HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2010

Sokong biasiswa pelajar aliran agama

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Tokoh-tokoh akademik menganggap pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang aliran agama mampu menjana modal insan berkualiti dalam pelbagai bidang.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, ia juga satu pengiktirafan bermakna untuk pelajar daripada aliran tersebut.

"Langkah itu akan membantu usaha membentuk dan melahirkan modal insan berteraskan agama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas pemberian biasiswa 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai RM5.1 juta kepada 17 pelajar cemerlang aliran agama bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.

Pemberian biasiswa 1MDB disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR).

Para pelajar tersebut menerima biasiswa RM300,000 bagi tempoh enam tahun pengajian di Mesir.

Menurut Fatimah, jika dibandingkan dengan kuota pengambilan pelajar aliran lain, kuota pelajar aliran agama masih lagi ketinggalan.

"Kuota tersebut perlu ditambah berdasarkan kepentingan pelajar yang bakal menjadi pelapis golongan ulul albab di negara ini," ujarnya.

Rektor Kolej Islam Darul Ridhuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussain berkata, usaha itu sangat baik kerana ia menjadi serampang dua mata dalam memajukan bidang perubatan dan sekali gus agama Islam.

Katanya, pelajar aliran agama yang mahir pula ilmu perubatan akan menjadi pemangkin ke arah mewujudkan masyarakat Islam yang serba boleh.

"Pemberian biasiswa ini boleh dikatakan sebagai pembakar semangat pelajar Islam untuk menaikkan martabat dan ketinggian tamadun Islam seperti di zaman kegemilangan Islam dahulu," jelasnya.

Beliau berharap pemberian biasiswa tersebut tidak dibataskan kepada pelajar aliran agama yang mendalami bidang kritikal seperti kursus perubatan sahaja.

Katanya, bidang lain seperti pengurusan dan pendidikan juga perlu dimajukan dengan memberi peluang pelajar terbabit melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan.

"Jika mereka diberi peluang sudah tentu banyak lagi bidang dapat dimantapkan dan ini dapat melahirkan golongan pendidik, pakar ekonomi dan pakar dalam bidang lain berteraskan agama," katanya.

Tiada ulasan: