HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mei 2010

Deejay, GRO kena tahan dera anak

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Polis teliti laporan bedah siasat bayi 3 bulan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang deejay kelab malam dan seorang wanita pelayan pelanggan (GRO) di sini malam kelmarin, bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi mereka yang berusia tiga bulan dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata pasangan berusia 25 dan 32 tahun itu ditahan jam 9.30 malam di Dang Wangi, dipercayai selepas selesai menguruskan pengebumian anak tunggal mereka itu dan direman tujuh hari bermula semalam.

“Kita percaya mereka mempunyai maklumat diperlukan berhubung kematian bayi itu. Pada masa sama, status perkahwinan mereka juga sedang disiasat dengan bantuan jabatan berkaitan. Buat masa ini, hanya ibu dan ayah mangsa ditahan, tetapi saya tidak menolak kemungkinan pengasuh bayi itu akan turut ditahan.

“Ia bagi membolehkan polis mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kes ini,” katanya selepas majlis perasmian Minggu Perpaduan 1 Malaysia 2010 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Dalam oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di sini semalam.

Bayi berkenaan, Mohd Hamzah Hafiz Abdullah ditemui dalam keadaan tidak bernafas oleh pengasuh di rumahnya di Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, jam 10.45 pagi Rabu lalu sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi disahkan meninggal dunia jam 2.45 petang keesokannya.

Muhammad Sabtu berkata, siasatan awal mendapati ada unsur jenayah di sebalik kematian bayi berkenaan, tetapi masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. “Siasatan rapi sedang dijalankan, termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Kita juga sedang meneliti laporan bedah siasat bayi itu, termasuk jenis kecederaan dalaman dialami yang biasanya cuma terdapat pada mangsa dera. Ini dijangka boleh membantu siasatan kita,” katanya.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai, terutama jiran mangsa yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu melengkapkan siasatan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: