KOTA BHARU: Walaupun kerajaan negeri Selangor dikritik hebat sepanjang perbahasan usul Kongres Nasional Keenam Parti Keadilan Rakyat(PKR), namun Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap komited menerajui negeri itu dengan lebih baik.
Ketika ucapan penggulungannya, beliau mengumumkan kertas kerja Indeks Integriti Pentadbiran Pakatan Rakyat yang bakal dibentangkan pada mesyuarat Exco Selangor rabu ini.
Tindakan susulan ini bagi menyambut baik cadangan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar kerajaan Selangor mengadakan indeks tersebut yang dapat mengukur tahap kecekapan, ketelusan dan amanah dalam pentadbiran.
"Saya menerima baik cadangan Presiden mengenai integriti dan malam tadi saya telah menyediakan Indeks Integriti Kerajaan Pakatan Rakyat.
"Hari Rabu ini saya akan luluskan sebagai satu hala tuju bagaimana menyediakan pentadbiran bersih untuk rakyat,” katanya.
Khalid turut mencadangkan untuk melantik Exco Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kelancaran penerangan dan komunikasi ke peringkat akar umbi di Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid menyatakan keprihatinan terhadap permintaan Angkatan Muda Keadilan (AMK) agar dapat lebih terlibat dalam pentadbiran Pakatan.
Beliau menyuarakan sokongan dan merasakan kepentingan bagi menyediakan tapak yang kukuh bagi pembangunan kepimpinan muda.
"Saya mahu PKR ada tapak kukuh dan terus menimbangkan kepimpinan muda kepada negara Malaysia.
Salah satu tanggungjawab ialah menyediakan tapak yang cukup supaya asas pemerintahan tidak lagi huru hara dan akan terus berkembang," katanya.
Beliau juga mengumumkan bahawa program Dewan Undangan Negeri (DUN) Angkat yang ditugaskan kepada Exco Selangor akan ditamatkan.
Sebagai pengganti, setiap DUN bakal menerima seorang Pegawai Pembangunan DUN yang dilantik dari kalangan pemimpin muda bagi memastikan kelancaran pengurusan pentadbiran di peringkat DUN lebih efisien dan berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan