HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mei 2010

Buku merah MBE tidak sesuai

IPOH – Buku merah Model Baru Ekonomi (MBE) yang disediakan oleh pakar-pakar dari Majlis Penasihat Ekonomi Negara (Mapen) sebelum ini tidak boleh digunapakai kerana ia mengetepikan agenda Melayu, kata Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, buku merah itu mengkhianati orang Melayu kerana hanya dua kali menyebut perkataan bumiputera di dalamnya.

‘‘Ia jelas menunjukkan tiada ayat atau kenyataan yang menunjukkan agenda Melayu diambil kira, sedangkan hak-hak istimewa orang Melayu telah dijamin dalam Perlembagaan dan oleh itu, ia menyalahi Perlembagaan.

‘‘Sehubungan itu, Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM semalam menolak bulat-bulat buku merah itu dan kita menggantikannya dengan 31 resolusi yang kita sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan MBE masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, cadangan MBE bukan bermaksud kerajaan mengetepikan agenda Melayu dan bumiputera tetapi ia merupakan cadangan daripada pakar-pakar untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara supaya mampu bersaing di peringkat dunia.

Mohd. Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Kongres Ekonomi Bumiputera berkata, panel-panel Melayu dalam Mapen yang menggubal buku merah itu juga mengkhianati orang Melayu.

Katanya, mereka sepatutnya mengemukakan fakta-fakta mengenai kontrak sosial dan sejarah pembentukan negara kepada pakar-pakar luar negara yang terlibat menggubal buku tersebut.

‘‘Saya tidak salahkan pakar-pakar dari luar kerana mereka tidak melihat kepada sejarah terbentuknya Malaysia tetapi hanya dari sudut global,” katanya sambil menyatakan pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai MBE.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua orang Melayu supaya membaca 31 resolusi tersebut yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia hari ini dan esok.

Katanya, resolusi itu perlu difahami oleh orang Melayu kerana ia menyatakan hala tuju sebenar negara ini dan usaha untuk memajukan ekonomi dan sosial orang Melayu dalam pelbagai bidang.

‘‘MPM juga mengucapkan terima kasih atas peranan Utusan Malaysia yang memberi liputan menyeluruh dalam isu ini dan ini sesuai dengan peranan akhbar itu sebagai lidah rasmi orang Melayu.

‘‘Pada pandangan saya, tiada akhbar lain di Malaysia yang memperjuangkan hak Melayu melainkan Utusan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: