai timbalan perdana menteri kedua kepada orang Cina setelah PAS ditawarkan untuk jawatan timbalan pertama jika beliau menjadi perdana menteri.

Mohammad Fairus juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kongres PKR di Kota Baharu Jumaat lalu bahawa anggota yang keluar parti, khususnya ADUN dan ahli parlimen, telah menerima imbuhan RM2 juta setiap seorang.

“Inilah dia apa yang disebut sebagai pembunuhan politik pusingan kedua yang dilakukan pemimpin PKR seperti Wan Azizah yang sudah ketandusan modal, dan untuk mendapatkan sokongan rakyat, mereka mengeluarkan pelbagai fitnah yang melulu demikian,” katanya, sambil menambah tindakan itu adalah "Prosedur Operasi Standard" Anwar.

Mohammad Fairus berkata perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku kerana penyertaan beliau dalam Umno adalah kerana perjuangan dan tidak


Jangan sekadar bergantung pada sentimen anti-Umno

Salhan K Ahmad



PKR tidak boleh sekadar bergantung kepada sentimen anti-Umno semata-mata untuk mengekalkan kemenangan yang diraih Pakatan Rakyat pada Mac 2008, apatah lagi untuk menguasai Putrajaya, kata naib presidennya, Lee Boon Chye i kongres PKR hari ini.

Dalam ucapan penggulungannya, Lee berkata Pakatan sebaliknya perlu mengemukakan dasar-dasar yang lebih 'superior' daripada BN bagi memenangi hati rakyat.

"Untuk terus maju, menawan Putrajaya, saya rasa kita kena ada aspek baru.. Dasar adil bagi membela rakyat dan memacu ekonomi," katanya.

Tambahnya, pemimpin parti yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri juga perlu menunjukkan urus tadbir yang baik.

"Saya rayu, kita kena pegang kepada urus tadbir yang baik. Ini faktor yang memisahkan kita dengan Umno dan BN. Kalau hilang faktor ini, kita akan hilang sokongan," katanya lagi.

Lee yang juga ahli parlimen Gopeng berkata, golongan yang bekerja keras dalam parti juga perlu diberi penghargaan walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

Bagaimanapun, parti itu juga perlu menyisihkan golongan pemimpin parti yang sekadar bermuka-muka di hadapan pemimpin tertinggi.

"Ada pimpinan negeri ada budaya tunjuk muka, 'face presentation'. Bila pimpinan tertinggi, ketua umum datang, dia muncul. Apabila ketua umum tak ada, dia tidur.

"Inilah budaya yang kita boleh saksikan sendiri, mereka yang letih tidak sanggup terus berjuang, biar orang yang lebih bertenaga ambil alih.

"Mereka yang muda harus cabar mereka supaya ada lapisan yang kuat," katanya lagi.

Lagi 1 tahun 2020, Malaysia bankrap

Datuk Mahfuz Omar


Kenyataan Idris Jala Malaysia akan Bankrap setahun sebelum 2020 sangat memeranjatkan seluruh rakyat.Malaysia akan bankrap sebelum impian menggunung Malaysia sebagai negara maju melaluli wawasan 2020.

Ini bermakna wawasan 2020 selama ini dislogankan hanya bersifat membentuk pemikiran rakyat untuk menaruh harapan yang tak kunjung datang.Tahun 2020 datang,tetapi kedatangannya dalam keadaan Malaysia dah bankrap.

Sebelum ini dari zaman Tun Dr Mahathir rakyat dibuai kononnya kemajuan akan bakal mendatang rakyat perlu berkorban hari ini untuk kesenangan hari depan.Pelbagai tuduhan dilemparkan pada pembangkang yang mengkritik dasar kerajaan dengan tuduhan anti pembanggunan dan kemajuan.

Rakyat diseret dengan kepentingan politik nepotisme dan kronisma untuk mengenepikan pembangkang khususnya PAS.

Pemimpin umno/bn dan kroni mereka membina kekayaan dari projek- projek mega megah hinggalah kepada komisen kapal selam yang kononnya untuk merealisasikan wawasan 2020.

Mereka meniti jalan 2020 dengan penyelewengan,rasuah pembaziran dan keborosan serta penyalahgunaan kuasa.

Mereka memfaraidkan khazanah kekayaan negara seperti harta mak bapak mereka.Yang menentang mereka diISA.Rakyat ditakut dan dikurafatkan kononnya kalau lain dari Umno/Bn memerintah pembangunan tiada negara huru-hara.

Kini harapan akan diganti dengan kebankrapan impian akan bertukar menjadi kemuflisan.Sekali lagi rakyat diminta demi 2020 hapuskan subsidi kalau tidak Malaysia bankrap.

Inilah dia pemimpin bijaksana Umno/Bn yang membina kekayaan dengan airmata rakyat kini cuba merampas kehidupan rakyat


Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

http://gemasuara.blogspot.com/

Bankrap: Kenapa subsidi jadi alasan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa meminta kerajaan mengkaji secara terperinci mengenai dakwaan risiko muflis yang akan dihadapi Malaysia menjelang 2019 jika kerajaan tidak mengurangkan pemberian subsidi.

Beliau berkata, selain daripada pemberian subsidi kepada rakyat seperti yang didakwa, banyak lagi faktor yang membolehkan negara menjadi muflis terutamanya melibatkan perbelanjaan kerajaan yang tidak dikawal dengan baik.

"Satu kajian yang mendalam harus dibuat. Kenapa subsidi yang diberikan alasan kebarangkalian negara akan bankrap sedangkan ada banyak lagi faktor penyumbang lain yang boleh mengakibatkan negara bankrap.

"Antaranya hal yang berkaitan dengan perbelanjaan yang berlebihan yang semacam tidak dikawal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak PAS Wilayah Persekutuan di Dewan Seminar Kohilal, dekat sini, hari ini.

Menyifatkan cadangan penarikan subsidi itu sebagai tidak munasabah, beliau mempersoal sikap kerajaan yang seolah-olah mengenepikan keperluan asas rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Isunya kenapa subsidi yang ada kaitan dengan keperluan kehidupan rakyat biasa sahaja yang dijadikan alasan negara akan jadi bankrap?

“Ini bagi saya satu perkara yang sangat tidak munasabah walaupun kita bukan mahu menjadikan negara ini negara subsidi tapi bagi saya alasan itu sangat tidak munasabah," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, bahawa Malaysia akan muflis pada tahun 2019 jika kerajaan terus memberikan subsidi sebagaimana yang ada sekarang.

Ahli Parlimen Bachok itu juga memberitahu, beliau akan membawa satu usul di Parlimen mengenai pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang akan dijual kepada syarikat swasta untuk dibangunkan sebagai hab komersial.

"Kita akan bawa berkenaan lapangan terbang Sungai Besi yang kan dijual. Kita akan minta justifikasi di parlimen selain daripada isu yang melibatkan tanah KTMB di Singapura dan telaga minyak di Limbang," katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa pangkalan TUDM Sungai Besi akan akan diubah suai dan dibangunkan sebagai hab komersial termasuk dilengkapi dengan pusat pendaratan helikopter.

Buku merah MBE tidak sesuai

IPOH – Buku merah Model Baru Ekonomi (MBE) yang disediakan oleh pakar-pakar dari Majlis Penasihat Ekonomi Negara (Mapen) sebelum ini tidak boleh digunapakai kerana ia mengetepikan agenda Melayu, kata Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, buku merah itu mengkhianati orang Melayu kerana hanya dua kali menyebut perkataan bumiputera di dalamnya.

‘‘Ia jelas menunjukkan tiada ayat atau kenyataan yang menunjukkan agenda Melayu diambil kira, sedangkan hak-hak istimewa orang Melayu telah dijamin dalam Perlembagaan dan oleh itu, ia menyalahi Perlembagaan.

‘‘Sehubungan itu, Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM semalam menolak bulat-bulat buku merah itu dan kita menggantikannya dengan 31 resolusi yang kita sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan MBE masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, cadangan MBE bukan bermaksud kerajaan mengetepikan agenda Melayu dan bumiputera tetapi ia merupakan cadangan daripada pakar-pakar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara supaya mampu bersaing di peringkat dunia.

Mohd. Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera berkata, panel-panel Melayu dalam Mapen yang menggubal buku merah itu juga mengkhianati orang Melayu.

Katanya, mereka sepatutnya mengemukakan fakta-fakta mengenai kontrak sosial dan sejarah pembentukan negara kepada pakar-pakar luar negara yang terlibat menggubal buku tersebut.

‘‘Saya tidak salahkan pakar-pakar dari luar kerana mereka tidak melihat kepada sejarah terbentuknya Malaysia tetapi hanya dari sudut global,” katanya sambil menyatakan pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai MBE.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua orang Melayu supaya membaca 31 resolusi tersebut yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia hari ini dan esok.

Katanya, resolusi itu perlu difahami oleh orang Melayu kerana ia menyatakan hala tuju sebenar negara ini dan usaha untuk memajukan ekonomi dan sosial orang Melayu dalam pelbagai bidang.

‘‘MPM juga mengucapkan terima kasih atas peranan Utusan Malaysia yang memberi liputan menyeluruh dalam isu ini dan ini sesuai dengan peranan akhbar itu sebagai lidah rasmi orang Melayu.

‘‘Pada pandangan saya, tiada akhbar lain di Malaysia yang memperjuangkan hak Melayu melainkan Utusan Malaysia,” katanya.

Lebih 200 keluarga mohon mengambil bayi dibuang

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Dalam pada kes pembuangan bayi semakin meningkat dan merisaukan, masih terdapat anggota masyarakat yang prihatin dan mahu membela bayi-bayi terbuang tersebut.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur (Orphan Care), Datuk Adnan Mohd. Tahir berkata, perkara itu dibuktikan dengan lebih 200 permohonan diterima untuk mengambil bayi-bayi dibuang yang ditempatkan di pusat itu sebagai anak angkat.

Katanya, sambutan menggalakkan itu diperoleh pihaknya sejak berita berhubung pelindung bayi yang diwujudkan di pusat berkenaan dilaporkan dalam akhbar.

"Banyak keluarga menelefon saya untuk mendapat butir-butir terperinci mengenai proses permohonan mendapatkan anak angkat.

"Kini, terdapat lebih 200 keluarga di dalam senarai menunggu Orphan Care untuk mengambil anak angkat," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Orphan Care ditubuhkan pada April 2009 bertujuan memberi bantuan kepada gadis hamil luar nikah bagi memastikan ibu dan bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Pertubuhan itu berjaya memberi penjagaan baik kepada gadis yang mengandung dan menempatkan tujuh bayi yang tidak diingini kepada keluarga lain sepanjang tahun lalu.

Kini, Orphan Care mewujudkan ruang khas menempatkan bayi bagi membolehkan ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka, meninggalkannya dengan selamat.

Ruang tersebut yang dikenali 'pelindung bayi' adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan ia ditempatkan di pejabat pertubuhan itu di No. 6 Lorong SS1/24A, Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Adnan berkata, proses permohonan pengambilan anak angkat tersebut akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari.

"Pemohon perlu memohon melalui laman web Orphan Care iaitu www.orphancare.org.my.

"Selepas itu, kita memerlukan sedikit masa untuk mengadakan temu janji dengan pemohon dan memeriksa kesihatan mereka bagi memastikan keluarga tertentu mampu membesarkan bayi itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Orphan Care, Situ Azura Nordin Torji menasihati gadis Muslim yang menghadapi masalah seumpama itu agar menelefon atau berjumpa dengan petugas pertubuhan itu untuk mendapat bantuan sewajarnya.

"Tujuan kita adalah membantu ibu mengandung dan bayi itu bagi memastikan mereka berkeadaan sihat dan selamat," tegasnya.

Ahad, 30 Mei 2010

Anwar: PKR masuki gelombang baru perjuangan



Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam dengan Anwar Ibrahim selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan. - Gambar Jack Ooi

KOTA BARU — Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi punca kepada kemunculan Parti Keadilan Rakyat 12 tahun lalu berkata, parti itu kini memasuki gelombang baru perjuangan selepas keluarnya sejumlah wakil rakyat sejak awal 2009.

Penasihat PKR itu berkata, proses pembersihan yang dialami parti itu membolehkannya melangkah ke arah bab baru dalam meneruskan perjuangan dan dasarnya.

“Kalau orang kata sudahkah, sudah habiskah, saya berkata sudah habis bab ini,” katanya.

Bagaimanapun kenyataan itu disusuli dengan dakwaan beliau bahawa “tetapi belum tentu sudah habis sebab sekarang RM2 juta, ia boleh naik RM5 juta dan RM50 juta, dia ada duit.”

Anwar berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keenam PKR di sini hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, pelbagai pihak telah berulang kali mengatakan bahawa riwayat beliau dan PKR sudah berakhir sejak 12 tahun lalu.

“Kalau ikut dia bahawa tamat riwayat Anwar, sudah habis 12 tahun yang lalu. Kalau kata tamat riwayat Parti Keadilan, sudah tamat sudah.

“Padsa tahun 2008, pemimpin Umno mengatakan bahawa kalau pun menang, paling maksimum satu kerusi sahaja di Permatang Pauh.

“Ya, itu sebelum pilihan raya tahun 2008,” kata beliau.

PKR dahulu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Ia berhadapan dengan analisis dan dakwaan pelbagai pihak bahawa tindakan seramai 10 wakil rakyat PKR keluar parti sejak awal 2009 akan membawa kepada berakhirnya perjuangan komponen Pakatan Rakyat itu.

Selain wakil rakyat PKR juga berhadapan dengan keluarnya sejumlah kecil pemimpin bahagian dan cawangan serta ahli-ahli parti.

Lagu khas sempena ‘Judi Bola Sepak’

Oleh Masdar Wahid

Isunya bukan subsidi tetapi kemampuan kerajaan - Mahfuz

TAWAU : Kenyataan Senator, Idris Jala yang menyatakan bahawa Malaysia akan bankrap menjelang 2019 jika kerajaan tidak menghapuskan subsidi diselar oleh Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, penarikan subsidi bukanlah jalan terbaik kepada krisis ekonomi di negara ini tetapi persoalannya ialah bagaimana kemampuan kerajaan menguruskan wang rakyat.

“Isunya bukanlah pengurangan subsidi tetapi persoalan pokok yang harus diketahui oleh rakyat ialah kemampuan Umno-BN untuk mencari dana untuk membayar hutang negara.

Sebab itu tuan-tuan, kerajaan Umno-BN semakin terdesak sehingga sanggup meluluskan judi bola sepak semata-mata untuk mendapatkan wang,” katanya dalam satu ceramah umum di Markaz Tarbiah PAS, Jalan Kuhara, Tawau Sabah Jumaat lalu.

Turut serta di majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Muhammad Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah, Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisamuddin Sulaiman, Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Tze Phin, serta pimpinan Pakatan Rakyat dari daerah Tawau yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Darmansyah Lamasa.

Sehubungan itu, katanya, Umno-BN kini muflis idea dalam mencari penyelesaian berhubung pengurusan ekonomi negara.

“Kalau BN tidak sanggup dan tidak mampu menguruskan ekonomi negara kita, serahkan pula kepada Pakatan Rakyat kerana kami ada cara tersendiri sepertimana Kerajaan Kelantan dan negeri lain yang kini di perintah oleh Pakatan Rakyat,” dihadapan 2,000 orang yang hadir.

Menurut Mahfuz, PAS semasa mula-mula menawan Kelantan pada tahun 1990 yang dipimpin oleh seorang ulama terkenal, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, BN dengan sombongnya berkata, kerajaan PAS hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja kerana kononnya PAS yang dipimpin ulama tidak pandai menguruskan ekonomi dan negeri Kelantan akan bankrap.

Antara langkah kerajaan PAS sebaik memimpin negeri itu ialah menarik semua wang kerajaan negeri dari bank yang mengamalkan riba, menghapuskan pelacuran, menghadkan penjualan arak secara tertutup hanya kepada bukan Islam dan menghapuskan judi.

“Selepas tiga bulan, PAS masih memerintah, Umno-BN meramalkan pula enam bulan, lepas itu tukar lagi kepada setahun dan sehingga kini kerajaan Kelantan sudah memerintah 20 tahun.

Kerajaan Kelantan bukan sahaja tidak bankrap tetapi turut berjaya membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan yang sebahagian besar hutang itu adalah peninggalan Umno semasa memerintah di negeri Kelantan,” katanya yang menerima tepukan gemuruh.

Mahfuz turut memberitahu, Bajet 2008 yang lalu, sekurang-kurangnya RM28 Bilion wang rakyat hangus, tiris dan bocor akibat kegagalan BN.

Menurutnya, perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Husni Hanadzlah dan Jabatan Audit Negara.

Mahfuz yang pertama kali bertandang ke Daerah Tawau sempat mendendangkan lagu ringkas berhubung tindakan kerajaan meluluskan Judi Bola Sepak.

“Kawan saya ada memberitahu, kalau dulu kita menyanyi, marilah mari… pergi mengundi…tunaikanlah kewajipan pada negara.

Kini kawan saya kata, lagu itu perlu ditukar selepas kerajaan meluluskan Judi Bola Sepak ini.

Marilah mari… pergi berjudi…tunaikanlah kewajipan pada negara.

Bagu Umno-BN rakyat miskin merempat tidak mengapa demi negara tetapi pada masa yang sama pemimpin BN kaya raya,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz mengajak rakyat di negara ini terus menyokong gagasan Pakatan Rakyat yang terbukti konsisten dan komited dalam menguruskan wang rakyat seperti yang dibuktikan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

Anwar Tidak Gentar, Cabar Wakil Rakyat Melompat Nafi Terima Sogokan

TV SELANGOR

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bimbang jika pihak tertentu menuduhnya berbohong mengenai pendedahan tawaran jutaan ringgit kepada Ahli Parlimen dan ADUN PKR untuk belot.

Sambil menyifatkan mereka sebagai khianat kepada amanah rakyat, beliau berkata rakyat akan lebih bijak menilai dan mengetahui hal sebenar apabila pendedahan dibuat.

Anwar yakin ada hikmah di sebalik insiden 'lompat katak' kerana rakyat dapat melihat sendiri kerakusan yang Umno sanggup berbuat apa sahaja termasuk rasuah demi kuasa.

"Tapi ada baiknya, pengajaran maknanya bukti yang nyata. Umno ini caranya rasuah orang, ugut. Tak boleh ugut, beli. Ini dia kekuatan dia. Zahir kekuatan dia nampak hebat tapi dia kosong. Percayalah saudara. Saya lama dalam Umno ni. Saya ada pengalaman. Orang Umno ni, katalah kalau wang dia dah kuran, kuasa tak ada, ranap. Termasuk Umno Kelantan. Dia tak ada kekuatan, semangat juang tidak ada," kata Anwar.

Ketua Pembangkang berkata demikian depan hampir 10 ribu hadirin di ceramah perdana, di Padang Perdana Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di Kelantan.

Anwar hadir sempena Kongres nasional PKR ke 6 yang berlangsung di Kota Bharu dari 28 hingga 30 Mei

"Sekarang saya ada maklumat baru. Apa dia maklumat? Saya tau ni katak-katak yang melompat ni, dapat sekurang-kurangnya 2 juta ringgit. dan kontrak. Saya bagitau malam ni, saya ada keterangan yang cukup untuk mengesahkan orang yang lompat knianat ini terima dari ejen Umno 2 juta ringgit," kata Anwar.

Anwar setakat ini belum membuat pendedahan itu kerana menunggu masa yang sesuai, selain ternanti-nanti sebarang penafian Ahli parlimen yang melompat berkaitan tawaran rasuah itu.

Dalam hal ini, Beliau sempat berseloroh dengan para hadirin

"Pertama saya nak orang-orang Umno dan Najib tuduh saya bohong. Nak bagitau Anwar ni berlawak. Dan saya nak dengar orang-orang yang melompat ni nafi. Kemudian saya bagi macam drama hindustan tiga babak. Biar dia terkejut sedikit. Jangan bimbang saya kata ada, ada. Di mana? saya terlupa di mana tapi ada. Kerana puak penyamun ni akan curi habis bukti jadi tak ada," tegas Anwar.

Kos Belajar Memandu Mungkin Naik - JPJ

BERNAMA

TAPAH: Kos untuk belajar memandu mungkin akan dinaikkan berikutan pengenalan kurikulum pembelajaran yang baru yang kini berada di peringkat akhir untuk mendapat kelulusan kerajaan dan mungkin dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata kenaikan kos itu tidak dapat dielakkan dalam usaha JPJ mewujudkan kurikulum pembelajaran memandu yang lebih berkualiti dan menyeluruh kepada bakal pemandu di negara ini.

"Saya jangka akan berlaku kenaikan (kos) sebab kita mahu menuju kepada kualiti latihan yang lebih baik. Kalau kita tidak mahu pemandu yang tidak berkualiti, yang tidak mempunyai pemanduan berhemah, cermat dan bersopan santun, kita kenalah bayar lebih sedikit (untuk latihan memandu)," katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Satu Komuniti Satu JPJ' di sini hari ini.

Seramai 585 masyarakat Orang Asli turut menerima lesen memandu B2 pada majlis ini.Solah menjangkakan kenaikan kos berkenaan akan menjadi perdebatan hangat di kalangan masyarakat, namun beliau menegaskan bahawa negara masih menenakan bayaran paling rendah bagi mendapatkan lesen memandu.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa JPJ akan memperkenalkan kurikulum baru ke arah menyediakan satu sistem latihan memandu yang dapat melahirkan pemandu yang kompeten, mematuhi undang-undang dan berhemah.

Solah berkata menerusi kurikulum baru, jumlah waktu belajar memandu akan turut mengalami perubahan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah waktu baru yang akan ditetapkan.

"Kita juga akan mengajar mengikut jenis kenderaan yang mereka (pelajar mamandu) mahukan. Kalau mereka mahu kenderaan jenis manual, kita akan ajar cara mengendalikan kenderaan manual, kalau mahu kenderaan automatik, kita akan ajar memandu kenderaan yang berautomatik," jelasnya.

Katanya para pemegang lesen memandu P (percubaan) juga perlu mengambil ujian khas untuk memperolehi Lesen Memandu Kompeten (CDL) selepas ini dan bukan memperolehinya secara automatik seperti sekarang.

"Kita juga akan memperbaiki lagi cara untuk mendapatkan lesen Public Service Vehicle (PSV) dan Good Driver's License (GDL). Ini antara beberapa perubahan yang kita hendak laksanakan. Kita kini dalam peringkat akhir untuk mendapat persetujuan pihak Kementerian Pengangkutan," katanya.