Oleh Fazli Othman
KOTA BHARU - Laporan yang memperbesarkan tindakan anggota parlimen dan ahli KEADILAN lompat parti pada hakikatnya tidaklah seperti yang digembar-gemburkan dalam media milik Umno-Barisan Nasional.
Berucap semasa merasmikan bersama Kongres Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN, Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata jika dikaji secara teliti mereka yang keluar parti mempunyai masalah peribadi masing-masing.
"Kita akui, sebilangan kecil mereka ini adalah yang kecewa dengan parti dan tidak dinafikan bahawa sedikit sebanyak berita dalam media mempunyai kesan negatif.
"Kita perlu mengkaji punca kekecewaan tersebut dan berusaha mengatasinya, jika didapati benar dan berasas, seharusnya kita berusaha mengatasinya."Kita juga tidak harus takut bermuhasabah diri dan berani membuat pembetulan," kata beliau.
Menurutnya, kebanyakkan yang melompat itu terbelenggu dengan pelbagai masalah, antaranya, ada yang marah kerana tidak mendapat apa yang mereka mahu daripada parti, tidak boleh bekerjasama dengan anggota pimpinan parti dan ada pula yang gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat menyebabkan mereka mudah dibeli.
"Kita tak perlu bimbang kerana tiap-tiap bulan menerima sekitar 5,000 permohonan anggota baru dan dalam tempoh tiga bulan KEADILAN menerima 50,000 permohonan.
"Memang kita akui akan ada kesan buruk jangka pendek daripada peristiwa "lompat katak" tapi saya percaya dalam rangka jangka panjang ia adalah baik bagi perjuangan parti.
"Proses penyucian adalah satu proses positif dan kita akan tegas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap anasir yang cuba merosakkan parti," ujar Dr Syed Husin.
Tambahnya, cerita "lompat katak" bukan cerita baru kerana parti lain juga mengalaminya pada peringkat permulaan, Dr Syed Husin mengambil contoh seperti apa yang berlaku dalam PAS di mana Yang Dipertuanya (Datuk Asri Muda), Setiausaha Agung (Othman Abdullah) dan Naib Yang Dipertua (Datuk Nakhaie Ahmad).
Katanya lagi, DAP juga mengalami nasib yang sama apabila Gok Hock Guan yang merupakan Setiausaha Agungnya dan dituruti Timbalan Pengerusi (Ricard Ho) dan selepas itu diikuti dengan pemimpin popular mereka, Lee Lam Thye.
"Apa terjadi kepada dua parti ini sekarang? PAS dan DAP bertambah kuat manakala MCA yang mengumumkan DAP terkubur akhirnya MCA sendiri yang berpecah-belah dan berkubur," tegas beliau.
Dr Syed Husin turut menegaskan apa yang berlaku dalam Umno lebih parah lagi apabila Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkir dan diaibkan, berpuluh ribu ahli Umno meninggalkan parti tua itu dan menyertai PAS dan KEADILAN dan sebahagiannya masih setia dengan kedua-dua parti.
"Tindakan mantan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamed memecah-belahkan serta memimpin secara 'kuku besi' yang kemudian menjilat air ludahnya sendiri apabila keluar dan masuk parti semasa era pemerintahan Tun Abdullah Badawi lebih teruk.
"Perbezaan besar antara lompatan keluar parti dari PAS dan DAP dengan lompatan dari Umno adalah Pakatan Rakyat semakin kuat manakala parti yang berumur lebih seabad itu dilihat semakin lesu dan tidak relevan," tegasnya lagi.
Pada masa yang sama, Dr Syed Husin juga melahirkan keyakinan bahawa KEADILAN akan menjadi lebih kuat dan mantap sekiranya anggota parti berpegang teguh kepada 'ideologi' atas dasar perjuangan parti dan beliau turut menasihatkan setiap ahli parti tidak hanya menunggu kongres dan pilihan raya untuk bergerak cergas memberikan maklumat kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan