HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2010

Samy Vellu Pecat Murugesan, Lantik Ketua MIC Negeri Sembilan Datuk T Rajagopalu Sebagai Setiausaha Agung MIC Baru

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu hari ini dengan serta-merta memecat Setiausaha Agung MIC, S Murugesan dan melantik Ketua MIC Negeri Sembilan Datuk T Rajagopalu sebagai Setiausaha Agung parti yang baru.

Dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, Samy Vellu berkata ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk V. Mogan, dilantik sebagai Ketua MIC Negeri Sembilan, menggantikan Rajagopalu dan timbalannya diambil alih oleh A. Ganesan.

Murugessan, yang dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Jumaat lepas mempersoalkan secara terbuka tindakan Samy Vellu memecat empat anggota CWC yang mengkritik tempoh peralihan kuasa oleh presiden itu.

Menurut perlembagaan parti, selain ketua negeri, presiden mempunyai kuasa untuk melantik setiausaha agung, bendahari agung, ketua penerangan dan enam anggota CWC.

Sementara itu, Murugessan dalam SMS kepada Bernama berkata presiden mempunyai budi bicara untuk melantik atau memecat setiausaha agung parti.

"Saya bangkit terhadap perkara yang saya percayai dan bersedia menghadapi akibatnya," kata peguam itu.

Beliau mengucapkan tahniah dan maju jaya kepada Rajagopalu atas pelantikannya sebagai setiausaha agung parti itu.

Dalam pada itu, Rajagopalu memberitahu Bernama bahawa beliau akan berkhidmat dengan presiden dan parti secara ikhlas serta bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Sambil mengucapkan terima kasih kepada presiden atas pelantikan itu, Rajagopalu berkata : "Saya akan mengambil arahannya (Samy Vellu))."

Rajagopalu, seorang anggota CWC, berusia 56 tahun, merupakan seorang peguam dan menyertai MIC sejak tahun 1978.

Tiada ulasan: