KOTA BHARU : Ketua WAnita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin hari ini mengesyorkan agar parti itu mewujudkan Jawatankuasa PKR Penerangan Peringkat Negeri bagi menyaingi dan mematahkan propaganda jahat Umno-Barisan Nasional (BN).
Zuraida dalam ucapannya pada Kongres Nasional PKR Keenam di sini pagi ini berkata, penubuhan jawatankuasa itu amat penting bagi menghalang serangan Umno-BN di peringkat negeri melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta JASA yang sentiasa mencuba untuk melemahkan dan menghancurkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
"Jawatankuasa Penerangan Peringkat Negeri ini perlu diwujudkan secara khusus sebagai pekerjaan tetap. Jawatankuasa ini juga perlu diselaraskan dengan kerajaan negeri bagi memastikan komitmen padu dan kegiatan penerangan PKR dapat berjalan lancar, sistematik dan menyeluruh," katanya.
Sementara bagi negeri yang tidak dipimpin PR, kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan sebagai medium gerak kerja bagi merakyatkan sesebuah kawasan terutama sekali di premis-premis kritikal seperti pusat pengajian, rumah-rumah ibadat, jabatan kerajaan dan lain-lain secara berkala.
Bagi memastikan kelicinan pegerakan parti di peringkat akar umbi pula, Zuraida turut menyeru pihak pimpinan negeri memikirkan cara untuk memaksimumkan penyertaan aktivis parti yang berkelayakan bagi memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan PR.
Jawatan-jawatan strategik seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis PBT dan anak syarikat negeri merupakan agen paling hadapan yang akan berinteraksi dengan akar umbi, sekaligus berperanan aktif memberi penerangan dan melaksana polisi kerajaan negeri.
Ini sekaligus mampu mengurangkan kemungkinan perbuatan khianat oleh musuh-musuh parti kerana komitmen aktivis parti jauh lebih jitu dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedudukan kerajaan PR, katanya.
"Kita harus menyokong dan mengangkat suara pemerintah Kerajaan PR dengan bersungguh-sungguh melalui semua saluran untuk menyelesaikan isu yang berbangkit dan sebarkanlah program-program yang bermanfaat agar rakyat dapat merasai bahawa kebajikan mereka lebih terbela.
"Sebaliknya, dalam negeri yang diperintah kerajaan Umno-BN janganlah pula kita duduk berpeluk tubuh mendengar masalah rakyat tanpa berbuat apa-apa. Kita patut menjadi suara pendesak yang lantang dan mengemukakan isu-isu mereka dengan bijaksana.
"Pengalaman kita dalam mengharungi 11 pilihanraya kecil selepas Tsunami Politik 2008 mendewasakan kita dalam pertarungan. Peranan Wanita amat signifikan sehingga acapkali wanita dilihat lebih kedepan dan progresif dalam mengatur dan menyusun gerak kerja lapangan.
"Namun keberhasilan kerja lapangan ini akan jauh lebih signifikan sekiranya anggota anggota induk dari cabang dan negeri berserta Angkatan Muda (AMK) turut serta. Penggabungan ini akan meningkatkan kadar sentuhan dan juga menghasilkan maklum balas yang lebih mantap bagi merancang strategi strategi untuk menawan pengundi Melayu terutamanya," katanya.
Golongan profesional dan agama perlu seimbang
Mengakui PKR sebagai parti muda dan masih lagi baru dalam arus politik, isu kelayakan pemimpin kini diuji dengan cubaan Umno-BN mengganggu usaha dan matlamat PR untuk menuju ke Putrajaya.
"Gelora ini telah kita alami dan bakal kita alami lagi selagi mana kita memilih untuk berada dalam arus perdana politik Malaysia. Pemimpin yang datang dan pergi adalah lumrah dan kita perlu tahu bahawa ini merupakan proses pembersihan dalaman parti.
"Saya seru agar anggota parti untuk jangan gusar dan cepat melatah. Ini adalah corak serangan pihak musuh untuk mengganggu tumpuan dan kelancaran perjalanan kita ke Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang (PRU13)," katanya.
Berikutan itu, Zuraida dalam ucapannya turut mencadangkan agar merekrut pemimpin pelapis daripada kalangan profesional serta golongan cerdik pandai agama dengan seimbang bagi memastikan PKR kekal dinamik sebagai parti untuk semua dan membangun seiring dengan perubahan masa.
"Usaha menarik individu yang berkelayakan dari segi akademik, jaringan sosial serta mempunyai hubungan akar umbi yang baik perlu sentiasa diraikan dan diberi ruang sewajarnya, manakala pimpinan dan anggota yang sedia ada perlu meningkatkan pencapaian dan status kendiri masing-masing," katanya.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang turut mencadangkan agar Jawatankuasa PR di setiap kawasan pilihanraya diaktifkan agar cerminan perpaduan antara komponen parti dalam koalisi ini akan dilihat lebih mantap dan mampu berkerjasama mentadbir dengan lebih baik.
Keahlian Wanita lebih 100 ribu
Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian wanita, Zuraida berkata keahlian Wanita PKR sehingga kini telah mencapai lebih 100 ribu orang iaitu hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan keahlian parti.
Daripada jumlah tersebut, 15 peratus adalah terdiri daripada golongan wanita muda.
Melalui aspirasi "Wanita Berdaya Harapan Negara", beberapa pencapaian oleh sayap Wanita selepas Kongres Nasional Disember 2008 dapat dibuktikan melalui :
* Penglibatan sekurang-kurangnya 30% wanita di semua peringkat organisasi parti dimaktubkan dalam perlembagaan pada Kongres
Khas Jun 2009
* Penglibatan sekurang-kurangnya 30% wanita dimaktubkan dalam Dasar Pakatan Rakyat pada Konvensyen Pakatan Rakyat Disember
2009
* Penubuhan Pasukan WIN
* Pembentukkan Srikandi dalam sayap Wanita
* Reformasi Gender
"Kita menyeru kepada pimpinan parti di semua peringkat, agar Wanita diberi laluan untuk diarusperdanakan seperti termaktub dalam perlembagaan Parti.
"Pada masa yang sama, Wanita juga perlu melengkapkan diri, mara dengan gagah bersaing bersama-sama pimpinan lain dalam mencorakkan lanskap politik baru negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan