HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mei 2010

Ulama muda perlu atur program remaja

Mohd Sabri Said


BUKIT MERTAJAM: Golongan ulama muda perlu lebih berani ke hadapan merancang dan mengatur program remaja bagi menyelamatkan mereka daripada gejala sosial yang semakin meruncing, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali.

"Kasihanilah golongan ini yang asyik leka dengan hiburan dan kesenangan hasil ketenteraman negara tercinta. Ustaz yang ramai dalam PAS terutamanya yang muda kena buat perubahan tanggalkan sekejap kupiah putih untuk bersama remaja yang senantiasa dahagakan ilmu yang boleh menarik mereka,” ujarnya ketika merasmikan Seminar Rakyat Prihatin di sini, hari ini.

Katanya, mereka boleh meniru langkah yang diusahakan oleh pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin, Hassan Al-Banna yang sanggup menjejak kaki ke pusat hiburan semata-mata menyampaikan dakwah dan kebenaran Islam.

Pendakwah tegasnya, bukan berdakwah dalam masjid menceritakan kebaikan Islam dengan meninggalkan lokasi golongan sasaran berlepak atau berkumpul bersama rakan taulan mereka.

"Apa salahnya kita ubah pendekatan dengan pakai topi bukan kopiah ketika mengatur program bersama remaja nescaya mereka akan mendekati sekaligus mahu jadikan pemimpin muda dalam PAS sebagai ikon mereka," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Melalui pendekatan ke lokasi remaja berlepak katanya, memberi kesan yang mendalam kepada diri mereka sebab lazimnya mereka dicaci bukan disentuh jiwa sebagai daya tarikan baru menyelami hati budi golongan berkenaan.

Menyentuh mengenai masalah remaja bukan Islam, beliau berkata PAS perlu ambil tanggungjawab kerana PAS sebahagian daripada masyarakat Malaysia.

Menerusi program yang PAS berikan tambahnya, remaja bukan Islam juga boleh didekati dengan memberikan kesedaran mengikut budaya dan adat mereka.

Masalah remaja tambahnya, bukan masalah membabitkan orang Melayu sahaja bahkan bukan Islam turut terlibat seperti penggunaan pil estacy, arak, judi, samseng dan sebagainya.

"Masalah yang melanda orang Melayu lazimnya berkisar kepada salah penggunaan dadah, pembuangan anak dan perjudian maka ia boleh diselesaikan jika semua pihak menurut kehendak Allah, bukan kehendak masnusia," tegasnya.

Hadir sama dalam program setengah hari itu ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man dan timbalannya, Rosidi Hussin.

Tiada ulasan: